POLIGAMI TIDAK SALAH…. YANG SALAHNYA PADA SANG SUAMI. BOLEH ADILKAH DIA?


Karya Bestari | 05-12-2019

Poligami. Dengarnya sahaja sudah pasti menggerunkan hati wanita-wanita yang bergelar isteri mahupun wanita yang masih belum berkahwin, apatah lagi untuk mengharunginya.

Hari ini kita kerap mendengar terlalu banyak cerita berkisar rumah tangga dan poligami yang semakin hari semakin menarik perhatian banyak pihak. Lebih-lebih lagi netizen-netizen di alam maya. Sehinggakan ada pasangan yang berpoligami terpaksa melepaskan pasangan-pasangannya akibat dari desakan daripada ramai pihak.

Adakah sebenarnya salah untuk berpoligami? Adakah poligami hari ini sudah tidak releven untuk diamalkan?

Ini pandangan daripada Dr. Kamilin Jamilin:

POLIGAMI TIDAK LAGI RELEVAN??

Isu ini cukup sensitif pada insan yang bergelar wanita dan isteri…Sehingga seringkali emosi diri mengatasi naqli…Pelbagai tohmahan dilemparkan pada sang suami…Kerana berpoligami tanpa kerelaan diri…Lalu disangka Islam itu tidak memberi keadilan buat isteri…

1. Fahamilah, bahawa Islam tidak mewajibkan sang suami berpoligami, bahkan sekadar memberikan kelonggaran untuk melakukannya dengan kriteria tertentu…Ia hanyalah JALAN KELUAR, PENAWAR dan PENYELESAI MASALAH bagi sesetengah situasi…

2. Poligami telah wujud sejak sekian lama sebelum kedatangan Islam lagi di seluruh dunia, bahkan dalam agama Kristian dan Yahudi itu sendiri tidak wujud larangan untuk berpoligami yang memungkinkan untuk seseorang itu berkahwin dengan seramai mana wanita yang diingininya tanpa sebarang panduan!

Lalu datang Islam menghadkan kadar poligami dalam satu-satu masa kepada 4 isteri sahaja dengan syarat-syarat yang bukan mudah dipenuhi ramai lelaki walau sekaya mana pun dia…Maka di mana kebobrokan Islam yang dirasakan berbanding agama-agama dan tradisi lain?? Seolah-olah Islam yang “mencipta” amalan poligami ini??

3. Islam tidak menjadikan amalan berpoligami semberono mengikut hawa nafsu serta keinginan sang lelaki, bahkan syaratnya ketat…Ancamannya dahsyat…Bagi mereka yang mengabaikan hak para isteri dan tidak berlaku adil terhadap mereka…

Bukankah Allah berfirman: “Kalian tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kalian sekalipun kalian bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)…”

4. Nas-nas agama seperti ini bukan hanya dipetik sana-sini mengikut hawa nafsu diri, tetapi perlu dipelajari dari mereka yang ahli…Kemampuan yang dinafikan dalam ayat ini bukan kemampuan fizikal material, bahkan kemampuan hati…

Yang bermaksud: Walaupun kalian sememangnya telah cuba berlaku adil secara zahir yang membabitkan nafkah, masa, pemberian, interaksi, dan seumpamanya, namun jauh dalam lubuk hati kalian barangkali ada perbezaan dalam kasih sayang walau sedikit…

Disebabkan itu Nabi SAW sebagai panduan mukmin yang berpoligami sering berdoa: "Ya Allah, inilah usaha pembahagianku dalam apa yang aku miliki (mampu), maka janganlah Engkau cela aku dalam apa yang Engkau miliki sedangkan aku tidak memilikinya” [Riwayat al-Tirimizi dan lain-lain].

Iaitu seorang suami itu barangkali boleh berlaku adil dalam apa yang termampu dilakukan olehnya secara fizikal, namun hati itu suatu yang sukar dikawal oleh empunya badan yang terkadang tidak sekata dengan perilakunya...

5. Justeru Allah menuntut suami supaya tetap berlaku adil secara luaran demi memenuhi hak rumah tangga sekalipun andainya kasihnya terhadap para isteri berbeza-beza…

Sebagai contoh: Si isteri barangkali lebih menyayangi ibunya dari suaminya dan dia tidak dipersalahkan dalam hal itu, kerana kasih sayang itu urusan hati...Namun muamalah luaran serta hak-hak suaminya tetap perlu dia tunaikan dan utamakan dari ibunya…

Itulah maksud ayat surah al-Nisa’ tersebut yang perlu dibaca penuh..! “Kalian tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kalian sekalipun kalian bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); Oleh itu janganlah kalian cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kalian sayangi) sehingga kalian biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kalian memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

 

Adakah boleh untuk seorang isteri atau ahli keluarga yang lain menghalang si suami daripada berkahwin lain?

Ini pandangan dari Mufti Wilayah Kuala Lumpur, Datuk Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri:

Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.

Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah r.a bahawa Rasulullah berkhutbah di atas minbar:

“Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”

Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah:

“Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.” Rujuk Fath al-Bari (9/329)

Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:

“Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat al-Bukhari disebut: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (no. 3110)

Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.” Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)

Walaupun poligami itu halal dalam Islam, namun hukumnya boleh berubah mengikut situasi dan keadaan sesebuah keluarga itu.

Menurut pandangan Mufti Wilayah lagi, terdapat tiga hukum berkenaan dengan poligami yang perlu diambil perhatian, iaitu:

1 – Sunat

Sunat terhadap seseorang itu untuk berkahwin lain jika mempunyai keperluan lain, seperti isteri pertama sakit atau tidak mampu memberikan zuriat.

Ia adalah dengan syarat seorang lelaki itu diyakini boleh berlaku adil dalam setiap rumah tangga yang dibina.

2 – Makruh

Makruh hukumnya jika seseorang itu melakukan perkahwinan kedua atau ketiga semata-mata untuk berhibur walaupun dia mampu dan boleh berlaku adil.

Ia juga jatuh pada makruh kerana bimbang boleh memberi mudarat kepada isteri sama ada boleh menyakiti hatinya disebabkan cemburu yang terlampau atau tidak boleh berlaku adil.

3 – Haram

Haram hukumnya jika lelaki itu tidak mampu sama ada dari sudut kewangan, tidak adil kerana pilih kasih atau sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada yang pertama.

 

Oleh itu untuk sang suami, berfikirlah dengan waras terlebih dahulu jika kita ingin berpoligami. Adakah kita mampu untuk menjadi seorang suami yang ‘adil’.

Walaupun meminta izin isteri pertama tidak menjadi syarat namun ianya sangat penting untuk diambil perhatian oleh suami. Ianya perlu dilakukan supaya boleh mengelakkan perbalahan dan pergaduhan.Persetujuan dari isteri pertama adalah satu cara untuk mewujudkan suasana harmoni di dalam poligami. Ikutlah prosedur yang betul agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

Ingat!! POLIGAMI ITU TIDAK SALAH.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });