Kebangkitan Monarki di Tengah Kabut Politik


Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin | 26-02-2020
Kredit gambar: Wikipedia

Negara masih bergelut. Pasca Pilihan Raya Umum-14, politik Malaysia masih belum menemui titik kestabilan. Matlamat pilihanraya untuk memberikan jaminan penyediaan suatu pasukan pentadbir negara yang cekap masih belum dicapai. Yang menang belum mempamerkan prestasi yang baik. Manakala yang kalah, terus meratapi kekalahan dan secara konsisten mengganggu pentadbiran yang ada dengan melancarkan serangan propaganda tanpa henti.

Kesemua kemelut ini mencapai kemuncaknya pada 24 Februari yang lalu, apabila tiba-tiba Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Bukan itu sahaja, jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dilepaskan sejurus kemudian. Negara menjadi gempar seketika. Kerajaan tergantung. Kabinet terbubar, namun Parlimen masih berfungsi. Apakah Parlimen? Parlimen bukan sekadar Perdana Menteri, tetapi ia meliputi tiga elemen utama yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pentadbiran negara tidak lumpuh, tetapi ia berlangsung seperti biasa kerana kesemua penjawat awam yang diketuai Ketua Setiausaha Negara melaksanakan amanah di bawah naungan urusan Seri Paduka Baginda. Begitulah dari segi teknikalnya.

Penulis tidak ingin membicarakan perihal kemelut politik yang sedang berlaku ini dari sudut pandang parti politik yang sedang bertarung. Penulis lebih cenderung untuk menanggapi kemelut yang memanas ini dari sudut sejarah, perlembagaan dan peranan monarki. Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir adalah hal yang julung kali berlaku. Justeru, seluruh sistem eksekutif, kehakiman dan perundangan yang tidak pernah berhadapan dengan situasi sedemikian gegak-gempita mencari solusi yang berkemungkinan. Dalam sejarah negara kita, kekalutan politik pada skala besar yang menghampiri magnitud keributan hari ini pernah berlaku selepas pilihanraya tahun Mei 1969. Seperti yang diketahui umum, pilihanraya tersebut menyaksikan parti Perikatan ketika itu hilang majoriti dua pertiga di parlimen, kemudian membawa kepada persengketaan kaum yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei. Natijahnya, Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan dan diketuai oleh Tun Abdul Razak, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Mageran melaksanakan segala tugasnya dengan perkenan YDPA. Perdana Menteri sendiri tiada kuasa. Mageran berlangsung sehingga Februari 1971, apabila parlimen kembali berfungsi seperti biasa. Jasa terbesar Mageran adalah penghasilan ideologi negara yang dinamakan sebagai Rukunegara.

Rukunegara yang mempunyai lima prinsip asas, diangkat menjadi alat propaganda patriotisme dalam kepelbagaian kaum dan agama. Lima prinsip tersebut adalah rangkuman daripada keseluruhan sistem dan pandangan semesta , Weltanschaaung rakyat Malaysia secara umumnya. Daripada situ, Malaysia bertolak dan bergerak semula selepas hampir hancur dilanda wabak perkauman. Pada 1973, Perdana Menteri Tun Razak mengemukakan idea baharu penubuhan Barisan Nasional (BN) yang lebih inklusif. Walhasil, Parti Islam Semalaysia yang diketuai oleh Dato' Asri Muda ketika itu ditarik masuk ke dalam BN demi perpaduan Islam dan Melayu. Isu kepentingan bangsa dan agama menjadi faktor utama yang membawa PAS berbaik dengan UMNO dan menyertai BN pada 1973, dan dirasmikan penubuhannya pada Jun 1974. Secara ringkasnya, krisis yang berlaku antara 1969 hingga 1973 tersebut menyaksikan penggantungan parlimen; penubuhan Mageran yang secara de jure berada di bawah YDPA; penghasilan ideologi negara, Rukunegara; penubuhan BN; kerjasama PAS dalam BN; dan kemunculan idea kerajaan perpaduan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Dalam kucar-kacir politik aras tinggi hari ini, sekurang-kurangnya dua peristiwa yang berlaku antara 1969 hingga 1973 tersebut berlaku kembali. Yang pertama, penglibatan langsung YDPA dalam pemerintahan negara, dan yang kedua kemunculan idea kerajaan perpaduan dengan penyatuan semua parti-parti politik berdasarkan sokongan terhadap Tun Mahathir yang mahu dikekalkan sebagai Perdana Menteri dengan imbuhan interim, iaitu bersifat sementara. Walau bagaimanapun, ketika artikel ini ditulis, idea pembentukan kerajaan perpaduan secara umumnya gagal kerana gabungan PAS dan UMNO tidak berminat menyertai kerajaan perpaduan yang di dalamnya mempunyai parti DAP (Democratic Action Party). Penulis tidak ingin melanjutkan perbincangan mengenai penolakan terhadap DAP tersebut kerana ia meleret dan tidak menjadi fokus bagi penulisan ini. Yang itu kita serahkan kepada para pemain politik untuk memutuskannya.

Hal yang menarik ingin dilanjutkan di sini adalah penglibatan YDPA dalam pentadbiran negara. Sebagai Ketua Negara, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 39, YDPA secara konvensyennya melaksanakan pemerintahan berperwakilan. Maksudnya, kuasa YDPA sebagai Ketua Negara diturunkan kepada  Jemaah Menteri yang dipilih melalui sistem pilihanraya. Maka, bersesuaian dengan peruntukan Perkara 40 (1), YDPA sebenarnya dinasihati oleh Jemaah Menteri, atau lebih tepat Perdana Menteri, untuk bertindak bagi melaksanakan apa-apa urusan yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat secara umum. Secara de jure, YDPA berkuasa, namun de factonya, yang berkuasa dalam sistem demokrasi berparlimen adalah Jemaah Menteri yang dipilih melalui pilihanraya. Di sinilah munculnya sindiran dan cemuhan terhadap sistem Raja Berperlembagaan kita. Ia dilihat seolah-olah tidak memiliki fungsi yang penting melainkan menjadi lambang negara semata-mata. Memori Perjanjian Pangkor 1874 digamit kembali. Ia menyaksikan penghakisan kuasa raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Residen yang dilantik oleh Pejabat Tanah Jajahan di London. Perkara 6 Perjanjian Pangkor menjadi paku yang memasung kuasa raja-raja.

Walau bagaimanapun, sebagai ahli sejarah yang meneliti kedua-dua keadaan, antara 1874 dengan 2020 ini, penulis mendapati ada perbezaan yang ketara tetapi jarang disedari oleh rakyat Malaysia secara umumnya. Perjanjian Pangkor 1874, walaupun meninggalkan cebisan kuasa terhadap perihal adat-istiadat orang Melayu dan Islam untuk raja-raja, ia tidak menyatakan peruntukan bagi kuasa budi bicara dalam urusan pemerintahan negara. Perlembagaan Persekutuan berbeza dalam hal ini. Ia sebenarnya sebuah dokumen yang mantap dan berpandangan jauh. Perkara 40 (2) memberi kuasa budi bicara kepada YDPA dalam tiga hal yang sangat signifikan jika ia ditafsir dan dipraktikkan dengan betul. YDPA mempunyai kuasa budi bicara dalam hal melantik Perdana Menteri; tidak mempersetujui permintaan pembubaran parlimen; dan memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja. Inilah klausa yang jarang-jarang diaplikasikan pada masa dan tempatnya. Hakikatnya, YDPA boleh sahaja, menurut budi bicara baginda, menolak pencalonan Perdana Menteri walaupun peruntukan pada Perkara 43 (2) (A) mensyaratkan bahawa YDPA perlu melantik Perdana Menteri yang terdiri daripada seorang yang diyakini mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat. YDPA scara prinsipnya berhak untuk meminta nama calon lain yang lebih sesuai jika, menurut budi bicara baginda, calon yang dikemukakan pada asalnya tidak bersesuaian bagi mewakili kuasa pemerintahan baginda.

Pada peringkat Persekutuan, perkara seumpamanya belum pernah terjadi. Namun, di peringkat negeri, krisis di Perak pada 2009 menjadi kes rujukan utama yang menyaksikan Sultan Perak ketika itu memilih Datuk Seri Dr. Zambry untuk menggantikan Datuk Seri Nizar Jamaludin yang dipercayai tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggotan Dewan Undangan Negeri Perak. Hari ini, ketika artikel ini ditulis, keadaannya agak berbeza dan lebih rumit, kerana skalanya lebih besar dan rencam. YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika ini berperanan lebih besar dan lebih signifikan daripada kes-kes sebelumnya. Baginda benar-benar menggunakan budi bicara dalam dua peruntukan yang disediakan dalam perlembagaan, iaitu pelantikan Perdana Menteri (yang bersifat interim) dan pembubaran Parlimen. Adalah menarik untuk disaksikan ketika ini, kebangkitan kepercayaan terhadap institusi monarki berperlembagaan dalam negara kita. Selepas sekian lama, selepas muncul ramai pengkritik tegar institusi beraja dan para pengacah sistem beraja, tiba-tiba YDPA bangkit dan mempamerkan kebijaksanaan menggunakan peruntukan budi bicara tersebut.

Pada waktu ini, seluruh negara bertumpu kepada kebijaksanaan dan budi bicara YDPA. Ia bukanlah unconstitutional. Tidak ada sesiapapun yang bisa mempertikaikan penglibatan langsung YDPA ini. Peranan baginda dalam Perkara 32 (1) sebagai Ketua Utama Negara sedang dalam pertunjukan. Seluruh negara menyaksikan dengan suspen, tetapi teruja. Mulut-mulut yang sebelum ini gemar mempersendakan kewujudan raja-raja kini, berdoa dan merayu supaya YDPA memberikan jalan penyelesaian yang paling baik, melangkaui kepentingan parti politik dan para pemain politik.

Bagi penulis, krisis 2020 ini, yang menggantikan Wawasan 2020, mengangkat imej institusi raja-raja di Malaysia. Inilah hikmahnya. Sudah terang lagi bersuluh, tanpa campurtangan YDPA pada saat genting ini, politik Malaysia sudah tentunya berantakan. Ternyata, insititusi raja berperanan sebagai equilibrium point yang mengekalkan kestabilan negara. Cuba bayangkan jika ketika ini tiada satu kuasa atau watak yang berkemampuan menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan. Semua parti politik akan bercakaran, rakyat di bawah yang diperangat melalui media sosial pula akan menanggalkan otak masing-masing dan menyebarkan berita yang mengancam ketenteraman awam. Semua ini tidak berlaku. Syukur kita masih aman, mantera lama yang bisa diungkap kembali saat ini. Di saat para pemain politik sedang bergelut untuk kuasa, kebergantungan kita saat ini adalah kepada kebijaksanaan YDPA. Moga Tuhan memberkati baginda dan mengilhamkan penyelesaian yang terbaik. Daulat Tuanku!

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga penulis sejarah bagi Karya Bestari Sdn Bhd. 

Dr Sahul HM
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });