Adakah Boleh Jamak Solat Jika Berniat Menetap Selama Empat Hari?


Ustaz Syed Shahridzan | 12-09-2019

TIGA ATAU EMPAT HARI BOLEH JAMAK?

 

Soalan: Saya menetap di Kuala Lumpur dan saya ada aktiviti kem di Kelantan selama tujuh hari. Berapa lama saya boleh jamak dan qasarkan solat saya? Adakah selama tiga atau empat hari dan yang selebihnya saya perlu solat tamam?

 

Jawapan:

Antara syarat yang wajib dipenuhi untuk sesiapa yang ingin menjamak dan mengqasarkan solat adalah tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.

Apabila berniat menetap selama empat hari, jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu, dia tidak boleh bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat musafir masih diharuskan semasa dalam perjalanan sahaja.

Syarat ini merupakan perkara yang paling disalah ertikan oleh ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat contohnya satu minggu, maka mereka menyangka masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari. Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.

Contohnya, jika seseorang yang menetap di Shah Alam merancang untuk berada di Kota Bahru selama tujuh hari. Maka dia hanya dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.

Mengapa tidak boleh lagi jamak dan qasar?

Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru selama empat hari atau lebih, ini bermakna dia telah berniat bermukim di destinasi itu. Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir. Sedangkan rukhsah (keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah bagi orang yang berstatus musafir.

Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam karangannya ‘Minhaj al-Talibin.’ Menurut beliau:

ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح

“Jika seseorang berniat mukim (iqamah) selama empat hari di destinasi, maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”

Menurut kenyataan Imam Nawawi ini, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah empat hari. Jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama tiga hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir (jamak dan qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });