KEJAYAAN ITU APABILA KITA BERJAYA MENJADI ‘MUKMIN’



Setiap hari kita pasti berharap untuk dapatkan kejayaan. Kejayaan yang kita dambakan. Tentulah bagi ibu dan ayah, mereka melihat bahawa kejayaan dalam diri mereka apabila anak-anak mereka cemerlang di dalam peperiksaan PT3 mahupun SPM. Tetapi apa nilainya kalau sekiranya anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, mendapat straight 9A, tetapi pada masa yang sama tidak mengenali Yang Maha Pencipta. Tidak ada nilainya sebuah kejayaan itu.

Allah SWT mengajar kepada kita bahawa kejayaan hidup di dunia tidak dinilai dengan rupa paras, mendapat kedudukan di dalam masyarakat dan lain-lain kerana ia hanyalah kepalsuan dan membuatkan manusia hidup di dalam fantasi semata-mata. Tetapi hakikat kejayaan sebenar menurut para alim ulama ada dua kejayaan. Pertama, apabila seseorang itu mampu mengolah dirinya menjadi mukmin dan mengimani segala perintah Allah SWT. Maka dia dianggap berjaya.

Buat apalah kita dapat gaji yang mewah dalam hidup kita RM20000-RM30000 sebulan, tetapi tiba-tiba dia tidak mampu untuk menunaikan solat. Tidak ada nilai kejayaan dalam hidupnya. Kejayaan hidup ini apabila kita boleh mengolah diri kita menjadi seorang yang beriman kepada Allah SWT.

Sepanjang kehidupan kita di atas muka bumi ini, Islam mengajar supaya supaya diri kita ni menjadi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah. Apa sahaja kedudukan dan pangkat kita di atas muka bumi ini, kita mesti menyakini terhadap Allah SWT. Kerana ramai di antara kita yang tidak percaya pun kepada Allah, tidak yakin di dalam dirinya terhadap keimanan kepada Allah. Dia lebih mempercayai duit dan kuasa menjadi kejayaan dalam hidupnya.

Lihat sahaja pertelagahan-pertelagahan yang berlaku diantara adik beradik, semata-mata mahu berebut harta benda pusaka. Lihat sahaja begitu ramai di kalangan kita yang terlalu melihat sesuatu jawatan itu sebagai simbol kejayaan mereka, sehingga sanggup menyihir pesaingnya walaupun itu adalah rakan sekerja mereka. Puncanya apa? Puncanya dia mahu mengejar dan meraih kejayaan yang palsu dalam hidupnya.

Kenapa kita boleh menjadi yang demikian?

Kerana kita tidak nampak konsep kejayaan yang sebenar. Allah SWT mengajar kepada kita supaya berjaya dalam hidup;

قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ

“Sesungguhnya beruntunglah orang–orang yang beriman.”

Sebuah kejayaan itu apabila kamu menjadi orang mukmin.

Tetapi tidak ramai yang boleh menjadi demikian. Tidak ramai yang mahu meyakini kepada Allah SWT dan Islam. Ramai di kalangan kita hanya yakin dengan duit. ‘Money is power’ (duit menjadi kuasa) bahkan ada orang kita sebut ‘No Money No Talk’ tidak ada duit tidak payahlah bercakap. Seolah-olah duit ini sudah menjadi kuasa dalam hidup.

Sekali lagi saya tekankan, Islam tidak mengajar yang demikian. Islam mengajar bahawa kejayaan itu apabila kamu menjadi seorang ‘mukmin’, iaitu seorang yang mengimani Allah SWT.

Apabila kamu menjadi seorang pelajar, jadilah pelajar yang mukmin. Apabila kamu menjadi seorang pegawai, jadilah seorang pegawai yang mukmin. Dan apabila kamu menjadi seorang pemerintah, jadilah pemerintah yang mukmin. Mukmin maknanya keyakinan. Yakinlah terhadap Islam, maka kamu akan berjaya.

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA