7 GOLONGAN BAKAL MENDAPAT NAUNGAN ALLAH SWT PADA HATI KIAMAT


Ada tujuh golongan yang akan mendapatkan naungan Allah pada hari kiamat.
Siapa mereka itu?

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi SAW bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:

Naungan Allah ini dapat diertikan secara sebenarnya iaitu naungan dari ‘arasy Tuhannya, tetapi dapat juga ditafsirkan sebagai kinayah iaitu dalam lindungan Allah dan ditempatkan di tempat yang dimuliakan.

Penjelasan lanjutnya adalah sebagai berikut:

1. Pemimpin yang adil

Pemimpin di sini termasuk ketua negara, presiden, gabenor, ketua daerah, ketua pejabat, penghulu, ketua rumah tangga (suami) atau ketua pelajar. Kerana setiap kita adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak. Untuk itu, seorang pemimpin perlu bertindak adil sehingga semua orang yang dipimpinnya boleh merasakan perkhidmatan yang maksimum dan menegakkan peruntukan undang-undang yang sebenar.

2. Pemuda yang rajin dalam beribadah kepada Allah SWT

Masa muda adalah masa di mana syahwat sedang memuncak sehingga tidak kurang ramai pemuda yang terjerumus dalam kemaksiatan. Hanya pemuda yang mampu mengisi hari-harinya dengan ibadah sahaja yang terselamat pada hari kiamat. Sebagaimana kisah ‘Ashabul Kahfi’ (para pemuda Kahfi) yang mengelakkan kezaliman penguasa untuk menyelamatkan aqidah mereka.

3. Seorang yang hatinya bergantung ke masjid

Orang yang tidak akan terlepas setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardu berjemaah. Hatinya selalu ‘risau dan resah’ apabila jauh dari masjid, berasa sedih apabila tidak boleh mendatanginya pada waktu-waktu solat berjemaah atau ketika majlis diadakan.

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah.

Tingkatan hubungan keimanan tertinggi adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah. Apabila dua orang saling mencintai kerana masing-masing selalu menjaga kecintaannya kepada Allah, bertemu dalam rangka mengingat Allah dan berpisah dengan tetap dalam zikir pada Allah, maka keduanya akan selamat pada hari kiamat.

5. Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan kaya dan cantik tetapi ia menolak dan berkata, “aku takut pada Allah.”

Sebagaimana kisah Nabi Yusuf a.s yang digoda oleh Zulaikha, keduanya saling cenderung sehingga jika bukan kerana petanda daripada Allah, maka keduanya akan melakukan maksiat sehingga Yusuf a.s berkata, “Ya Allah! Lebih baik hamba dipenjara daripada melakukan maksiat kepadamu.” Suatu peristiwa yang mungkin pada masa ini sangat jarang berlaku dan sukar ditemui.

6. Seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan.

Amal yang disertai dengan sepenuh keikhlasan adalah salah satu syarat diterimanya amal kebajikan oleh Allah. Keikhlasan adalah perkara yang sukar dan oleh kerana itulah hanya orang yang ikhlas sahaja yang tidak akan dipesongkan dan disesatkan oleh syaitan laknatullah.

7. Seseorang yang berzikir kepada Allah dalam kesunyian sehingga menitiskan air mata.

Zikir bagi orang beriman ibarat nafas bagi setiap makhluk yang hidup. Ketika seseorang tidak leka dan terlepas daripada zikir sama ada pada waktu siang mahupun malam, maka ia seolah-olah makhluk hidup yang sentiasa boleh bernafas bebas. Mengingati Allah sehingga menitiskan air mata adalah sesuatu yang amat sukar, kecuali bagi insan-insan yang hatinya telah lembut oleh hidayah Allah. Sebagaimana ciri orang beriman, ketika mendengar kalimat Allah, maka bergetarlah hatinya dan ketika mendengar Al-Quran, maka bertambah teballah keimanan mereka.

Sebagai seorang hamba yang masih dipinjamkan hayat di dunia ini. Semoga kita dapat mengambil ikhtibar dan hikmah daripada huraian hadis di atas. Ddiharapkan semoga kita termasuk dan menjadi salah seorang daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat kelak. Hanya dengan naungan Allah sahaja yang kita dambakan dan boleh selamatkan diri kita daripada kepedihan hari pembalasan.

Aamiiin Yaa Robbil Alamiiin!

 

Kredit: Rumah Ngaji

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });