Tambahan Lafaz Azan Solat Di Rumah Kalian #COVID-19


Ustaz Syed Shahridzan | 16-03-2020

CARA AZAN KETIKA ‘LOCK DOWN’

LAFAZ AZAN TAMBAHAN “ALAA SOLLUU FI RIHAALIKUM”

Telah tersebar video di media sosial yang menunjukkan beberapa buah masjid di timur tengah melaungkan azan yang berbunyi “Alaa Solluu fi Rihaalikum”. Ini kerana kerajaan di negara tersebut telah menguatkuasakan agar penduduk tidak datang ke masjid untuk mengerjakan solat 5 waktu berjemaah dan Jumaat.
.

Pada asasnya amalan lafaz tambahan ini berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, sepertimana hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim:

عن نَافِع عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ نَادَى بِالصَّلَاةِ فِي لَيْلَةٍ ذَاتِ بَرْدٍ وَرِيحٍ وَمَطَرٍ فَقَالَ فِي آخِرِ نِدَائِهِ أَلَا صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ أَلَا صَلُّوا فِي الرِّحَالِ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُ الْمُؤَذِّنَ إِذَا كَانَتْ لَيْلَةٌ بَارِدَةٌ أَوْ ذَاتُ مَطَرٍ فِي السَّفَرِ أَنْ يَقُولَ أَلَا صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ. متفق عليه

Maksudnya: Nafi' meriwayatkan bahawa Ibnu Umar RA menyeru(melaungkan azan) solat pada malam yang sangat dingin dan angin kencang di mana pada akhir azannya beliau berkata; 'Alaaa solluu fii rihaalikum, 'Alaa solluu fir rihaaal, (Tidakkah yang sebaiknya kalian bersolat di rumah kalian)." Kemudian beliau berkata; "Dahulu Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam juga pernah memerintahkan muazzinnya apabila malam sangat dingin atau turunnya hujan ketika musafir untuk mengumandangkan 'Alaa Solluu fii rihaalikum.” HR Bukhari dan Muslim
.

Berdasarkan hadis di atas, apabila suasana tidak mengizinkan masyarakat Islam untuk datang berjemaah di masjid maka muazzin disunatkan menambah lafaz azan “Alaa Solluu fi Rihaalikum”. Perkara ini disebutkan dengan jelas dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’ie antaranya “Nihayah al-Muhtaj”, karya Imam Syamsuddin al-Ramli:

وَيُسَنُّ فِي اللَّيْلَةِ الْمَاطِرَةِ أَوْ الْمُظْلِمَةِ أَوْ ذَاتِ الرِّيحِ أَنْ يَقُولَ بَعْدَ الْأَذَانِ وَهُوَ الْأَوْلَى أَوْ بَعْدَ الْحَيْعَلَتَيْنِ: «أَلَا صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ» ، لِمَا صَحَّ مِنْ الْأَمْرِ بِهِ.

Maksudnya: Dan disunatkan pada malam yang turunnya hujan, atau gelap, atau angin kencang, muazzin melafazkan selepas azan dan ini lebih awla(afdal) atau selepas ‘Hai’alatain’ “Alaa solluu fi Rihaalikum” berdasarkan riwayat yang sahih daripada perintah tersebut.
.

Berdasarkan kenyataan Imam al-Ramli, apabila umat Islam menghadapi kepayahan untuk ke masjid disebabkan cuaca yang buruk seperti hujan lebat, angin kencang dan malam yang gelap gelita maka mereka digalakkan supaya mengerjakan solat 5 waktu di rumah masing-masing sehingga keadaan kembali seperti sediakala. Ini kerana situasi ini akan membahayakan keselamatan dan kesihatan jika mereka yang pergi ke masjid.
.

Berdasarkan situasi sekarang iaitu gelombang penularan Covid 19 semakin kronik, jika terdapat arahan dari pihak berkuasa(Sultan dan Ketua Agama Negeri) agar solat 5 waktu dan Jumaat tidak didirikan di masjid dan surau maka mereka perlulah mengerjakan solat di rumah masing-masing demi kebaikan bersama. Para muazzin di setiap masjid dan surau disunatkan menambah lafaz azan “Alaa solluu fi Rihaalikum” samaada selepas azan(ini lebih afdal) atau selepas “Hai’alatain”(Hayya ‘Alas Solah & Hayya ‘Alal Falah).
.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
(Syed Shahridzan Ben-Agil)

 

azancovid19
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });