KITA MULA ADA RASA BERTUHAN SAAT DIUJI


sampan

Rasa kehambaan ini perlu ada dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, rasa jahil, rasa lemah, rasa bersalah, rasa  hina dan lain-lain lagi. Dan kadangkala, emosi mampu menghambat rasa kehambaan dalam diri.

Bila diuji dengan kesakitan dan kemiskinan misalnya, seseorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak yang itu datangnya daripada Allah. Lalu dia akan pasrah dan merasakan bahawa dia memang patut diuji. Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkannya kerana dia tahu mempersoalkan ujian yang menimpa dirinya samalah seperti mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang.

Imam Ghazali ada menyatakan bahawa cukuplah seseorang  itu dikatakan “memberontak” kepada Tuhan bila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya  saat diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak mahu makan dan minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, dan lain-lain yang selalunya menjadi rutin hidupnya. Ini adalah “demonstrasi” seseorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya bila diuji.

Padahal ketika ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – "innalillah wa inna ilaihi rajiun"

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kerana kalimah ini akan mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan; bahawa kita adalah hamba kepada Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila timbul rasa lemah, pergantungan kepada Yang Maha Kuat akan kita cari. Bila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada Yang Maha Sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada Yang Maha Kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang mententeramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

 

Kredit dengan olahan: http://qasrinahamra.blogspot.com/2012/06/emosi-rasa-kehambaan-dan-rasa-bertuhan.html

Kredit gambar: Pixabay

 

 

tawakalrasa bertuhankehambaan
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });