Pemimpin yang Adil, Rahmat untuk Rakyat - 7 Prinsip Umar bin Abdul Aziz


SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri | 27-02-2020

Baiknya pemimpin boleh jadi terhad kepada peribadinya sahaja tetapi dalam urus tadbir dan pelaksanaan tugas dengan cekap, mantap dan efisien secara profesional bukan semua yang mampu melaksanakan.

Justeru sedikit coretan kami secara bersantai untuk sama-sama kita renung dan kita masukkan dalam jiwa kita, bukan semata-mata sebagai pemimpin yang baik tetapi juga mempunyai kepimpinan yang baik dan cemerlang.

Tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW di Kota Suci Madinah ialah mempunyai wawasan, misi dan visi yang jelas, mempunyai nilai serta akhlak yang unggul dan mempunyai daya ketahanan yang kental. Antara cirinya ialah:

- Mereka memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperjelas atau memperhalusi sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.

- Mereka memupuk nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti dalam diri.

- Mereka mempunyai daya kekuatan hingga mampu menggerakkan semangat orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental.

Kami nukilkan di sini daripada buku Pemimpin yang Adil: Rahmat untuk Rakyat yang mengisahkan mauqif (pendirian atau prinsip yang dijunjung) oleh Umar bin Abdul Aziz antaranya:

1. Menegakkan Keadilan

Hal ini amat jelas dalam pemerintahannya kerana beliau mewarisi sifat tersebut daripada datuknya, Umar Ibn al-Khattab RA. Beliau telah menempa pada matawangnya dengan perkataan “اَمَرَ الله بِالْوَفَاءِ وَالْعَدْلِ” yang bermaksud: “Allah SWT perintahkan dengan bersifat amanah dan berlaku adil.”

Umar Ibn Abdul Aziz pernah menulis surat kepada gabenornya yang bernama al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami yang menjadi gabenor di Khurasan dengan berkata: “Hai Ibn Ummi Jarrah, janganlah kamu memukul orang-orang beriman dan kafir mu’ahad (membuat perjanjian dengan orang Islam) dengan menggunakan tongkat atau rotan kecuali pada kebenaran. Awasilah kamu daripada melaksanakan qisas kerana ianya membawa kepada banyaknya khianat dan perkara yang tersembunyi. Baca semua surat dan jangan disembunyikan atau diabaikan kecil atau besar urusan kecuali hendaklah dihitungkannya.”

 

2. Memelihara daripada Pembohongan

Ketegasan Umar bin Abdul Aziz ialah beliau pernah berkata kepada Maimun bin Mihran, antara lain kenyataan seorang berkata: “Aku tidak dapati saksi yang dusta kecuali aku potong lidahnya.” Umar bin Abdul Aziz tidak menyukai perkataan ini kerana berkemungkinan seseorang itu tidak melakukan perbuatan tersebut dan hal ini akan terjerumus kepada pembohongan.

 

3. Menolak daripada Menerima Hadiah

Beliau dengan tegas tidak menerima sebarang bentuk hadiah sekalipun dikatakan Rasulullah SAW menerima hadiah dengan berhujah: “Tetapi bagi kami dan orang selepas kami dianggap sebagai rasuah.” Begitu juga beliau membatalkan pemberian hadiah kepada semua gabenor yang kebiasaannya menerima hadiah tersebut pada setiap kali perayaan Nairuz dan Mahrajan.

 

4. Melarang Pembaziran

Antara tindakannya yang pertama ketika dilantik menjadi khalifah ialah beliau tidak menaiki binatang atau kenderaan yang khusus kepada Khalifah, tetapi mencari baghalnya dan berkata kepada pembantu setianya: “Hai Muzahim, ambillah kenderaan ini dan serahkan kepada Baitulmal.” Begitu juga dengan tempat duduk yang penuh dengan kemewahan dan kerusi yang empuk digantikan dengan tikar.

 

5. Menegah Gabenor dan Pegawai Kerajaan daripada Terlibat dengan Aktiviti Perniagaan

Beliau menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlakunya pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.

Beliau mengangap hal ini sebagai suatu tindakan yang paling besar dan jika dibiarkan akan boleh membawa kepada rosaknya pentadbiran dan pelbagai implikasi yang malang akan timbul. Hal ini diakui oleh Ibn Khaldun selepas lapan kurun melalui kenyataan yang benar dan hikmah yang tinggi nilainya, iaitu:

إِنَّ التِّجَارَةَ مِنَ السُّلْطَانِ مَضَرَّةٌ بِالرَّعَايَا ، مَعْسَرَةٌ لِلْجَبَايَة

Maksudnya“Sesungguhnya perniagaan daripada pemerintah boleh membawa mudarat terhadap rakyat dan menyukarkan berkenaan dengan hasil atau percukaian.”

 

6. Membuka talian perhubungan secara langsung antara gabenor dan rakyat

Hal ini jelas menunjukkan betapa prihatinnya Umar bin Abdul Aziz sehingga rakyat merasa terbela dan mudah untuk mengadu segala kelemahan dan kecurangan pemimipin. Beliau juga mengarahkan semua pemimpin dan gabenor supaya mendapat maklumat dan menerima sebarang bentuk aduan daripada rakyat jelata. Inilah dasar Islam yang sebenarnya.

 

7. Mengadakan audit dan muhasabah terhadap gabenor dan mahu supaya kewangan gabenornya disemak

Hal ini supaya tidak berlaku pengambilan wang secara haram yang menjadi hak orang Islam, bahkan beliau pernah mengarahkan supaya menangkap seorang gabenor Khurasan yang bernama Yazid bin Muhallab kerana melakukan penipuan.

Benarlah ungkapan yang bahawa amanah kepimpinan ini sebagai taklif bukan tasyrif.

Dalam memacu kepimpinan yang unggul, perlu wujudnya latihan dan tamrin tarbawi kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin unggul pada masa akan datang. Kita perlulah melatih mereka supaya mempunyai nilai dan ciri kepemimpinan yang mampu mengurus diri serta mempengaruhi orang lain di sekelilingnya.

Di samping itu, hendaklah didedahkan kepada mereka sirah Rasulullah SAW supaya menerapkan dalam diri sifat bertanggungjawab, amanah, seperti ditunjukkan oleh Baginda SAW untuk menjadi pemimpin hebat lagi cemerlang di masa depan.

Ramai juga tokoh pemimpin yang unggul dalam kepimpinannya sehingga memahat sejarah sampai sekarang. Antaranya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar, Khalifah Usman dan Khalifah Ali yang digelar sebagai Khulafa’ al-Rasyidin. Begitu juga Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fateh dan ramai lagi.

Semoga sedikit coretan ini memberi kesedaran kepada kita semua termasuk saya yang amat dhoif ini dengan sama-sama sentiasa membaiki dan mengislahkan diri ke arah yang lebih baik. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

(Surah al-Ra’d: 13)

Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
 

pemimpin
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });