Kita sayang seseorang itu kerana apa?


Dr. Abdul Basit Abd Rahman | 06-09-2019

SAYANGLAH KERANA ALLAH SWT

 

“Orang yang berkasih sayang kerana ALLAH, orang yang saling berziarah kerana ALLAH, orang yang saling berbelanja kerana ALLAH, orang yang saling bersahabat kerana ALLAH, mereka semua berhak mendapat kasih sayang-KU (ALLAH)” (HR. Ahmad)

Sememangnya kita akan semakin hampir untuk memperolehi kasih sayang ALLAH seandainya kita bersama dengan orang-orang yang benar-benar sayang kepada ALLAH dan orang yang benar dengan ALLAH, serta kita sentiasa mengambil mutiara kata mereka sebagaimana kita memilih buah-buah yang baik.

Misalnya apabila timbulnya dua percakapan antara yang baik atau kata-kata yang tidak baik, maka haruslah kita memilih percakapan yang baik ataupun kata-kata yang dapat memberi manfaat kepada orang lain, kalau tidak dapat berbuat demikian maka seeloknya, elaklah daripada bercakap.

Supaya dapat menjaga hubungan baik dengan sesama manusia, hendaknya setiap manusia itu selalu menjaga lisannya dengan sentiasa mengucapkan perkataan yang baik.

Walaupun kebanyakan daripada kita tahu bahawa secara umumnya manusia menyukai perkataan yang baik lagi bermanfaat, tetapi dalam tidak sedar sebenarnya ramai juga yang gemar mengucapkan kata-kata yang tidak baik dan tidak bermanfaat. Misalnya berkata kotor, menceritakan keburukan orang Lain, Melakukan provokasi, menceritakan aib diri sendiri dan banyak lagi.

Ini bahaya!

Tentu sahaja, kata-kata yang kotor dan tidak bermanafaat itu akan menyebabkan rosaknya suatu perhubungan baik dengan manusia yang lain. Apabila tidak dapat mengucapkan yang baik-baik atau yang bermanfaat bagi sesama sebaiknya diam dan berbicara seperlunya. Diam akan menjadi pilihan yang terbaik ketika berbicara yang hanya akan menambah dosa sahaja. Diam bukanlah bererti kita tidak melakukan apa-apa. Diam boleh dimanfaatkan untuk menganalisa dan kemudian mengambil keputusan terbaik akan sesuatu perkara. Apabila sebahagian besar orang melakukan perkara ini, maka kehidupan di dunia akan menjadi lebih baik.

Sebab itulah apabila ketika saya berbincang dengan para jemaah yang lain, ada diantara mereka yang berkata;

‘kenapa berat sangat pilihan-pilihan ini, payah juga nampaknya.’

Apa yang boleh saya katakan;

‘Ini semua adalah kerana kita nak dapatkan kasih sayang ALLAH kepada kita iaitu kasih sayang ‘khas’. Kasih sayang ‘am’ sememangnya ALLAH SWT bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim. Kalau tidak ada sifat ini nescaya orang kafir takkan minum seteguk air di atas dunia ini.

Kasih sayang khas, ALLAH SWT akan berikan kepada orang yang dikehendaki-NYA. Nabi SAW di dalam hadis ada menyebut yang bermaksud; “ALLAH SWT beri dunia ini kepada orang yang DIA sayang dan tidak sayang. Tetapi ALLAH tidak beri kelebihan nak kepada akhirat kecuali orang yang dipilih oleh ALLAH SWT” Maka kita berusahalah para jemaah bagaimana nak mendapat kasih sayang ALLAH SWT, nak mendapat mahabatullah kepada kita di dalam pengembaraan kita pada kali ini.

 

 

Dari Abu ldris al-Khawlani, katanya:

“Saya memasuki masjid Damsyik, tiba-tiba di situ ada seorang pemuda yang bercahaya giginya – yakni suka sekali tersenyum – dan sekalian manusia bertanya. Jikalau orang-orang itu berselisih mengenai sesuatu hal, mereka lalu menyerahkan persoalan itu kepadanya dan mereka mengeluarkan huraian dari pendapatnya, kemudian saya bertanya mengenai dirinya, lalu menerima jawapan: “Ini adalah Mu’az bin Jabal. Setelah hari esoknya, saya datang pada waktu pagi sekali, lalu saya dapati Mu’az sudah mendahului saya dengan datang lebih awal. Saya temuinya dalam keadaan sedang bersembahyang. Kemudian saya menantikannya sehingga dia menyelesaikan solatnya. Seterusnya saya pun mendatanginya dari arah mukanya, lalu saya mengucapkan salam padanya, kemudian saya berkata: “Demi ALLAH, sesungguhnya saya ini mencintaimu kerana ALLAH.” Dia berkata: “Kerana ALLAH?” Saya menjawab: “Ya, kerana ALLAH.” Ia berkata: “Kerana ALLAH?” Saya menjawab: “Ya, kerana ALLAH.” Mu’az lalu mengambil belitan selendangku, kemudian menarik tubuhku kepadanya, terus berkata: “Bergembiralah engkau, kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH SWT berfirman – dalam Hadis Qudsi: “Wajiblah kecintaan-KU itu kepada orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana AKU, duduk-duduk bersama kerana AKU, saling ziarah-menziarahi kerana AKU dan saling hadiah-menghadiahi kerana AKU.” (Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Almuwaththa’ dengan sanadnya yang sahih.)

Hari ini, cuba tanya pada diri kita, sebab apa kita sayang pada seseorang itu? Adakah sebab dia orang kaya?

Tidak!

Adakah sebab dia berkuasa, mudah nak dapat projek?  

Tidak!

Adakah sebab dia ketua bahagian? Tidak!

Oleh itu kerana apa sebabnya kita menyayangi seseorang itu?

Jawapannya kita berkasih sayang kepada seseorang kerana ALLAH SWT. Sebab dia ini saudara kita, maka ini adalah calon orang yang mendapat kasih sayang ALLAH.

“Orang ini juga tetap akan mendapat kasih sayang AKU bagi orang yang duduk bersama-sama dalam majlis kerana AKU. Wajib akan mendapat mahabbah aku bagi orang yang ziarah menziarah kerana AKU” (Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih)

Bagaimana kita nak faham cerita ini? Bagaimana kita nak tahu orang ini ziarah kerana ALLAH, orang ini berkasih sayang kerana ALLAH dan duduk bersama-sama kerana ALLAH?

Dalam contoh yang yang lain sangat jelas iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW bersabda;

“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW sesungguhnya seorang lelaki menziarahi seorang lelaki lain yang tinggal di dalam sebuah kampung. Lalu ALLAH memerintahkan malaikat untuk mengintainya dalam perjalanan.Malaikat itu telah bertanya kepada lelaki itu “Ke manakah engkau hendak pergi?” Jawab lelaki itu “Aku hendak pergi menziarahi saudaraku di kampung ini” Malaikat itu berkata “Adakah engkau mempunyai apa-apa kepentingan?”Jawab lelaki itu “Tidak! Melainkan aku mengasihinya kerana ALLAH” Lalu malaikat itu memperkenalkan diri “saudara, jangan takut, Aku adalah utusan ALLAH kepadamu. Sesungguhnya ALLAH telah mengasihi engkau sebagaimana engkau mengasihi saudaramu kerana ALLAH” [HR: Muslim No. 28]

Dapat atau tidak pengajarannya hadirin. Adakah ada sifat ini di dalam diri kita?

Ia perlu ada.

Sepatutnya kita perlu sentiasa menziarahi saudara kerana ALLAH. Tidak perlu mengungkit. Sama ada orang ini ada datang ke rumah kita atau tidak. Daripada kita tidak berkelahi terus bermasam muka.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Amr bin Al'ash r.a berkata:

"Seorang datang kepada Baginda SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, saya mempunyai keluarga yang saya hubungi tetapi mereka memutuskan hubungan kepadaku. Saya baik kepada mereka tetapi mereka zalim kepadaku dan saya tolong membantu mereka dan mereka berbuat jahat kepadaku, apakah boleh saya membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang sama?"

Jawab Baginda SAW: "Tidak, sebab jika kamu membalas mereka, maka sama dengan mereka, tetapi hendaknya engkau tetap mengambil cara yang lebih baik dan tetap menghubungi mereka, maka selalu engkau akan mendapat bantuan dari ALLAH SWT selama engkau berbuat demikian." [HR???]

Inilah caranya mendapat kasih sayang ALLAH. Kita sayang kepada orang kerana ALLAH, dan jika orang tidak sayang kepada kita biarkan. Teruskan perjuangan. ALLAH SWT berkata kepada malaikat:

“ALLAH SWT sayang kepada engkau kerana engkau sayang kepada dia kerana ALLAH” (Riwayat Imam Muslim)

Di antara adab, kita dibolehkan meluahkan perasaan sayang kepada orang lain kepada saudara-saudara Islam kita. “Iinni uhibbuka fillah” katakanlah pada mereka “Saya sayang kepada awak kerana ALLAH”.

Dan kalau kita menerima luahan perasaan seperti itu, maka jawablah “ALLAH SWT pun sayang kepada kau kerana kau sayang kepadaku kerana ALLAH.”

Bila kita pernah cakap seperti ini diantara sesama kita?

Ini kena buat kena praktikkan perkara ini apabila kita sayang kepada orang itu kita nyatakannya bahawa kita sayang padanya kerana ALLAH SWT.

Maka sayangnya seorang itu kepada saudaranya yang Muslim kerana ALLAH SWT, itu menunjukkan kesan daripada iman yang ada dalam hatinya dan menandakan orang itu mempunyai akhlak yang baik.

Kata Nabi SAW:

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana ALLAH dan marah juga kerana ALLAH.” (HR Imam Ahmad)


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA