Bahaya Berbicara Tanpa Ilmu Pengetahuan Yang Cukup


Ustaz Mustafar Mohd Suki | 04-12-2019

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, katanya:

Kami keluar bermusafir. Tiba-tiba seorang daripada kami terkena batu sehingga menyebabkan kepalanya luka. Kemudian dia mengalami mimpi (hingga keluar mani). Selepas terjaga dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Adakah kamu fikir ada keringanan bagiku untuk bertayammum?”

Mereka menjawab: “Kami tidak mendapati keringanan bagi kamu kerana kamu mampu mendapatkan air.” Lalu dia pun mandi dan terus meninggal dunia. Apabila kami menemui Rasulullah SAW dan memberitahu baginda, baginda pun bersabda:

“Mereka telah membunuhnya dan Allah akan mem-bunuh mereka. Kenapakah mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayammum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya.” (HR Abu Daud: 336, Sahih)

Larangan Bercakap Sesuatu yang Tiada Ilmu padanya

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’: 36)

Setelah menyebutkan pendapat para Salaf tentang ayat ini, al-Hafiz Imam Ibnu Kathir berkata:

“Kesimpulan penjelasan yang mereka sebutkan adalah bahawa Allah SWT melarang berbicara tanpa ilmu, iaitu (berbicara) hanya dengan sangkaan yang merupakan perkiraan atau khayalan.” (Tafsir al-Quran al-Azhim)

Ini juga termasuk dalam mengulas berita atau cerita melalui group Whatsapp, Facebook, Telegram dan sebagainya tanpa ilmu atau maklumat yang sahih dibimbangi boleh datangnya fitnah dan kerosakan hubungan sesama manusia.

Larangan Banyak Bertanya dan Tidak Mendatangkan Manfaat

Larangan banyak bertanya ini telah sabit berdasarkan sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu kerana banyaknya bertanya dan khilafnya mereka kepada para Nabi. Justeru apabila aku perintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah sesuai dengan kadar kemampuan kamu, dan apabila aku larang kamu daripada sesuatu maka tinggalkanlah.” (HR Muslim: 3321)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya. Pensyarah kepada kitab Sunan Ibn Majah berkata,

"Hadis ini menjadi dalil bahawa makruh bertanya dan dikeji. Tetapi sebahagian menganggap ia khusus pada zaman Nabi SAW kerana bimbang hukum ketika itu boleh menjadi haram, sedangkan ia sebelumnya tidak haram, atau menjadi wajib yang menyebabkan sukar untuk melakukannya." (Masyariq al-Anwar, Muhammad Ali bin Adam bin Musa, 1/71)

Jika pertanyaan yang membawa kebaikan dan memang diperlukan maka ia tidak menjadi larangan dari sudut syarak. Tambahan ia melibatkan urusan fardu ain yang sangat penting untuk diamalkan.

Dalil Pensyariatan Tayammum

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

“Dan jika kamu sakit (tidak boleh menggunakan air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedangkan kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan debu tanah yang suci, sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan debu tanah itu." (Surah al-Maidah: 6)

Ayat ini jelas menunjukkan pensyariatan tayammum kepada keadaan-keadaan orang tertentu sepertimana yang telah disebutkan.

Syeikh al-Maraghi berkata, “Apabila kamu mengalami salah satu dari tiga keadaan ini seperti sakit atau dalam perjalanan musafir, atau tidak menemui air sewaktu hendak menyucikan kedua-dua jenis hadas di atas, maka hendaklah kamu mencari debu atau dataran bumi yang suci daripada najis, lalu tepuklah kedua-dua tangan sampai ke pergelangan tangan, dengan kesan debu tersebut.” (Tafsir al-Maraghi, 3/1500)

 

https://www.karangkrafmall.com/40-kisah-teguran-rasulullah-buat-umat

 


 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });