EMAK DERHAKA?


MAK! Minta maaf mak! Acik janji tak buat lagi!” jeritan Izah semakin kuat.

“Aku dah kata jangan buat bising masa bapak kau tidur!” dirotannya lagi Izah yang sudah diikat di batang pokok mertajam.

Anak bongsunya yang baru mencecah umur lapan tahun itu menjerit lebih kuat. Dia menangis kerana lengannya pula digigit semut yang banyak merayap di batang pokok itu.

Dalam kabur pandangan mata, dia ternampak kakak dan abangnya di atas rumah. Masing-masing menahan ketakutan. Ibu mereka, Mak Timah memang terkenal dengan kegarangan terhadap anak-anaknya.

***********************************************************************************

TERSENYUM Izah melihat bingkai gambar mereka sekeluarga. Memori bersama ibu dan arwah ayah tergambar di ruang fikiran. Walaupun selalu dimarahi, dia rindukan Mak Timah.

“Assalamualaikum angah. Balik kampung tak minggu ni?” soal Izah ketika abangnya menjawab panggilan telefon.

“Waalaikumussalam. Huhh, mak bukannya suka aku balik!” Ilham mendengus kasar.

Izah terdiam.

“Izah balik minggu ni.”

“Mak tahu ke belum?”

“Belum.”

Ilham mengeluh berat. “Mak bukannya suka kita balik. Kau telefonlah kak long dulu. Aku tak mahu nanti mak bermasam muka lagi dengan kita.”

Setelah berbual seketika dengan Ilham, Izah mematikan talian. Dia termenung lagi. Mengingatkan Mak Timah, Izah berasa sebak. Sejujurnya, Izah dan adik-beradiknya lebih rapat dengan arwah ayah mereka.

“Assalamualaikum, mak. Izah ni, mak sihat?”

“Waalaikumussalam. Hah, kau nak apa Izah?”

Izah menelan air liur mendengar suara ibunya yang kuat itu.

“Izah nak balik minggu ni, boleh ke mak?”

“Tak payah balik! Menyusahkan aku nak kemas-kemas bilik, nak masak lagi. Nanti anak-anak kau tu sepahkan rumah, siapa nak kemas balik?!” jerkah Mak Timah.

Izah tergamam. Perkara yang sama diulang oleh Mak Timah. Bukan saja dia yang kena, angah dan kak long juga begitu. Angah lebih teruk kena marah sebab anak-kanak dia masih kecil.

Pernah suatu masa, angah terpaksa pulang kembali ke Kuala Lumpur pukul satu pagi sebab anaknya yang baru berusia enam bulan itu menangis tidak berhenti. Mak Timah mengamuk malam itu lalu menghalau mereka sekeluarga keluar dari rumahnya.

“Izah balik nanti, Izah bawa ikan terubuk yang mak suka tu. Kita masak dan makan sama-sama ya?” Izah cuba memujuk Mak Timah lagi.

Terdengar dengusan halus di hujung talian. “Aku tak nak. Ikan tu banyak tulang. Dahlah, tak perlu kau susah payah balik sini.”

“Tapi, mak...”

Belum sempat Izah menamatkan kata-katanya, talian diputuskan. Izah menangis. Dia sukar mengerti sikap ibunya yang seakan menjauhkan diri daripada anak-anak.

“Izah telefon mak ke?” soal suaminya.

Izah mengesat pipinya yang kebasahan. “Ya, tapi mak masih macam tu. Izah tak tahu nak buat apa. Kak long kata, orang gaji yang kami minta untuk jaga mak di kampung tu dah berhenti sebab mak tak nak orang jaga dia.”

“Habis tu, siapa yang jaga dan masak untuk mak?”

“Mak sendiri yang masak. Abang, macam manalah saya tak risau, mak tu dahlah sakit, mana dia mampu nak buat semua kerja rumah.”

Suaminya menggelengkan kepala. Hubungan dia dengan ibu mertuanya juga tidak baik. Dia kasihankan isterinya tetapi dia juga sudah buntu untuk membantu.

***********************************************************************************

“KAK LONG rasa nak tebang aje pokok mertajam tu,” gurau Iman ketika kereta mereka menghampiri rumah pusaka itu.

Izah tergelak kecil. “Tempat diikat lagikan dikenang.”

Iman ketawa. Masakan tidak, mereka bertiga masing-masing pernah diikat di pokok itu. Apabila petang sahaja, tubuh badan mereka berbirat warna merah kerana digigit semut. Arwah ayahlah yang selalu menyapu minyak di tubuh mereka pada waktu malam.

“Assalamualaikum… emak! Oh, emak! Mak!”

Izah memerhatikan rumah pusaka yang nampak begitu sepi. Tingkap semuanya tertutup rapat. Ampaian kain kosong. Namun, halaman rumah nampak bersih dengan rumput yang pendek.

“Oh, Iman dengan Izah rupanya. Cari mak kamu ke?” tiba-tiba muncul Mak Cik Nab, jiran mereka.

“Dari tadi kami panggil mak tapi tak menyahut. Pintu pun berkunci.”

“Cuba kamu pergi ikut dapur. Biasanya Timah ada aje kat belakang tu. Hah, alang-alang kamu dah ada sini, mak cik bagi kat kamu ajelah,” ujarnya sambil memberikan beberapa bungkusan plastik.

“Eh, apa ni mak cik?” soal Izah sambil melihat isi bungkusan tersebut. Bayam seikat, lobak merah sebiji, kobis, bungkusan ikan dan beras. Bawang, cili, sebotol kicap, gula dan garam turut memenuhi bungkusan.

“Kamu bagi mak kamu tu. Kata Mak Cik Nab yang bagi. Kalau kata angah kamu yang bagi, melenting pula dia nanti,” ujar Mak Cik Nab.

Iman melopong,“Angah bagi? Ilham?”

Mak Cik Nab mengangguk. “Ilham selalu singgah rumah mak cik. Dialah yang upah orang untuk bersihkan halaman rumah ni setiap bulan. Dia juga kirim duit pada mak cik untuk belikan barang-barang rumah mak kamu.”

Izah terkedu. Disangkanya angah tidak mahu ambil tahu lagi keadaan ibu mereka. Walaupun masing-masing berusaha untuk memenangi hati ibu sendiri, entah kenapa Mak Timah masih berkeras dengan caranya.

“Mak! Assalamualaikum mak!” jerit Iman lagi ketika mereka sudah berada di tangga dapur.

Tidak beberapa lama selepas itu, kedengaran pintu dapur dibuka dari dalam. Berdebar-debar Izah kerana kali terakhir mereka berjumpa kira-kira sepuluh bulan yang lepas, sewaktu arwah ayah dikebumikan.

“Hah, kamu berdua buat apa dekat sini?” Mak Timah yang berkain batik dan berbaju kurung Kedah lusuh itu menyergah mereka lalu menjenguk ke luar dan memerhatikan keadaan sekeliling.

“Kami balik nak jenguk emaklah. Rindu sangat dengan mak. Rindu nak rasa makanan mak,” Iman cuba ajak bergurau.

“Huh! Kau nak buat apa jenguk aku?”

Terkedu Iman seketika. Izah apatah lagi, ingin saja dia menitiskan air mata di situ juga. Wajah Mak Timah masam mencuka. Baru dia ingin menutup pintu dapur, Izah menjerit tiba-tiba.

“Mak! Kenapa mak benci sangat dengan kami?”

Iman terperanjat mendengar jeritan Izah. Jarang adiknya yang pendiam itu memberontak. Iman menelan air liur yang terasa kesat. Sebagai kakak, dia memang mengerti mereka kekurangan kasih sayang seorang ibu walaupun wanita yang melahirkan mereka itu ada di hadapan mata.

“Aku memang tak suka sebab kamu semua degil! Menyusahkan aku siang malam! Dari kecil sampai besar, tak habis-habis menyakitkan hati aku!” pekik Mak Timah.

“Mak! Maafkan kami mak! Kami tak ada niat langsung nak menyusahkan mak. Kami sayangkan mak, mak jangan buat kami macam ni...” Izah menangis penuh hiba.

Manakala Iman sudah terduduk di atas anak tangga rumah. Dia termenung panjang. Kenapa mak marah mereka? Apa salah mereka?

“Aku dah kata jangan balik sini, jangan baliklah! Kau nak jadi anak derhaka ke?”

“Mak!!! Ya ALLAH, maafkan kami mak! Mak jangan cakap macam tu, mak! Maklah syurga kami. Kami tak mahu jadi anak derhaka, mak...” Iman pula menjerit sambil pantas menaiki anak tangga lalu memeluk kaki Mak Timah.

Jiwanya pecah berderai. Selama ini dia menjaga perasaannya sendiri, hanya untuk ibunya. Dia mahu jadi anak yang baik, yang sentiasa mendoakan ibu dan ayahnya saban waktu. Apa sahaja dia turutkan, janji ibunya bahagia. Dia pendam semahunya, saban waktu dia berdoa kepada ALLAH SWT.

“Hisy, jangan peluk kaki akulah! Balik! Biar aku duduk sorang di sini. Lagi aman. Kamu balik! Aku cakap balik!” Mak Timah menolak tubuh Iman dengan kakinya.

Malang tidak berbau, Iman jatuh tergolek di atas tangga rumah. Mujur Izah sempat menghalang tubuh kakaknya itu daripada jatuh ke tanah. Kedua-dua adik beradik itu menangis tidak berhenti.

“Timah! Kenapa kamu buat anak-anak kamu macam ni?! Ya ALLAH! Mengucap Timah! Kau patut bersyukur ada anak-anak yang sayangkan kau! Kau tahu tak siapa yang bagi kau barang-barang rumah tu? Anak lelaki kau, Ilham! Anak lelaki yang kau boleh harapkan untuk jaga kau sampai mati, Timah! Ya ALLAH!” Mak Cik Nab yang tiba-tiba muncul di situ menempik dengan geram.

Mak Timah masih berdiri di hadapan pintu. Wajahnya tidak berubah. Sesekali dia menjeling tajam ke arah Iman dan Izah yang berada di tangga bawah.

“Aku tak suruh diorang jaga aku, Nab! Kalau sibuk-sibuk sangat nak jaga aku, baik bagi aku mati aje! Senang! Tak payah ada orang jaga aku!”

“Mak! Astaghfirullahal a’zim… tolong jangan cakap macam tu mak!”

“Huh, dah besar pun masih menyusahkan orang! Kalau tak nak bagi aku mati, lebih baik kau berdua yang pergi mati!” jerkah Mak Timah.

“Timah!!! Astaghfirullahal a’zim! Jangan cakap macam tu Timah!” Mak Cik Nab tergamam. Dia tahu perangai Timah yang memang dingin terhadap anak-anaknya sejak dari kecil lagi, tetapi dia tidak tahu mengapa Timah membenci mereka.

“Mak… kami minta maaf mak! Kami pergi sekarang kalau itu yang boleh buatkan mak bahagia. Maafkan kami mak, halalkan air susu yang mak pernah bagi kami, makan minum kami, kami nak...”

Pintu dapur terus ditutup dengan kuat. Iman dan Izah baru saja mahu menaiki tangga untuk menyalami ibunya. Mereka terpaksa akur jika itu yang ibu mereka mahukan.

Tersentuh hati Mak Cik Nab melihat Iman dan Izah yang berpelukan. Dia segera menghampiri mereka berdua, lalu memeluk mereka dengan erat. Air matanya bercucuran jatuh.

Alangkah bahagianya jika mereka berdua itu anaknya sendiri. Dia dan suaminya redha dengan qadak qadar ALLAH SWT. Mereka tidak dikurniakan rezeki anak. Justeru, dia begitu terkilan dengan Mak Timah yang tidak pernah menghargai permata-permata syurga yang dimilikinya.

“Tak apalah nak... jangan marahkan mak kamu. Mungkin dia ada alasannya sendiri. Terus berdoa ya, moga ALLAH bukakan hati mak kamu. Datanglah rumah mak cik bila-bila rasa rindu. Tak dapat nak tengok jauh, tengok mak dari rumah mak cik macam Ilham buat tu pun tak apa...” Mak Cik Nab berkata perlahan.

Iman dan Izah hanya mengangguk. Masing-masing lemah tidak bermaya. Mereka akhirnya meminta izin untuk pulang ke Kuala Lumpur. Hati mereka berdua bagai disiat-siat dengan perilaku ibu mereka yang tersayang.

***********************************************************************************

“MAK TIMAH! Mak Timah!” jeritan seseorang menyebabkan Mak Cik Nab dan suaminya keluar tergesa-gesa dari rumah mereka dengan penuh tanda tanya.

Tadi, usai menunggu kereta Iman dan Izah hilang dari pandangan, Mak Cik Nab masuk ke dalam rumah. Dia berura-ura mahu memanaskan lauk-pauk untuk makan tengah hari nanti.

“Kenapa Zaid? Kenapa kau terjerit-jerit panggil Timah tu?” soal suami Mak Cik Nab.

Wajah Zaid nampak cemas. Belum sempat dia bercakap, bunyi pintu dikuak menyebabkan mereka bertiga menoleh pantas.

“Mak Timah cepat bersiap! Kita pergi hospital,” ajak Zaid dengan tergesa-gesa.

“Kau gila ke nak suruh aku pergi hospital?!” jerkah Mak Timah.

“Kenapa Zaid?” soal Mak Cik Nab pula.

“Iman dan Izah kemalangan dekat depan simpang sana dan...”

“Dan apa Zaid?!” pekik Mak Cik Nab kerana kurang sabar ingin tahu lebih lanjut.

“Hmm... diorang dah meninggal dunia.”

Mak Cik Nab jatuh terjelepok di atas tanah. Mana mungkin mereka sudah meninggal dunia? Baru beberapa minit tadi dia sendiri yang melihat mereka berdua melambai tangan semasa dalam kereta.

Mak Cik Nab menangis teresak-esak. Dia memandang tajam ke arah Mak Timah yang sudah terduduk juga di tepi pintu rumah. Wajahnya jelas menunjukkan riak terkejut.

“Semua ni salah kau Timah! Puas hati kau, kan?! Anak-anak kau mati macam yang kau harap-harapkan!” jerit Mak Cik Nab.

Suami Mak Cik Nab cepat-cepat memeluk isterinya sambil meminta dia bersabar. Mak Timah masih begitu, tidak bergerak. Hanya matanya sahaja yang semakin panas dengan takungan air.

BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });