HARDER. BETTER. FASTER. STRONGER


Tadi skrin telefon pintarnya pecah. Selama ini dia memang menjaga telefonnya dengan baik. Tapi itulah, jika sudah ditakdirkan skrin itu pecah, walau letak di atas tilam pun pasti pecah juga.

Dia mengajak saya ke kedai telefon seorang sahabat saya yang dikenali. Dia risau akan ditipu jika pergi ke kedai yang dia tidak kenal. Sesudah berunding tentang harga dan jenis skrin yang dia mahukan, pekerja kedai itu mula membaiki skrin telefonnya.

Selain menukar skrin, dia juga mahu meletakkan screen protector. Sebelum ini dia tidak memasangnya kerana dia yakin mampu menjaga telefonnya dengan baik. Entah kenapa saya rasa lucu lalu tertawa. Dijelingnya sambil bertanya,

“Hah kenapa ketawa? Adalah tu kan fikir bukan-bukan fasal saya.”

Dia mencebik pura-pura merajuk. Apabila saya terus ketawa, dia memaksa saya untuk bercerita. 

“Tak la, saya bukan fikir tentang awak. Saya cuma teringat kisah lama. Saya terfikir, manusia ni memang aneh. Sebelum ada sesuatu, ketika mendapat sesuatu ataupun sedang ada sesuatu, mereka berjanji mahu menjaga dengan sebaiknya apa yang dimiliki.

Seperti hati. Sebelum rosak, sebelum patah dan sebelum hancur, kita tak pernah fikir nak menjaganya dengan baik. Kita jarang fikir nak lindung hati kita sebaiknya. Kita lupa untuk berjaga-jaga dan berhati-hati. Kadang kita biarkan ia lalai dengan hal yang tak sepatutnya. Kita berikan laluan untuk apa saja masuk dalam hati kita.

Sesudah terluka, dikecewakan, baru kita menyesal dan berjanji mahu menjaganya. Barulah kita mahu selalu ingat kepada Tuhan, berfikir tentang baik buruk,” saya akhiri kata-kata itu dengan senyuman.

Lama dia mendiamkan diri.

“Jadi, awak rasa itu perkara yang tak baik ke?”

“Tak juga. Selalu ada hikmah di sebalik sesuatu. Baguslah kalau hati kita pernah sakit, pernah luka, pernah kecewa. Nanti daripada luka itu akan ada parut. Daripada parut itulah kita akan belajar untuk lebih berjaga-jaga pada masa hadapan.

Ada satu ayat yang saya suka, love can only be perfected with pain. Cinta akan jadi lebih sempurna bila kita pernah rasa sakit. Sebab bila sakit, kita akan lebih berhati-hati. Kita akan jadi matang untuk mengenal apa yang baik dan apa yang tidak. Lebih-lebih lagi, itu akan buat kita lebih bergantung kepada Allah dan bukan hanya mengikut perasaan semata-mata."

Saya menjenguk pekerja yang sedang membaiki telefon itu. Sudah hampir siap rupanya.

“Awak ni kalau bercakap semuanya ada kaitan dengan cinta, ya? Ke awak perli saya sebab saya selalu minta nasihat awak tentang soal hati dan perasaan ni?”

Dia mencebik lagi. Mungkin dia berasa kata-kata saya kali ini ada kaitan dengannya yang baru sahaja putus cinta sebulan lalu.

“Taklah. Kata-kata saya ni untuk saya juga. Untuk kita sama-sama beringat.”

“Baik, saya percaya cakap awak. Eh, telefon dah siap tu.”

Dia membelek telefon yang diberikan oleh pekerja kedai itu. Sesudah membuat bayaran, kami keluar ke kenderaan masing-masing. Sebelum berpisah, dia berterima kasih kerana saya sudi menemaninya. Saya pula berterima kasih kerana dia memberi saya ilham.

BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });