BERIBADAH KERANA REZEKI KEDUNIAAN


Persoalan: Saya sering mendengar orang berkempen supaya mengerjakan solat dhuha dengan tujuan menjemput rezeki. Bersedekah dengan tujuan memurahkan rezeki. Adakah kita dibolehkah berbuat demikian untuk mendapat kemurahan rezeki?

 

Penjelasan:

Wallah al-musta‘an.

 

Kita amat memahami bahawa rezeki adalah satu isu yang sentiasa bermain dalam ingatan sebahagian kita. Sehingga kita tidak putus-putus berdoa agar murah rezeki.

 

Tanpa sedar, kita banyak berdoa agar dimurahkan rezeki harta berbanding rezeki ilmu dan rezeki beribadah.

 

Kita katakan hal ini kepada diri kita sendiri, bukan kepada orang lain.

 

Hingga akhirnya, keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

 

Orang mula berkempen, kerjakan solat dhuha, kerana solat dhuha menjemput rezeki.

 

Bukannya kempen kerjakan solat dhuha, kerana ia sunnah nabi dan mendekatkan diri kepada rab.

 

Orang mula berkempen, jika terasa sempit dan perniagaan kurang untung, sedekahlah.

 

Bukan lagi kempen, sedekahlah kerana sedekah mengundang rahmat Allah Taala, dan menjadi perisai neraka.

 

Orang mula berkempen, bacalah surah al-Waqi‘ah untuk mengelakkan kefaqiran.

 

Bukannya kempen, hayatilah surah al-Waqi‘ah, di dalamnya ada menceritakan unsur tanaman, air dan api. Gunakan ia untuk menjemput rezeki.

 

Kita terperangkap dalam keinginan kepada harta dan kemahuan beribadah.

 

Ibadah yang sepatutnya melahirkan cinta kepada pencipta dan akhirat akhirnya membuahkan cinta dunia.

 

Ibadah yang sepatutnya menjadikan kita hamba yang redha dan hanya mengharapkan balasan pahala, akhirnya kita mengharapkan balasan dunia.

 

Menurut ulama, tidak salah jika ibadah dicampur sedikit niat keduniaan.

 

Malah, Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam juga mengatakan silaturrahim memanjangkan usia, sedekah menyembuhkan penyakit dan al-Quran menyatakan istighfar mengundang rezeki.

 

Namun, fenomena yang kita lihat sebaliknya. Ibadah itu memang untuk dunia dan dicampur sedikit rasa inginkan pahala.

 

Kempen yang diadakan ialah bagaimana menjemput rezeki.

 

Dan ramai tertarik kerana adanya terma rezeki.

 

Cubalah ditukar kepada terma bagaimana menjadi hamba rabbani.

 

Kita katakan, fenomena ini sangat bahaya dan tidak pernah wujud pada zaman salafus soleh.

 

Perhatikan ayat ke-6 surah al-Muddathir yang berbunyi,

 

وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (٦)

 

Terjemahan: “Dan jangan kamu memberi kerana inginkan balasan yang lebih banyak.”

 

Al-Razi mendatangkan 8 tafsiran ulama, yang mana semuanya merujuk kepada 1 nilai, iaitu, “janganlah kita mengharapkan balasan manusia dan balasan keduniaan melalui amalan kita.”

 

Al-Hasan berkata, “Jangan kamu melaksanakan segala kebaikan agar mendapat balasan (keduniaan) yang banyak daripada Allah Taala.”

 

Rumusan:

 

1- Tujuan beramal adalah mendekatkan diri kepada Allah Taala. Natijahnya, kita akan mencapai ketenangan jiwa (mutma’innah).

 

Jika kita solat dan sedekah kerana harta, kita tidak akan memperoleh ketenangan jiwa. Ia amat merugikan.

 

2- Kerjakan solat dhuha ikhlas kerana Allah Taala. Di dalam solat, berdoalah kepada Allah Taala menurut hajat masing-masing, termasuk inginkan rezeki.

 

Jangan jadikan rezeki sebagai tujuan kita mengerjakan solat.

 

3- Bersedekahlah atas nama Allah Taala dan sunnah dengan tujuan membantu orang yang memerlukan dan membersihkan harta.

 

4- Beramallah kerana Allah Taala, berdoalah kepada-Nya, dan serahkan balasan keduniaan kepada-Nya. Lebih penting ialah balasan akhirat.

 

5- Kita perlu menghentikan kempen-kempen ingin menjemput rezeki yang tidak terkawal ini. Kembalilah ke landasan sunnah, kita pasti tenang bahagia.

 

6- Sekali lagi, kita tegaskan. Beribadah kerana inginkan harta dan kesenangan dunia -murah rezeki- adalah dibolehkan dengan syarat, ia hanyalah niat sampingan bukannya niat utama.

 

Niat utama kita kekal ingin menjadi hamba yang taat.

 

Sekali lagi, kita mohon maaf jika ada mengguris rasa.

 

Rujukan utama:

Tafsir al-Kabir oleh al-Razi.

 

Ditulis pada 14 November 2019 bersamaan 17 Rabi‘ al-awwal 1441 di Bandar Pinggiran Putra.

 

Kheir.

 

 

Kredit teks : https://www.facebook.com/DzulkhairiNoor/posts/150147109704427?__tn__=K-R

 

Kredit gambar : Pixabay

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });