Jadilah Umat Yang Menuntut Ilmu



Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali”. (Riwayat oleh Tirmidzi)

Benar, Rasulullah SAW menerangkan kepada kita betapa pentingnya menuntut ilmu di kalangan umat Islam. Ilmu pengetahuan sering disebut sebagai jambatan kejayaan, pemangkin kemenangan dan pelbagai lagi. Maka, tidak hairanlah mengapa ia menjadi tuntutan dan saranan yang penting.

Ilmu pengetahuan bukan sahaja menjamin nilai tambah dalam diri seseorang. Bahkan ia mampu membentuk pemikiran yang sihat bagi setiap umat dalam membina masa depan cemerlang. Ilmu yang baik akan membentuk jati diri seseorang Muslim.

Imam Al-Ghazali juga memandang bahawa belajar atau menuntut ilmu adalah sangat penting serta menilai sebagai kegiatan yang terpuji. Bagi menerangkan keutamaan belajar tersebut Imam Al-Ghazali mengutip beberapa ayat al-Quran, hadis Nabi serta atsar. Di antaranya adalah firman ALLAH SWT dalam surah at-Taubah, ayat 122 yang bermaksud:

“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (QS. At-Taubah : 122)

Ilmu amatlah penting dalam kehidupan harian kita. Ilmu amat penting kepada manusia untuk memperbaiki kehidupan mereka. Ilmu boleh diumpamakan pelita yang menerangi kegelapan hidup manusia. Ilmu juga membezakan kita(manusia) dengan haiwan.

Kita haruslah sedar bahawa ilmu itu adalah sumber segala yang kita ada sekarang. Ilmu yang menerangi kehidupan kita seharusnya menjadi petunjuk untuk memperolehi kehidupan yang bahagia. Ilmu dan kemahiran yang ada pada seseorang itu juga memberikan manfaat jika disebarkan kepada orang lain. 

Dengan ilmu, seseorang mampu melakukan hal yang dianggap bermanfaat bagi dirinya dan orang lain melalui pengetahuan yang dimiliki. Manfaat ilmu tidak hanya dirasakan individu itu sahaja bahkan masyarakat sekitarnya akan mendapat percikan manfaat dari ilmu yang dimiliki seseorang kerana:

1. Mampu membedakan benar-salah

Manfaat menuntut ilmu seseorang tidak akan terperangkap pada perbuatan atau tindakan yang salah. Kemungkinan untuk melakukan tindakan salah kerana pengaruh dari orang lain juga sangat kecil. Orang berilmu akan punya landasan hidup yang kuat serta selalu berusaha menempatkan diri pada posisi yang ia anggap tepat.

2. Bermanfaat Hingga Wafat

Setelah manusia meninggal dunia maka terputus sudah segala hal keduniaan pada dirinya. Hakikatnya manusia akan meninggalkan segala bentuk urusan yang terjalin pada manusia secara langsung setelah meninggal dunia.

Namun, melalui ilmu yang ditinggalkan atau disampaikan, seseorang akan sentiasa dikenang sepanjang zaman. Istilah menulislah maka kau akan abadi adalah bentuk dari proses penularan ilmu melalui tulisan. Ilmu yang terdapat di dalam tulisan tersebut akan selalu bermanfaat bahkan setelah penulisnya meninggal dunia.

Maka, sebab itulah mereka yang menuntut ilmu dianggap sebagai orang yang berjihad fisabilillah. Begitulah penghormatan dan kemuliaan yang diberikan terhadap penuntut ilmu. Keistimewaan ini diberikan disebabkan seseorang penuntut ilmu menghadapi pelbagai kesusahan apatah lagi dibelenggu dengan kesempitan hidup, kesusahan berada di bumi orang lain. Mereka sanggup untuk meninggalkan kaum keluarga tercinta dan seterusnya memerahkan otak untuk berfikir mengingati, menghafaz dan mengkaji.

Malah kadang-kadang mereka mempertaruhkan nyawa di negara lain yang bergolak untuk menuntut ilmu. Tenaga, fikiran dan nyawa menjadi taruhan semata-mata untuk membela dan menghidupkan agama Allah. Maka samalah kedua-dua golongan mereka ini berjuang fisabilillah. Rasulullah SAW mengatakan menuntut ilmu itu adalah jihad sehinggalah mereka pulang ke rumah mereka sendiri.

Memang besar dan agung sekali martabat orang-orang yang menuntut ilmu demi mengabdikan dan memastikan berkembangnya agama di tempat tumpah darahnya. Mereka inilah yang akan kembali membangunkan masyarakat dengan penuh keilmuan. Sudah pasti tanpa ilmu yang sempurna, pembangunan masyarakat dan negara akan terbantut.

Menerusi ilmu, seseorang dapat melaksanakan tuntutan dunia dan akhirat dengan sebaik mungkin. Bahkan, dengan ilmu pengetahuan juga, kita dapat mengetahui mana halal mana yang haram, mana dosa mana pahala, mana baik mana yang buruk, mana sah mana yang batal dan sebagainya. Maka persoalan-persoalan ini dapat dijawab dengan adanya ilmu.

Tanpa ilmu yang benar, tentulah segala kehidupan seseorang akan menjadi sesat. Malah amalannya juga akan ditolak. Ia adalah sesuatu yang bahaya kerana sudah pasti, amalan mereka belum tentu sesuai dengan kehendak agama.

Amalan yang benar begitu penting kerana di zaman sekarang, masyarakat terdedah dengan pelbagai fahaman pelik, ilmu songsang dan sebagainya. Ada yang menjadi ekstrem, melampau, taksub dan pelbagai lagi. Segala penyakit ini, jika tidak ditangani dengan baik, sudah pasti ia boleh menjadi barah di dalam kehidupan masyarakat. Maka, pokok pangkalnya ia tetap memerlukan kepada ilmu.

Sabda Rasulullah SAW:

“Dari Ibnu Abbas RA, ia berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang oleh Allah dikehendaki memperoleh kebaikan (serta menjadi orang baik), maka Allah memberikan kepandaian kepadanya dalam agama.”-Diriwayatkan oleh Tirmidzi.

Benar, hadis di atas memberikan pengajaran kepada kita bahawa ilmu merupakan jalan yang dapat menyampaikan kita kepada kebaikan dan kejayaan. Ia memberikan gambaran sekiranya ingin melahirkan anak yang baik, hendaklah berilmu. Sekiranya ingin membina masyarakat yang baik juga perlu berilmu.

Ilmu perlu dilihat sebagai sesuatu yang mahal berbanding perkara-perkara lain. Maka disebabkan itulah ilmu dianggap sebagai permata yang berharga. Ilmu jugalah akhirnya dapat membentuk kebaikan. Manakala, kebaikan bukanlah terletak dengan banyaknya harta, tingginya pangkat kuasa, keturunan yang hebat atau besarnya jasa.

Namun kebaikan hanyalah terletak di dalam ilmu Allah SWT ketika mencari keredhaan-Nya. Maka, menerusi ilmu, manusia dapat melahirkan tali silaturrahim sesama mereka, menjaga perhubungan di antara makhluk dan manusia serta menjaga hubungan di antara manusia dengan penciptanya, Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menempuh jalan untuk menuntut atau mencari ilmu, maka Allah memudahkannya untuk menempuh jalan ke syurga.” – Diriwayatkan oleh Tirmidzi.

Nabi SAW menyebutkan dalam hadis ini tentang orang-orang yang menempuh jalan di dalam menuntut ilmu. Apabila digunakan perkataan menempuh, ia secara tidak langsung menunjukkan betapa berat dan sukarnya jalan tersebut. Memberikan gambaran bahawa jalan yang bakal ditempuh itu adalah berliku, penuh ranjau dan memerlukan pengorbanan tinggi.

Gambaran mengenai hakikat itu dapat kita lihat sendiri pada sejarah ulama-ulama terdahulu. Mereka bersusah payah mengembara, berkelana dengan berjalan kaki, menunggang unta atau kuda untuk mencari ilmu. Bukan dekat perjalanan yang dilalui. Bukan juga sedikit dugaan dihadapi.

Situasi ini adalah seperti yang berlaku kepada imam-imam mazhab. Kemudian kita juga boleh melihat juga kepada kesungguhan ulama-ulama selepas itu yang mengembara dengan pelbagai kenderaan termasuk kapal laut. Mereka merentas ke serata dunia dengan meninggalkan tanah air tercinta semata-mata untuk menuntut ilmu di kejauhan.

Betapa besar pengorbanan mereka. Apa jua kepentingan diri dikorbankan demi menuntut ilmu. Mereka meneladankan kepada kita betapa tiada yang mudah untuk mendapatkan ilmu. Tiada jalan pintas untuk berjaya menuntut ilmu. Semuanya memerlukan pengorbanan.

Kepayahan dan cabaran menuntut ilmu akhirnya memberikan hasilnya bagi mereka. Selepas berhasil memperolehi ilmu, mereka kembali ke tanah air masing-masing untuk menyebarluaskannya. Pelbagai cara yang digunakan, samada dengan penulisan kitab, mendirikan sekolah pondok agama atau mengajar di pusat pengajian, semuanya dilakukan penuh beriltizam.

Jihad para ulama diteruskan dengan mendidik anak bangsa. Namun, sudah pasti, usaha berkenaan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Sekali lagi, ia juga memerlukan satu lagi jihad iaitu bersungguh-sungguh dalam mendidik manusia. Inilah jalan yang telah ditempuh ulama-ulama silam dalam menuntut, mengembang dan memperjuangkan ilmu.

Maka, wajarlah kita sebagai umat akhir zaman, sekurang-kurangnya mengambil semangat yang dimiliki mereka. Tuntutlah ilmu walau di mana sahaja kita berada. Carilah ilmu untuk  untuk dijadikan bekalan dan sandaran di masa akan datang. Perlu diingat, tanpa ilmu umat boleh jadi mundur. Sedangkan dengan ilmu, umat akan maju.

Orang yang sentiasa menuntut ilmu, sudah pasti mempunyai kelebihan-kelebihan berbanding orang lain. Bahkan, Allah SWT berfirman bahawa orang yang berilmu akan diangkat beberapa darjat. Firman-Nya di dalam surah Al-Mujaadalah, ayat 11 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu member lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)-beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA