Membantu Rakyat Palestin atau Membantu Umat Islam di Tempat Sendiri, Manakah Lebih Utama?


Dr. Hafidzi Mohd Noor | 07-01-2020

Dalam Islam, setiap amal ada tempatnya. Kita tidak disuruh untuk memilih satu amal ke atas amal yang lain apabila kedua-dua atau kesemua amal itu ada hak untuk disempurnakan.

Menyentuh isu bantuan kepada Palestin dan persoalan kenapa bantu Palestin sedangkan ada juga orang susah di Malaysia yang perlu dibantu, membantu Palestin tidaklah bermakna kita mengabaikan hak orang susah di negara sendiri dan di tempat lain.

Kedua-duanya ada hak untuk dibantu mengikut kadarnya. Di sinilah umat Islam perlu menguasai fiqh awlawiyat - feqah keutamaan amal. Di sana juga ada fiqh muwazanat (fiqh pertimbangan).

Mari kita bandingkan situasi di Palestin dan di Malaysia. Faktor berikut menjadi pemberat dari sudut fiqh awlawiyat dan fiqh muwazanat;

1. Palestin adalah tanah suci yang ada padanya pelbagai kelebihan dan kemuliaan dalam Islam. Keberadaan Masjid al Aqsa di sana, kiblat pertama dan tempat singgah Nabi SAW dalam Isra’ Mikraj. Ia juga bumi para nabi, pusat keberkatan, tempat di mana akan berlakunya kiamat dan kebangkitan (Yaumul Hasyar dan Yaumul Mahsyar). Makanya, bumi yang cukup istimewa bagi seluruh umat Islam ini adalah tanggungjawab seluruh umat Islam - apatah lagi bumi istimewa ini dijajah musuh dan kita wajib membebaskannya. Tanggungjawab kita sama berat dengan tanggungjawab rakyat Palestin. Sama berat dalam erti kata kita wajib membantu sehabis daya bersesuaian dengan kedudukan kita yang jauh dari sudut geografi, logistik dan ekonomi.

2. Rakyat Palestin ditindas dan dizalimi. Gaza dikepung dan dikenakan sekatan ekonomi. Tebing Barat diancam dengan perampasan tanah oleh pendatang haram Zionis. Mereka juga dikepung dari semua arah dengan tembok pemisah yang panjangnya 800km dari utara ke selatan Tebing Barat. Di Baitul Makdis pula mereka diusir keluar, dibatalkan status permastautin dan dikenakan pelbagai sekatan. Rumah-rumah mereka diroboh atau dirampas begitu sahaja pendatang Yahudi (settlers) dengan membawa surat sokongan daripada kerajaan Israel.

3. Palestin dihalang untuk membina hubungan diplomatik dengan mana-mana negara. Ini adalah kerana hak mereka untuk mendirikan sebuah negara yang merdeka telah dihalang PBB (meskipun negara anggota PBB menyokong sebuah negara Palestin yang merdeka, tetapi hanya diluluskan sebagai negara bukan anggota yang mempunyai status pemerhati sahaja). Apabila Palestin tidak diiktiraf sebagai sebuah negara yang bebas dan ada wewenangan, maka tidak mungkin boleh diwujudkan hubungan perdagangan atau menandatangani sebarang perjanjian persefahaman dengan mana-mana negara. Samada ia menyentuh kerjasama ekonomi, sosial, pendidikan, pertahanan dan politik. Bahkan Palestin dihalang untuk menjadi anggota agensi PBB seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). Bahkan juga Palestin dihalang untuk menjadi negara yang dilindungi di bawah Geneva Convention (1949). Implikasi kepada halangan ini cukup besar di mana Palestin tidak akan mendapat apa-apa bantuan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia jika berhadapan dengan wabak atau krisis kesihatan. Juga Palestin tidak mempunyai sebarang hak untuk mendakwa mana-mana negara yang menceroboh sempadannya, menyerang dan membunuh rakyatnya. Palestin tidak ada mandat untuk mengheret mana-mana pihak ke mahkamah keadilan antarabangsa (Internatonal Criminal Court, ICC ).

Dengan menggunakan neraca fiqh awlawiyat dan muwazanat, kita bandingkan pula situasi negara kita Malaysia;

1. Malaysia adalah negara yang makmur dan punya pelbagai hasil kekayaan. Bahkan kerajaan Malaysia amat bermurah hati memperuntukkan pelbagai bantuan seliaan daripada pelbagai kemudahan yang disediakan untuk rakyat. Ini tidak termasuk institusi zakat dan Baitulmal yang diwujudkan untuk memastikan tiada rakyat yang terbiar dan tidak terbela.

2. Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bebas dan merdeka. Malaysia mempunyai hak penuh untuk menjalin hubungan perdagangan dengan mana-mana pihak, menjadi anggota blok ekonomi seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), menyertai mana-mana persidangan untuk mengukuhkan kerjasama dengan mana-mana negara demi membangunkan sektor ekonomi, pendidikan dan sosial. Malah, Malaysia adalah anggota Non-Aligned Movement (NAM), Kumpulan South-South, anggota Commonwealth, dan anggota penuh PBB serta semua agensinya.

Dalam keadaan penuh makmur dan bebas merdeka, kita tidak menafikan ada juga kalangan rakyat yang terpinggir. Di sinilah datangnya hak yang wajib dipenuhi. Memenuhi hak dan kewajipan untuk membantu Palestin tidak bermakna meminggirkan atau tidak mempedulikan bantuan kepada mereka yang berhajatkan kepada pembelaan di tanah air sendiri. Jika kita menyedari ada golongan susah yang perlu dibela, maka bawakanlah kepada pihak yang berwajib. Pelbagai agensi diwujudkan di negara kita seperti Kebajikan Masyarakat, persatuan ibu tunggal, pertubuhan kebajikan anak yatim dan pelbagai lagi agensi selain daripada Pusat Zakat dan Baitulmal. Dengan sokongan rakyat Malaysia ke atas semua iniasiatif yang diwujudkan kerajaan, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan maka insyaAllah sebahagian besar daripada isu kemiskinan atau masyarakat terpinggir ini akan ditangani.

Kesimpulannya di sini ialah letakkanlah setiap amal itu pada tempatnya. Palestin wajib dibantu dengan kadarnya yang sesuai dengan kedudukannya dalam syariat Islam dan waqi' (sitausi semasa) yang mencengkam bumi berkenaan. Rakyat Malaysia (tanpa mengira agama) juga wajib ditolong sesuai dengan tuntutan syariat dan situasinya.

Semoga kita semua jelas dengan persoalan membantu rakyat Palestin dan hubungannya dalam isu membantu rakyat di negara sendiri.

*Penulis merupakan Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE) dan pengarang buku Fajar Islam di Nusantara terbitan Karya Bestari.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });