Di Sebalik Filem 1917 dan Perang Dunia Pertama - Apa Umat Islam Perlu Tahu?


Sufian | 18-02-2020
Picture

Filem 1917 arahan Sam Mendes diangkat sebagai filem yang memecah tradisi cinematografi apabila teknik 'one shot' beliau berjaya diangkat ke layar perak. Beliau mendapat pujian kerana kaedah ini memerlukan ketilitian dan kesabaran yang amat tinggi. Kos yang terlibat juga tidak sedikit dan mencecah USD100 juta.

Sam Mendes telah menghasilkan sebuah filem perang yang tidak memerlukan penonton mempunyai pengetahuan pun tentang sejarah yang melatari filem tersebut iaitu Perang Dunia Pertama. Penilaian ini benar kerana filem ini cuba ketengahkan kesungguhan seorang askar (Blake) cuba untuk menyampaikan berita kepada satu divisi tentera supaya membatalkan serangan yang dirancang kerana ia adalah satu perangkap. Dorongan kesungguhan ini ialah kerana abang beliau berada dalam divisi tersebut. Mereka perlu menempuh perjalanan yang amat bahaya iaitu melintas kawasan 'no man's land' di antara trench (barisan pertahanan yang berbentuk parit) pasukan British dan musuh iaitu pihak German. Bahkan semua merasa amat pesimis misi ini akan berjaya. Kematian hampir pasti dalam melaksanakan misi tersebut.

Apa yang lebih menakjubkan ialah Blake terbunuh dan misi ini diteruskan oleh rakannya, Schofield. Meskipun rakannya tidak punya faktor dorongan seperti untuk menyelamatkan ahli keluarga, namun dia perlu menyempurnakan juga misi tersebut walaupun hampir tumpas. Dia menyedari amanah yang pikul amat berat. Dia bukan sahaja perlu menyelamatkan abang kawannya bahkan nyawa 1600 orang askar daripada divisi Devon.

Filem ini telah berjaya mengangkat tema-tema kemanusiaan yang terpuji meskipun berhadapan dengan bahaya amat besar. Senario apakah yang lebih tepat untuk menonjolkan keberanian, pengorbanan, menyempurnakan amanah meskipun berhadapan kematian selain peperangan? Tahniah kepada Sam Mendes kerana berjaya mengangkat tema-tema kemuliaan ini melalui filem 1917.

Namun saya ingin mengulas filem ini dari sudut sejarah yang melatari filem 1917. Filem ini berlaku pada tahun yang menentukan dalam Perang Dunia Pertama yang berlangsung dari tahun 1914 hingga 1918. Berbanding 1914-16, pertempuran-pertempuran dan peristiwa penting yang berlaku pada tahun 1917 adalah sangat menentukan. Jika tahun 1915 - 1916

menyaksikan pertempuran pertempuran yang berakhir dengan 'stalemate' seperti Somme dan Verdun yang memakan jumlah korban mencecah di antara 500 ribu hingga 1 juta lebih jiwa. Inilah gambaran yang ditunjukkan semasa dua orang askar melalui 'no man's land' dengan mayat dan bangkai kuda yang terbiar dan membusuk.

Mayat yang tersangkut pada 'barbed wire' (dawai besi) adalah gambaran biasa apabila tentera yang mara ke medan setelah menerima arahan 'over the top' (memanjat keluar dari 'trench') bergelimpangan menjadi sasaran tembakan mesingun. Simulasi atau diorama lapangan yang diolah oleh '1917' memberi gambaran yang 'real' dan mirip dengan suasana sebenar Perang Dunia Pertama di medan-medan Eropah Barat. Pertempuran yang berlaku selama beberapa bulan sehingga menjangkau setahun tidak membawa apa-apa kemajuan kepada kedua-dua pihak (Berikat dan Kuasa Tengah - Central Powers). Kedua-dua pihak kekal pada kedudukan masing-masing tanpa ada perubahan besar kepada garis hadapan peperangan (front lines).

Perang Dunia Pertama punya kedudukan yang penting dalam sejarah umat Islam. Meskipun Perang Dunia Pertama sering diketengahkan sebagai Perang Eropah, namun medan peperangan menganjur sehingga Timur tengah, negeri Syams (sebelum lahirnya Palestin, Syria dan Jordan), Mesopotamia (Iraq pada hari ini) dan Selat Bosphorus serta Semenanjung Dardanelles/Canakale (Galipolli) yang pada waktu itu semuanya merupakan wilayah kedaulatan Turki Uthmaniyah.

’Over the top’: Tentera British dalam Battle of The Somme

Turki Uthmaniyah merupakan sekutu Jerman dalam Pakatan Kuasa Tengah. Pada bulan November 1914 tiga kuasa besar British, Perancis dan Rusia mengisyiharkan peperangan secara berturutan ke atas Turki. Turki membalas pengisytiharan itu dengan mewajibkan Jihad Akbar Fardhu Ain ke atas seluruh umat Islam terutama kepada kuasa kolonial British dan Perancis.

Dengan ini Turki Uthmaniyah terbabit secara rasmi dalam Perang Dunia Pertama. Winston Churchill yang masih merupakan komandan tentera pada waktu itu meniup semangat kepada pasukan tentera berikat ' Constantinople is better than London and Paris put together'. Churchill merujuk kepada Istanbul dalam rangka mengingatkan Konstantinopel yang ditakluk Sultan Muhammad al Fateh pada tahun 1453. Ini adalah kesempatan yang terbaik untuk merampas semula Konstantinopel daripada umat Islam.

Pada bulan Februari 1915, tentera British, Australia, New Zealand dan Kanada cuba mendarat di Semenanjung Canakale (Galipolli). Tentera khilafah Uthmaniyah telah menyambut serangan ini dengan membedil kapal kapal perang British dan Perancis di Selat Dardanelles. 8 buah kapal selam British dan Perancis di samping sejumlah kapal kapal perang lain berjaya dimusnahkan.

Pertempuran di Galipolli menyaksikan lebih 300 ribu tentera British dan Australia terbunuh. Bilangan yang hampir sama banyak tentera Uthmaniyah yang syahid. Kita boleh menyaksikan bekas tapak pertempuran Galipolli ini pada kuburan tentera kedua-dua belah pihak. Tentera Australia terperangkap dan tidak berganjak dari kedudukan mereka selama lapan bulan. Akhirnya British berundur dari Galipolli pada tengah malam sekitar Januari 1916 selepas setahun gagal untuk mencapai objektifnya menuju Istanbul.

Kemenangan Turki di Galipolli ini telah mendorong British untuk mengerahkan tentera tanah jajahannya untuk menghadapi Uthmaniyah. Tentera India adalah sebahagian daripada pasukan British. Penglibatan tentera India dalam pertempuran di Eropah Barat (Western Front) sangat besar. Kemunculan dua orang askar Sikh dalam filem '1917' adalah untuk memberikan gambaran ini.

Di Singapura tentera India daripada Light Infantry Division ke 5 sedang dipersiapkan untuk dihantar ke timur tengah bagi menghadapi Turki Uthmaniyah. 5th Division adalah tentera India Muslim. Mereka juga menyedari tentang Jihad Akbar fardhu ain (fatwa qadhi besar Uthmaniy) bertindak menyerang askar British di Singapura dan berjaya membunuh 33 orang askar British. Akhirnya pemberontakan yang terkenal dengan nama Dahagi (mutiny) berjaya diatasi dan tentera india Muslim ditangkap. Mereka telah dijatuhkan hukuman ‘firing squad’.

Berita pemberontakan Dahagi ini juga mempunyai kesan kepada umat Islam di Tanah Melayu. Propaganda British yang melampau supaya umat Islam berpihak kepada British dan memerangi Turki telah mencetuskan kemarahan. Umat Islam di Pasir Puteh, Kelantan di bawah pimpinan Tok Janggut (Haji Hassan Munas) bangkit melawan British. Apatah lagi British yang menguasai Kelantan pada tahun 1909 melalui perjanjian Anglo Siam telah menggantikan undang-undang adat dan syariat Kelantan dengan undang-undang British India.

Tahun 1915 dan 1916 adalah tahun tahun 'stalemate' yang telah melumpuhkan ekonomi Britain dan menjadi bibit kepada kejatuhan British sebagai kuasa tentera dunia. Keadaan yang malap ini bertukar pada tahun 1917 apabila beberapa peristiwa penting kembali memberi sedikit harapan kepada mereka.

Askar India Muslim yang dijatuhkan hukuman mati kerana memberontak melawan British dalam peristiwa Dahagi, Singapura pada tahun 1915.

Kenapa filem ini diberi tajuk '1917'.

Apakah kisah yang diadaptasi menjadi filem tersebut berlaku pada tahun 1917. Filem itu mengkisahkan 'adventure' dua orang askar yang berlaku dalam tempoh 24 jam sahaja. Sangat tidak cocok untuk memberikan tajuk '1917' kepada filem tersebut.

Peristiwa itu pula mengikut naratif ceritanya berlaku pada 6 April 1917. Amerika Syarikat secara rasminya menyertai Perang Dunia Pertama pada 6 April 1917. Apakah ia satu kebetulan?

Saya mempunyai telahan tersendiri mengapa filem ini diberikan nama '1917'. Bahkan ketika filem ini diumumkan, saya sudah membayangkan kenapa pihak produksi memilih '1917'.

1917 adalah tahun penyelamat dan pencapaian cemerlang Britain dalam Perang Dunia Pertama. Kemasukan Amerika pada bulan April memberi nafas baru kepada Britain dan sekutunya. Apakah dan siapakah di belakang penyertaan Amerika ini? Ia dicetuskan oleh tindakan kapal selam German U-boat menenggelamkan kapal penumpang Lusitania.

Apa yang menimbulkan tanda tanya adalah kapal yang membawa hampir 2000 penumpang orang awam ini juga membawa 'ordnance' - peluru senjata berat yang menjadikan kapal Lusitania menjadi sasaran yang punya legitimasi sewaktu perang. Siapa yang mengorbankan nyawa 2000 orang awam Amerika sehingga rakyat mendesak Amerika mengisytiharkan perang ke atas Jerman?

Kekalahan British dalam Perang Dunia Pertama adalah suatu kemungkinan yang akan menggagalkan hasrat Zionist Federation of Britain. Zionis berhasrat untuk menduduki bumi Palestin telah disepakati pada awal kurun ke-20 oleh Zionist International Movement pada tahun 1897. Menghapuskan Turki Uthmaniyah adalah langkah perlu untuk menguasai timur tengah.

Langkah-langkah politik telah diambil apabila British dan Perancis memeterai perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916. Mark Sykes yang mewakili Britain adalah anggota Zionist Federation of Britain. Perjanjian ini ditangani di saat askar-askar British dan Perancis masih tersekat di dalam kubu dan kawah berlumpur (bomb craters) di medan-medan Somme dan Verdun. Yang penting Bilad us Syam yang berada di bawah naungan Turki Uthmaniyah diambil alih oleh British dan Perancis untuk menjadi asas kepada kelahiran negara Syria, Jordan, Iraq dan Palestin.

Kemajuan-kemajuan di medan perang amat perlu bagi melengkapkan impian politik zionisme. Kemasukan Amerika adalah suatu yang diraikan. Bahkan dinantikan. Pada masa yang sama berlaku revolusi Bolshevik pada tahun 1917 sehingga Rusia keluar dari Perang Dunia dan berdirinya sistem Komunis berdasarkan ideologi Marxist-Leninist. Rusia telah terlebih dahulu dikalahkan Jerman dalam pertempuran Tenenburg 1914-1915. Rusia tidak mungkin membentuk front (medan) yang berkesan untuk menghadapi Turki.

Kemasukan Amerika pula memberi banyak kelebihan sumber kepada Britain. Penggunaan kereta kebal secara besar-besaran dalam ‘the battle of Cambrai’ (1917) juga merupakan satu kemajuan teknologi di pihak Britain (salah satu scene 1917 ialah bangkai kereta kebal Britain yang dimusnahkan). Di masa yang sama seorang ahli kimia, Chaim Weizmann (seorang anggota Zionist Federation of Britain) telah mencipta bahan Cordite sebagai peledak yang berkesan dalam meruntuhkan rangkaian kubu Jerman. (Scene yang menunjukkan kawah bom sebesar 'swimming pool' dalam filem '1917' adalah kesan penggunaan bahan peledak ini). Ini dijadikan alasan Britain menganugerahkan Palestin kepada lobi Zionist Federation of Britain.

Sebelum perancangan Zionist untuk menduduki Palestin menjadi kenyataan maka babak kemenangan ketenteraan perlu dicipta di Timur Tengah.

Berita US menyertai Perang Dunia Pertama pada 6 April 1917.

Tahun 1917 adalah sangat penting dalam sejarah umat Islam. Apakah penyertaan Amerika dalam Perang Dunia Pertama pada 6 April 1917 yang kebetulan tarikh yang sama dengan plot cerita 1917 membekalkan sumber yang sangat diperlukan bagi kelestarian strategi ketenteraan British di medan medan di Eropah (Western Front). Bahkan sokongan logistik, persenjataan dan strategik di Timur Tengah sama penting atau lebih penting lagi. Kuasa barat perlu menguasai timur tengah dan menumpaskan Turki Uthmaniyah demi menjayakan agenda Zionist Federation of Britain.

Sebab itu British mengerahkan aset ketenteraan Komanwel ke timur tengah. Kekalahan British dan kerugian yang amat besar yang dideritai di Galipolli pada tahun 1915-16 tidak menjejaskan objektif untuk menyerang Turki dari jurusan Sinai dan Hejaz. Hejaz berjaya ditundukkan dengan persetujuan British dan Sharif Hussein di Mekah dalam Hussein-McMahon correspondence 1914.

Kemudian British mengutus T.E.Lawrence of Arabia untuk menghasut orang-orang Arab untuk memihak kepada British dan mengusir askar Turki Uthmaniyah di Timur Tengah. Lawrence of Arabia mula membentuk pasukan bersenjata Arab Legion untuk menyerang kedudukan tentera Turki di Bumi Syams. Operasi ketenteraan di Sinai dan Gaza telah bermula sejak 1915. Askar Australia (Cavalry/Light horse) menumpukan operasi untuk menguasai Megiddo dan Beersheba pada tahun 1917. Kemenangan tentera Australia di Beersheba pada 31 Oktober 1917 dianggap sebagai kunci kemenangan British sehingga Israel meraikan 100 tahun kemenangan di Beersheba pada tahun 2017.

Pada 2 November 1917, Arthur Balfour mengemukakan satu dokumen kepada Perdana Menteri Britain George Llyod memberi izin kepada orang-orang Yahudi untuk berhijrah ke Palestin sebagai negara kebangsaan yahudi (Jewish National Home). Dokumen yang diberi nama Deklarasi Balfour ini diterima Parlimen British sebagai menghargai sumbangan Chaim Weisman (seorang zionis) kerana bahan peledak ‘cordite’ yang dianggap sangat membantu dalam kempen kempennya di Eropah Barat (Western Front).

Pada Disember 2017, Lord Allenby memasuki Damsyik dan melawat makam Salahuddin al-Ayubbi dan berkata:

“Pada hari ini berakhirlah perang salib.”

Maka tahun 1917 adalah tarikh penting yang menandakan kemenangan zionis dalam melaksanakan pelan strategik untuk mendirikan negara zionis Israel di atas bumi Palestin. Pada tahun itu jugalah Khilafah Uthmaniyah berjaya ditumpaskan dalam medan-medan pertempuran di Megiddo, Beersheba dan Damsyik. Maka, tahun 1918 hanyalah menyempurnakan penguasaan ke atas bumi Palestin secara keseluruhannya. (Terlaksanalah hasrat Teodor Hetzl untuk mendirikan negara Yahudi di atas bumi Palestin setelah ditolak dengan penuh ketegasan oleh Sultan Abdul Hamid II seperti ucapan beliau:

“Aku tidak akan menyerahkan Palestin sama sekali; dan akan aku pertahan dengan darahku.”

Pada 11 November 1918 Perang Dunia Pertama diisytiharkan berakhir secara rasmi. Bermulalah proses politik untuk mentadbir Palestin di bawah ‘British mandate’. Sempadan-sempadan politik Jordan, Lubnan, Syria dan Iraq mula dilakar. Pemimpin-pemimpin Arab dilantik di negara-negara yang baru dibentuk ini. Syarif Hussein di Hejaz yang merasa tertipu dipujuk dengan meletakkan putera-puteranya Amir Feisal di Iraq dan Amir Abdullah di Transjordan.

Palestin yang telah dirancang di bawah ‘Sykes Picot agreement’ (1916) sebagai zon antarabangsa dipecahkan dari TransJordan. Dari tahun 1920 hingga 1948 proses pengyahudian berjalan berterusan hingga berdirilah negara haram Israel pada 15 April 1948.

Justeru filem '1917' bagi saya mempunyai mesej yang mempunyai pelbagai tafsiran. Saya tidak tahu motif Sam Mendes dan produksi filem 1917. Saya tidak menyatakan bahawa filem ini ada maksud yang tersirat.

Namun bagi saya apabila filem ini diberi nama '1917' saya secara automatik teringatkan kepada Balfour Declaration, Beersheba, Damsyik dan prolog kepada berdirinya negara haram zionis Israel.

Sekian. Wallahu a'lam bis sawab.

'Hidupkanlah jiwa muslimin dalam diri mu; ibarat kata Muhammad Iqbal - "Membongkar ilhad dari segenap jagat."

 

Israel dan Australia memperingati kemenangan ke atas Turki Uthmaniyah di Beersheba, Palestin pada 31 Oktober 1917.

Dr Hafidzi Mohd Noor

27 Januari 2020

karyabestarifilem
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });