LIDAH KITA GRED APA?


Lidah Kita Gred Apa?

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, pengarang kitab Penawar Bagi Hati, menyebutkan bahawa ada tujuh anggota yang perlu kita jaga. Salah satunya adalah lidah. Rumah kita itu kita pasang pintu, pagar, kenapa? Sebab nak lindungi yang di dalam rumah, penghuninya, barang-barangnya. Ini menunjukkan kalaulah isi di dalam rumah kita pentingkan, maka dalam diri kita ini perlu dipentingkan juga, ada pagar juga. Mula-mula mulut, dalam mulut sikit ada gigi, dalam gigi ada lidah. Allah nak ajar kita betapa bila benda itu ada di dalam, maknanya benda itu kena jaga sungguh. Sebab lidah ini anggota yang sekali sekala nampak.

Lidah ada empat gred. Gred yang pertama dipanggil lidah gred A iaitu lidah yang bermanfaat. Maknanya apa yang dia cakap adalah benda-benda baik. Sarat dengan nasihat, sarat dengan zikir.

Kalau kita lihat alim ulama, akibat terlalu menjaga lidah, setiap perkataan yang keluar dari mulutnya terasa masuk ke dalam hati kita. Ini dipanggil lisan hikmah. Dalam surah Fussilat ayat 33, Allah menyebut, "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya berbanding orang yang menyeru kepada ALLAH, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh."

Lidah gred B adalah lidah yang suka bawa cerita. Tak semestinya bawa cerita yang buruk. Semua perkara yang dia tahu, dia nak cerita pada orang. Ingat pesan Nabi bahawa cukuplah kita ini dianggap pembohong jika menceritakan semua yang kita dengar.  

Lidah gred C adalah lidah yang suka menjatuhkan orang lain. Suka kutuk orang lain. Apa yang keluar dari mulut dia tak ada lain, perkara yang berbau negatif. Payah kalau ada sikap macam ini.

Lidah gred D bila bercakap, dia bersifat keakuan. Maknanya dia bangga diri. Ahli hikmah berkata, rasa diri bagus akan membuatkan diri semakin tidak bagus.

Apa kelebihan orang yang menjaga lidah? Dalam hadis riwayat Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesiapa menjamin bagiku, apa yang ada di antara dua tulang rahangnya dan yang ada di antara dua kakinya, nescaya aku jamin bagi dia syurga."

 

Kesan Lidah Pada Manusia

Saya teringat dulu masa saya sekolah menengah. Saya sembahyang di satu masjid di Alor Setar. Saya siap sembahyang, seorang pak cik panggil saya. Saya pun duduk di sebelah dia. Pak cik itu tanya, "Apa yang kamu tahu tentang jaga pisang sesisir, jaga jarum sebatang?" Jaga pisang sesisir itu maksudnya jagalah tangan. Jaga tangan kita jangan ambil hak orang, jangan pegang benda haram, cari kerja dengan rezeki yang halal. Maksud jaga jarum sebatang, ialah jaga lidah. Lidah umpama jarum. Ada kala boleh digunakan menjahit, ada kala digunakan mencucuk orang. Maknanya lidah ini serba guna.

Apa kesan kalau kita tak jaga lidah? Pernah satu ketika disebutkan bahawa Muaz bin Jabal bertanya kepada Rasulullah SAW jenis amalan yang boleh membawanya masuk ke syurga. Baginda menjawab, sembahlah Allah, jangan sekutukan Allah, puasa, bangun malam, dan sebagainya. Banyak lagi yang baginda sebut. Tapi di hujungnya baginda kata tahukah apa asasnya bagi semua ini? Lalu Muaz bin Jabal jawab, Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Asasnya ialah (Nabi tunjuk ke arah lidah). Maknanya, semua amalan yang disebut tadi adalah amalan yang hebat, tapi yang paling hebat adalah jaga lidah.

Ada juga lidah yang kita sebut sebagai lidah rahmah. Iaitu lidah yang apabila bercakap, ia menjaga hati orang lain. Paling kita kena jaga lidah rahmah ialah dengan ibu bapa kita. Imam Ghazali berkata, "Cukuplah kamu disebut sebagai anak derhaka bila ibu kamu yang bertanya khabar tentang kamu." Dalam al-Quran disebutkan kalau dengan ibu bapa, bercakaplah dengan nada yang mereka berasa sedang dimuliakan. Contohnya, kaitkan kejayaan kita dengan ibu bapa.

Suatu ketika dahulu, ada seorang wanita yang kuat beribadah, sampaikan orang lain yang nampak akan kata dia adalah ahli syurga. Lalu Nabi Muhammad SAW berkata, "Dia ahli neraka." Semua yang mendengar pun terkejut. Baginda berkata lagi, "Semua amalannya yang kamu nampak itu rosak kerana lidahnya."

Ada orang kata dirinya mulut saja jahat, tapi hatinya baik. Tapi kalau perah limau, keluar jus epalkah? Maksudnya kalau hati itu baik, marah pun terkeluar benda baik. Contohnya Nabi Muhammad SAW. Dalam hadis riwayat Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya."

Fudhail bin Iyad pernah berkata ada dua perkara yang mengeraskan hati. Yang pertama, banyak cakap (yang sia-sia). Ciri-ciri orang yang hatinya keras: malas beribadah, tak menyesal kalau buat dosa. Perkara kedua yang mengeraskan hati, banyak makan.

Lidah juga kalau tak dijaga baik-baik, ia akan membawa ke arah suka menipu. Dalam hadis riwayat Tirmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Apabila seseorang hamba berbohong, malaikat akan menjauhkan diri daripada orang itu, jarak satu batu kerana bau busuk hamba tersebut."

Seorang ibu pun jangan sampai menipu. Pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW, seorang ibu memanggil anaknya. Anaknya tak nak datang. Ibu itu kata kalau anaknya datang dekat, dia akan beri kurma. Nabi terdengar perbualan itu. Lalu Nabi bertanya benda yang ibu itu sebut ada ataupun tidak. Ibu itu jawab, ada. Lalu Nabi berkata kalau benar ada, tak mengapa, tapi kalau tiada, lalu di sisi Allah dia dicatat sebagai pembohong.

Imam Syafie kata ada dua petua awet muda. Yang pertama, jaga lidah daripada berbohong. Yang kedua, bertanya pada soalan yang sepatutnya.  

Sekarang kita dah tahu yang lidah ini sangat sensitif; boleh bawa kita ke syurga, pun boleh bawa kita ke neraka. Kalau rasa tiada perkara bermanfaat yang nak dicakap, diam lagi baik. Kalau dah lidah tu nak keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang, yang memecahbelahkan masyarakat, yang boleh bawa fitnah dan kerosakan, maka diam lagi baik.

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });