Tiga Rahsia Besar Surah An-nas



Persoalan:

Apakah peranan surah al-Nas selain melindungi diri daripada kejahatan syaitan?

 

Penjelasan:
Kita mengira -wallah a‘lam-, antara kesilapan terbesar yang telah kita lakukan ialah hanya menjadikan surah ini dan surah al-Falaq sebagai jampi melawan syaitan. Walhal, ia lebih besar daripada itu. Apa lagi sebagai surah terakhir di dalam al-Quran, pasti ada mesej penting ingin disampaikan Allah Taala; kepimpinan dunia dan kehambaan akhirat.

Al-Shanqiti menjelaskan konsep ketuhanan (ilah), pentadbiran (rab) dan kerajaan (malik) yang wujud di dalam surah pertama dan surah terakhir.

وَقَدْ جَاءَتْ تِلْكَ الصِّفَاتُ الثَّلَاثُ : الرَّبُّ الْمَلِكُ الْإِلَهُ ، فِي أَوَّلِ افْتِتَاحِيَّةِ أَوَّلِ الْمُصْحَفِ : الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ [ 1 \ 2 - 4 ] ، وَالْقِرَاءَةُ الْأُخْرَى : " مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ " [ 1 \ 4 ] .

Terjemahan: “Disebutkan 3 sifat: rab, malik dan ilah ketika permulaan mushaf -ayat 2-4 surah al-Fatihah-.” (Adwa’ al-Bayan)

Rab; merujuk قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس.

Malik; merujuk مَلِكِ النَّاس.

Ilah; merujuk إِلَهِ النَّاسِ.

Bermakna, apabila kita membaca surah ini, pemikiran ketuhanan, pentadbiran (tarbiyyah) dan kekuasaan mesti menjadi fokus tadabbur kita.

Muhammad bin Hamzah al-Kirmani di dalam Asrar al-Tikrar fi al-Qur’an sebagai contoh, menyatakan konsep kemanusiaan yang wujud dalam 3 ayat pertama ini merujuk kepada 3 konsep yang berbeza.

Satu: Ayat pertama merujuk kepada manusia ketika permulaan. Ketika permulaan usia -kecil, sekolah rendah, menengah-, kita amat memerlukan tarbiyyah yang baik dalam usaha membentuk hamba-khalifah yang berhati mulia.

Ini bermakna, ayat pertama menekankan sistem pendidikan.

Dua: Ayat kedua merujuk manusia ketika muda. Menurut al-Kirmani, kalimah malik yang merujuk kekuasaan (siyasi) lebih sesuai untuk anak muda.

Maksudnya, anak muda perlu diberikan pendedahan dan pengalaman mentadbir dan terlibat dalam siyasah -merangkumi politik dan pertubuhan-pertubuhan- dalam membentuk generasi pelapis negara.

Tiga: Ayat ketiga merujuk kepada manusia ketika usia tua. Kalimah ilah merujuk Tuhan yang layak disembah. Ketika usia ini, mereka mesti menginsafi bahawa mereka akan kembali menemui Tuhan.

Bermakna, minda ketuhanan mesti dibina dengan struktur yang konkrit. Orang-orang tua yang mempunyai pengalaman mengabdikan diri kepada Tuhan memainkan peranan membentuk masyarakat yang takutkan Allah Taala.

Rumusannya, hasil pendidikan yang baik sedari awal, akan menatijahkan pembinaan kekuasaan yang baik. Ini memberikan kesan kepada negara.

Pada akhirnya, akan membentuk generasi senior yang berperanan membentuk jiwa kehambaan kalangan masyarakat.

Amar ma‘ruf nahi mungkar.

Ketiga-tiga elemen bertujuan merealisasikan maksud doa yang kita ungkapkan di dalam 2 ayat terakhir surah al-Fatihah; “Tunjukkan kami ke jalan yang lurus.”

Sila perhatikan ayat-ayat surah ini. Kita berlindung daripada khannas yang terdiri daripada manusia dan jin yang sentiasa mengganggu rasa beragama dalam diri.

Mengganggu di sini bukan hanya bermaksud gangguan jin atau sihir. Lebih jauh daripada itu, syaitan mengganggu kita supaya kita melakukan perkara terlarang.

Rasuah, pecah amanah, penyelewengan, penindasan, perpecahan, dan segalanya.

Pendidikan yang baik, pentadbiran yang kukuh, disertai minda ketuhanan -amar ma‘ruf nahi mungkar- akan berjaya membantu kita mengatasinya.

Bukan hanya dengan membaca dan menghembus, malah membaca dan membentuk sistem.

Rumusan:

1- Surah al-Nas bukan sekadar pengubat gangguan jin, malah solusi kepada masyarakat madani dan negara berdaulat.

2- Surah al-Nas menekankan pemikiran soal pendidikan, pentadbiran, dan ketuhanan.

3- Surah al-Nas bertujuan merealisasikan maksud doa yang terkandung di dalam 2 ayat terakhir surah al-Fatihah.

Jalan yang lurus akan tercapai melalui pendidikan, pentadbiran dan minda ketuhanan.

4- Sebagai melengkapkan perbincangan, kita memetik sebahagian rumusan ulama yang amat kita kasihi, al-Fakhr al-Razi.

فَالْمَطْلُوبُ فِي السُّورَةِ الْأُولَى سَلَامَةُ النَّفْسِ وَالْبَدَنِ ، وَالْمَطْلُوبُ فِي السُّورَةِ الثَّانِيَةِ سَلَامَةُ الدِّينِ

Terjemahan: “Yang dituntut dalam surah al-Falaq ialah keselamatan jiwa dan badan. Dan yang dituntut dalam surah al-Nas ialah keselamatan agama.” (Tafsir al-Kabir)

Ditulis pada 20 September 2019 bersamaan 20 Muharram 1441 pada jam 9.35 malam di rumah Pulai Chondong, Kelantan Darul Naim.

Kheir.

 

 

Kredit: https://www.facebook.com/DzulkhairiNoor/posts/122165839169221?__tn__=K-R


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA