Kematian Qassem Soleimani - Apa Sikap Kita?


Arham Merican | 22-01-2020
Kredit gambar: Mostafa Meraji on Unsplash

Latarbelakang

10 hari pertama 2020 ini kita dihangatkan dengan perbincangan masyarakat dunia tentang kemungkinan berlakunya Perang Dunia Ketiga, World War 3 (WW3). Kebimbangan ini bermula dengan serangan dron tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas dua individu berprofil tinggi; Qassem Soleimani, Komander Tertinggi Pasukan Elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan Abu Mahdi al-Muhandis, Timbalan Ketua Hashed al-Shaabi Iraq. AS mendakwa kedua-dua individu ini bertanggungjawab merancang dan sedang menyusun serangan ke atas aset-aset strategik AS di Timur Tengah.

Serangan yang telah membunuh kedua-dua individu ini disambut dengan ancaman serangan balas oleh Iran. Akhirnya tidak lama selepas itu, Iran memulakan serangan balas dengan melancarkan 15 peluru berpandu balistik dari Tehran ke atas pangkalan tentera AS di Iraq. Iran mendakwa 80 orang terbunuh namun kenyataan rasmi Presiden AS, Donald Trump menyatakan sebaliknya iaitu tiada kematian jiwa direkodkan.

Kemudian, kedua-dua pihak AS dan Iran bersetuju untuk tidak lagi meneruskan serangan dengan kenyataan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif yang mengatakan bahawa serangan telah dibuat dan Iran tidak berhajat untuk berperang.

Sementara itu, masyarakat dunia ada yang masih melakukan demo dan protes bagi menolak perang baru antara dua negara berlaku dan di Iran, himpunan besar-besaran dilakukan bagi memperingati kematian Qassem. Himpunan terbesar berlaku di kampung halaman Qassem, Kerman di mana seramai 56 orang terbunuh dan lebih 200 orang cedera disebabkan asakan dan dipijak sepanjang himpunan.

Qassem dikebumikan di sana dan upacara pengkebumian terpaksa ditangguhkan daripada waktu asal disebabkan insiden berdarah tersebut.

Siapa Qassem Soleimani

Qassem dilahirkan di Qanar-e Malak, wilayah di Selatan Iran pada tahun 1957. Ketika umurnya 13 tahun, keluarganya berpindah ke Kerman dan ketika bermulanya Revolusi Iran menentang pemerintahan Shah, dia bertanggungjawab mengadakan demo dan himpunan bagi menyokong Revolusi.

Ketika meletusnya Perang Iraq-Iran, dia mula berkhidmat dengan Pasukan Elit Kor Pengawal Revolusi Iran dan di sana dia dinaikkan pangkat sehinggalah menjadi Komander Tertinggi.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran merupakan sebuah pasukan tentera yang ditubuhkan pasca Revolusi pada tahun 1979. Objectif penubuhannya adalah menjadi banteng pertahanan kepada kelangsungan empayar pemerintahan Khomeini.

Antara peranan lainnya juga adalah melebarkan pengaruh kerajaan Iran di kawasan serantau seperti Afghanistan, Yaman, Iraq, Syria, dan Lubnan. Oleh kerana itu, mereka boleh dikesan terlibat dalam banyak konflik yang sedang berlaku di negara-negara tersebut.

Di Yaman, mereka membantu pemisah Houthi bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Abed Rabbo Mansour Hadi pada tahun 2015. Di Syria, mereka membantu kerajaan Bashar Assad menghentikan protes dan membunuh rakyat Syria yang menentangnya.  Di Iraq, mereka membantu AS dalam serangan ke atas kerajaan Saddam Hussein pada tahun 2003 dan kini terlibat secara aktif dalam pentadbiran kerajaan baru Iraq yang ditubuhkan oleh AS.

Selain itu, mereka aktif membantu Hezbollah di Lubnan dan tidak dinafikan juga mereka turut membantu rakyat Palestin melalui bantuan kepada perjuangan HAMAS dan Jihad Islami di Gaza. Disebabkan peranan mereka di Gaza, kedua pimpinan HAMAS dan Jihad Islami telah menghantar wakil mereka ke Iran untuk mengucapkan takziah atas kematian Qassem.

Reaksi Antarabangsa

Ada dua reaksi masyarakat antarabangsa yang boleh dilihat daripada kematian Qassem, gembira dan sedih. Di Syria yang kini telah 9 tahun bergolak, rakyat Syria di Idlib menyambut berita kematian Qassem dengan mengedarkan manisan. Bagi mereka, Qassem dan  Pasukan Pengawal Revolusi Iran bertanggungjawab terhadap jutaan kematian rakyat Syria sepanjang 9 tahun ini.

Di Iraq, kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung dan meluluskan resolusi di Parlimen mendesak tentera AS di Iraq untuk kembali ke negara mereka. Di Lubnan, pimpinan utama Hezbollah, Hassan Nasrallah melakukan ancaman serangan terhadap tentera dan asset ketenteraan AS di Lubnan. Di samping itu, Arab Saudi dan Turki mendesak dan berusaha mengelakkan berlakunya perang antara kedua negara khususnya meletusnya satu lagi konflik berdarah di Iraq.

Kerajaan haram Israel memuji Donald Trump atas operasi membunuh Qassem dan di Iran, Parlimen meluluskan satu akta yang mengkategorikan Tentera AS sebagai kumpulan pengganas. Langkah serupa AS tahun lepas yang mengkategorikan Pasukan Pengawal Revolusi sebagai kumpulan pengganas luar negara.

Reaksi Kita

Sebagai rakyat Malaysia, kita tentunya bersama dengan masyarakat antarabangsa yang tidak mahukan satu lagi peperangan untuk berlaku. Serangan AS terhadap Qassem di Iraq melanggar undang-undang antarabangsa menurut beberapa pakar perundangan, malah ia melanggar perundangan AS sendiri yang menuntut serangan seperti itu untuk dibincangkan di Kongres bukan hanya diputuskan oleh Presiden.

Sebagai rakyat Malaysia juga, kita tidak boleh menutup sebelah mata terhadap penderitaan saudara kita di Syria, Yaman, Iraq dan sebagainya. Penglibatan lansung Qassem dalam penderitaan mereka bukanlah suatu perkara yang boleh kita lupakan.

Pandangan penganalisa politik antarabangsa, Dr. Azzam Tamimi yang melihat bahawa pertembungan AS-Iran ini sengaja dicetuskan untuk kepentingan politik peribadi kedua negara juga menarik untuk kita amati. Di Iraq, kebelakangan ini protes demi protes telah berlansung menolak pengaruh Iran ke atas kerajaan Iraq dan menolak pemimpin-pemimpin Baghdad yang korup dan pro-Iran. Tentunya ini membimbangkan pihak di Iran.

Manakala di AS, Presiden Trump sedang dihadapkan atas dakwaan salahguna kuasa Presiden di mana andai disabitkan bersalah, Trump boleh dilucutkan jawatan Presiden. Ketegangan AS-Iran yang dicetuskan ini mungkin satu usaha melarikan fokus ramai pihak daripada isu sebenar dan akhirnya menyelamatkan pihak tertentu yang berkepentingan.

(Penulis adalah Pengarah Eksekutif Siasah Rahmah  Research&Consultancy merangkap Ahli Jawatankuasa Antarabangsa IKRAM Muda Malaysia)

Qassem Soleimani
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });