Cara Mendidik Rasa Tauhid kepada Anak-anak


Ustaz Pahrol Mohamad Juoi | 08-01-2020

“Dia dah selesai ilmu fardu ain pada umur 10 tahun! Dua tahun khatam Quran. Tak sangka jadi begini,” katanya sambil menggeleng-geleng. Wajahnya muram. Apa tidaknya anaknya telah digantung persekolahan. Masalah disiplin.

“Jangan sedih sangat bang, ada masa lagi untuk membetulkannya. Dia baru berumur 15 tahun,” pujuk saya.

“Dah 15 tahun... itulah yang membuat saya lebih risau. Dah akil baligh. Dia sepatutnya makin baik, tetapi sebaliknya pula terjadi.”

“Saya dapat rasa kebimbangan abang tu. Jadi apa perancangan abang?” tanya saya empati.

“Ni yang jumpa awak ni. Nak minta pandangan. Berdepan dengan anak sendiri perlu suluhan multi-dimensi. Kekadang benda yang dah terlalu dekat, tak nampak lagi dek kita,” akuinya terus terang.

Saya terdiam. Kami dah macam adik-beradik. Dia pakar dalam bidang pendidikan. Oleh sebab bidang kami sealiran, selalulah kami bertukar-tukar pandangan. Kekadang soal kertas kerja, ‘presentation paper’ dan sebagainya. Tapi kali ni lebih serius. Soal anak sendiri. Ini bukan teori lagi. Masalah sudah menganga di depan mata.

“Apa maksud selesai fardu Ain tu?” tanya saya, mengorak langkah pemikiran.

“Selesai pembelajarannya. Dalam mengenalkan Allah misalnya, anak saya dah kenal 99 nama Allah. Dah belajar sifat 20 dengan dalil naqli dan aklinya sekali. Jadi persoalan tauhidnya dah selesai.”

“Tauhid tidak semudah itu bang. Dan segi ilmu, OKlah. Tapi bagaimana soal penghayatan penitipan yang akhirnya membuahkan kelakuan?”

“Maksud awak soal pendidikan tauhid bukan pelajaran tauhid?” balasnya kembali. Saya mengangguk dan terus menyambung, “Bukan itu sahaja tetapi yang paling penting bagaimanakah cara kita menanamkan rasa tauhid itu ke dalam diri anak kita?”

“Saya bercakap soal isi, soal content, awak bercakap soal pendekatan, soal container, begitu? Sejak bila pula soal pendekatan lebih penting daripada soal isi?” joloknya tiba-tiba.

Saya dah biasa begitu. Corak berhujahnya memang agak agresif.

“Sejak kita tahu betapa pentingnya cara menyuap nasi yang tepat ke dalam mulut. Nasi memang penting, tetapi kalau cara menyuapnya tak tepat... ‘miss soru’ juga!” usik saya.

“Itu analogi. Saya nak fakta.”

“Al-Quran mengajar begitu. Allah memperkenalkan diri-Nya mengikut cara yang begitu sistematik dan berkesan,” balas saya.

“Saya tidak faham, terus terang saya akui. Cuba jelaskan,” pintanya perlahan. Sikap inilah yang menyebabkan saya menghormatinya sejak dulu. Bahkan itulah yang menyebabkan kami tetap akrab sejak dulu.

“Menerusi al-Quran. Allah tidak memperkenalkan nama-Nya dahulu. Allah terlebih dahulu mengajak manusia memikirkan siapa yang menjadikan alam ini. Siapa yang menjadikan matahari, siapa yang mengatur perjalanan planet, siapa yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan? Menurunkan hujan? Ayat Quran tentang itu diturunkan dahulu. Dia Tuhan yang mengajar. Dia Tuhan menjadikan, menumbuhkan, mengaturkan, dan sebagainya.”

“Jadi Allah belum memperkenalkan nama-Nya?”

“Ya, Allah hanya menjelaskan betapa besarnya kuasa yang menjadikan segala-galanya itu. Semua Dia, Dia, Dia.”

“Kemudian?” dia bersuara selepas agak lama memberi laluan kepada saya.

“Barulah dalam surah al-Ikhlas. Tuhan buat kali pertamanya menegaskan. Qul Huwallah hu Ahad... Katakan Dialah Allah Tuhan yang Esa.”

“Apa hikmahnya?”

“Fokus saya bukan hikmah tetapi kaedah. Allah menonjolkan keagungan-Nya, kebesaran-Nya, kebaikan-Nya, kebijaksanaan-Nya, barulah disusuli dengan nama-Nya. Allah!”

“Apa kaitannya dengan masalah anak saya?”

“Itu khusus. Mari kita sambung soal yang umum dulu. Nanti masalah yang khusus akan tersuluh dengan sendirinya. Boleh?” Dia mengangguk.

“Sejauh mana kita menggunakan alam ini sebagai bahan pendidikan untuk memperkenalkan Allah dalam pelajaran tauhid kita? Kebanyakan kita terus memperkenalkan secara simple. Nak, nama Tuhan kita Allah, Dia Hebat, Dia Agung. Dia Besar... tetapi macam mana nak dirasakan kebesaran dan kehebatan itu jika alam sejagat ini tidak digunakan sebagai bukti?” “Ada, saya masih ingat ustaz dan ustazah berkata, buktinya wujud Allah, kerana adanya alam ini.”

“Cukupkah hanya itu? Terasakah hebat, besar, agung dan kebesaran Allah hanya kenyataan sebegitu. Dalam sastera kita diajar tak cukup sekadar mengatakan ‘rumah itu indah’ tetapi perlu diperkukuhkan gambaran keindahan itu dengan lebih terperinci agar kita terasa. Misalnya, tiangnya yang berukir, atapnya yang disusun seakan-akan berombak-ombak, tangganya, pintunya, tiangnya yang... dan sebagainya.”

“Kalau nak macam tu, ertinya Tauhid mesti diajarkan bersama Sains! Sains sahaja yang boleh menggambarkan betapa kompleks tetapi sangat tersusunnya alam ini.”

“Iyalah, kerana Sains akan menyerlahkan lagi sifat Tuhan yang diwakili oleh 99 nama-Nya itu. Tapi berapa kerat ustaz atau guru Sains yang mampu melakukan semacam itu?”

“Jadi ilmu Tauhid anak saya tak selesailah? Fardu Ainnya tak selesai?”

“Selesai tu relatif. Kalau selesai diukur sekadar habis mempelajarinya, OKlah. Dan sahlah tu. Tapi jika selesai diukur berdasarkan Tauhid tu berperanan dalam hidup, saya kira belum selesai.”

Mukanya berkerut. Semacam tak setuju dengan kata saya.

“Nak tahu kaedah kedua cara Allah memperkenalkan diri-Nya?” belok saya menggoda ghairah akalnya.

“Ada lagi?”

“Allah memperkenalkan dahulu sifat-sifat-Nya yang lembut, baik, pemurah, penyayang dahulu sebelum memperkenalkan sifat-Nya yang Maha Membalas, punya seksa yang Maha Pedih dan sebagainya.”

“Kenapa?”

“Sebab Allah nak menimbulkan rasa dekat, rasa cinta dan rasa sayang para hamba terhadap diri-Nya. Dengan rasa cinta, sayang itu barulah hamba-Nya merapatkan diri. Datanglah pengabdian dengan rasa cinta. Selepas itu barulah diperkenalkan-Nya sifat-sifat yang menggerunkan seperti Dia memiliki seksa yang amat pedih, Maha Merendahkan, Maha Pengancam dan sebagainya. Rasa cinta dulu baru rasa takut.”

 “Salah kaedah, walaupun betul isi,” keluhnya lagi.

“Anak mesti dididik dengan rasa cintakan Allah berdasarkan sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang lembut lebih dahulu sebelum rasa takut berasaskan sifat dan nama-nama-Nya yang keras. Ni tidak, buatlah jahat, nanti Allah humban dalam neraka. Bohong? Lidah kena gunting dengan api! Tak diterangkan, tengok tu hujan... wah Allah sayang kita. Banyaknya rezeki kita malam ni, ini tanda Allah Pemurah. Ini cara yang betul.”

“Betul juga, macam tukang masak. Walaupun bahan-bahan dan resipinya betul tetapi kalau silap kaedah masuk bahan-bahan tu ke dalam kuali, rosak!”

“Eh, kata tak mahu analogi. Nak fakta je...”

“Analogi saya menjelaskan fakta. Bukan analogi kosong.”

“Nak dengar kaedah yang ketiga cara Allah memperkenalkan diri-Nya?”

Kami terus berbual. Perbualan itu nanti akan saya juruskan kepada soal aplikasi dalam kehidupan sehari-hari. Bagaimana mentauhidkan diri anak-anak dalam kehidupan hariannya.

Bayangkan sahabat saya yang pakar itu pun masih tercari-cari kaedah walaupun sudah pasti tentang isi, bagaimana pula mereka yang tak jumpa isi dan tak jumpa kaedah? Dan mungkin ada yang sudah nampak isi dan kaedah, tetapi kabur soal aplikasinya? Sesungguhnya, mentauhidkan Allah adalah satu perjuangan yang tak selesai-selesai. Subhanallah, bantulah kami dalam mengenal-Mu dengan akal dan hati. Agar dapat kami mengenalkan-Mu kepada anak-anak kami...

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });