Betapa Hebatnya Menyembunyikan Amalan Sedekah


Takziah diucapkan kepada keluarga almarhum Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan al-Juffrey (Abam Bocey). Moga Allah ampuni segala dosa almarhum dan ditempatkannya dalam kalangan orang yang soleh.

Walaupun sudah lebih seminggu almarhum Abam meninggalkan kita, namun kisah-kisah dan kebaikan-kebaikan almarhum masih diperkatakan oleh ramai orang. Lihatlah di media-media sosial, masih banyak lagi artikel-artikel dan video-video yang menceritakan mengenai perjalanan hidup seorang anak seni itu.

Daripada Abi Zar RA, katanya: Telah ditanya kepada Rasulullah SAW: “Apa pendapatmu wahai Rasulullah, seseorang yang beramal kebaikan lantas orang ramai memujinya? Sabda Baginda SAW:

تِلْكَ عَاجِلُ بُشْرَى الْمُؤْمِنِ

Maksudnya: “Itulah berita gembira bagi orang mukmin yang disegerakan.” Riwayat Muslim (2642)

Antara perkara yang boleh kita ambil iktibar daripada kematian yang menghidupkan ini, benarlah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Daripada penceritaan oleh orang terdekat dan ahli keluarga almarhum sendiri, almarhum Abam memang seorang yang sangat pemurah. Bukan hanya itu, tetapi sedekah yang dilakukannya dapat dirasai keikhlasannya kerana almarhum jarang sekali menghebohkan amalan yang mulia itu kepada orang lain. Di sini kita boleh lihat betapa pentingnya menyembunyikan perbuatan sedekah yang boleh menjauhkan diri kita daripada sifat riyak.

Firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: "Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat." (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620)

Moga kematian almarhum Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan al-Juffrey memberi 1,001 pengajaran dan menjadikan kita seorang yang benar-benar menyediakan bekalan untuk hari akhirat yang kekal abadi.

Didoakan juga agar dikurniakan kesabaran dan kekuatan kepada waris, khususnya kepada isteri almarhum dalam menjalani kehidupan dan membesarkan anak yang kecil. Amin

*Sumber dalil: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Sedekahabam
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });