Inilah Akhlak Terpuji


Akhlak yang terpuji adalah diibaratkan sebagai buah terbaik pada diri seseorang. Ia adalah pakaian, perhiasan dan harta yang mendatangkan kemuliaan kepada diri individu. Maka berbahagialah dan beruntunglah bagi mereka yang mempunyai nilai akhlak yang terbaik.

Memiliki akhlak yang baik bukan sahaja disenangi dan mendatangkan pelbagai manfaat. Ia boleh menghadirkan kebahagiaan kepada diri individu itu sendiri. Bahkan dia akan disenangi orang ramai dan masyarakat akan menyukainya.

Namun, bagaimanakah kita mampu mengenaili orang yang mempunyai keperibadian akhlak terpuji. Jawapannya adalah dengan melihat kepada tiga perkara iaitu wajah, tutur kata dan tingkah laku.

Menurut Iman Al-Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati. Daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang zahir daripada manusia atau segala tindak-tanduk mereka adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.

Tepatlah apa yang dikatakan Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin berbunyi:

“Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia.”

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya. Sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 

“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.” (Al- A’raf: 58)

Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadisnya (yang bermaksud, antara lain:

 

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.

Hal ini ditegaskan lagi ayat al-Quran menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4)  

Juga dalam firman-Nya yang bermaksud:

Orang –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.(Al Hajj, 22 : 41)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang memerlukan pertolongngan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah, 2: 177)

Zahirkanlah keserian wajah dan keserian muka dengan memancarkan senyuman kepada orang lain. Jika tidak mampu mengungkapkan kata-kata, memadailah dengan senyuman. Ia bisa menjadikan hati yang keras bertukar menjadi lembut. Benci berubah menjadi sayang, ragu-ragu menjadi yakin. Itulah kuasa yang ada pada senyuman.

Maka tidak hairanlah jika dikatakan bahawa senyuman itu adalah sedekah. Akhlak juga lahir daripada kata-kata yang sopan dan baik dan terbit daripada hati. Manusia yang baik hatinya akan sentiasa bercakap benar, jujur dan menyejukkan hati orang lain. Atau sekurang-kurangnya berdiam diri jika tidak menyuarakan perkara baik. Diam mampu menyelamatkan.

Tingkah laku dan perbuatan merupakan perkara utama berkaitan dengan akhlak. Kita sebenarnya diperhatikan orang lain. Bagaimana cara kita berjalan, melayan, menyantuni, berpakaian dan malah duduk bangun kita pun turut sama diperhatikan.

Ada orang yang asyik melayani khidmat pesanan ringkas media sosial tetapi membiarkan orang yang berada di hadapannya. Ada orang asyik melayani panggilan orang yang jauh sedangkan orang di hadapannya dibiarkan begitu sahaja. Sedangkan ia bukanlah akhlak yang baik.

Maka, marilah kita bersama-sama membaguskan akhlak kita ini. Perbaikilah tutur kata, perbuatan, tingkah laku dan sebagainya agar mencerminkan kebaikan akhlak kita. Sama ada akhlak kita terhadap ibu-bapa, keluarga dan masyarakat. Ingatlah Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

Jom baguskan akhlak kita.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });