BAHAYA SIFAT RASA DIRI SEMPURNA


Dr. Abdul Basit Abd Rahman | 05-09-2019

Manusia, kalau dia merasakan dirinya sempurna, maka dia akan menjadi orang yang ‘kurang’.  Demikianlah hidup kita ini, kalau kita merasakan diri kita ini kurang dan belum sempurna, bermakna kita akan menjadi orang yang rajin untuk pergi belajar, rajin mencari ilmu dan sebagainya.

Tetapi kalau kita sudah merasakan diri kita ini sempurna. Semua yang kita ingin tahu sudahpun kita ketahui ataupun kita bercakap “Buat apa aku nak mengaji lagi, semuanya aku dah tahu”, maka ketika itu kita akan menjadi manusia yang duduk di bawah satu kategori di dalam sifat-sifat al-mazmumah, iaitu sifat-sifat yang dicela oleh Allah SWT iaitulah sifat al-ujub (sifat rasa bangga dengan diri sendiri). Kita rasa kita sudah ‘molek’ dan sempurna.

Apakah yang dikatakan sebagai Ujub?

Ujub ini merupakan perasaan kagum terhadap diri sendiri yang terbit dihati seseorang insan yang beranggapan dirinya memiliki sifat yang lebih baik atau sempurna berbanding dengan orang lain.

Imam Sufyan Ats-Tsauri berkata: “Sifat ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya daripada saudara kamu. Sedangkan boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali dia lebih warak daripada kamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah dan lebih tulus amalnya.”

Imam Ibnu al-Mubarak pula menyatakan: “Perasaan ujub adalah ketika engkau merasakan dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain.”

Sifat ujub ini ditegah oleh syarak kerana ia merupakan faktor yang dapat mencetuskan pelbagai sifat-sifat buruk yang lain seperti sombong, takbur, bongkak, iri hati, dengki, khianat dan sebagainya.

Firman Allah SWT;

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman : 18)

Allah SWT turut berfirman;

“(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.” (Surah An-Najm: 32)

Ayat ini melarang seseorang itu dari memiliki persepsi bahawa dirinya itu suci dari melakukan kesilapan dan menolak sikap narsisisme iaitu perasaan cinta terhadap diri sendiri yang berlebihan.

Rasulullah SAW turut memberi amaran bahawa bagi mereka yang bersifat ujub atau bangga diri ini mereka akan dihukum oleh Allah SWT sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Baginda SAW bersabda: "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (merasakan dirinya lawa). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat," (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga di dalam al-Quran, surah Faathir ayat kelapan, Allah SWT telah memperingatkan kepada kita:

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya)? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.” (Surah Faathir: 8)

Sebenarnya daripada ayat;

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya)”

Ia disandarkan kepada suatu amalan yang sebenarnya amalan tersebut adalah buruk disisi Allah SWT ataupun bila kita nilai dia dengan neraca nilaian syarak. Amalan itu adalah buruk.

Tetapi apabila kita melihat amalan yang dilakukan kita itu dengan mata kita sendiri, kita mempunyai keyakinan bahawa apa yang kita lakukan itu adalah amalan atau perbuatan yang baik. Bahkan apabila ada orang memberi nasihat kepada kita terhadap amalan yang kita lakukan itu, kita marah kepada yang memberi nasihat. Nasihat yang mereka beri tidak diterima dan kita masih meneruskan perbuatan yang tidak baik disisi Allah, tetapi baik disisi kita. Itulah sifat ujub.

Maka sudah menjadi tanggungjawab kepada kita para jemaah sekalian, orang yang sentiasa menghisab dirinya, siapa dia yang menghitung kedudukan dirinya pada hari ini, dia akan mendapat kemenangan atau kebertuahan pada esok hari. Dan sesiapa yang lupa dan lalai untuk nak menghitung dan menyemak kembali jiwa dan diri kita, maka dia akan kecewa di akhir nanti. Siapa dia yang sentiasa melihat ke arah mana kita nak pergi, dan apakah akhir kesudahan, insyaallah kita akan selamat.

Sebabnya orang yang tilik kepada dirinya sendiri, dia akan tengok apakah dia sekarang ini berada dalam keadaan baik, apakah dia dalam keadaan tenang ataupun tidak, maka itulah, apabila seseorang tidak lagi menilai dirinya dengan keadaan yang seperti yang tersebut itu, maka dia akan duduk dalam keadaan yang tidak selamat.

 

Para Ulama sering menyalahkan diri sendiri dari orang lain

Para pembaca,

Cuba kita lihat contoh-contoh bagaimana keadaan para ulama yang terdahulu, selalunya mereka akan menyalahkan diri sendiri. Mereka tidak akan sama sekali mencari kesalahan orang lain.

Dan keadaan ini berbeza sangat dengan kita pada hari ini, yang mana kita lebih suka mencari kesalahan orang lain, sedangkan kesalahan sendiri tidak diakuinya. Apa sahaja yang tidak kena, orang lain yang bersalah, bukannya salah itu datangnya dari dia.

Di dalam ayat al-Quran, surah az-Dzariyat ayat 18. Allah SWT ada menyebut;

“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”

Pada waktu sahur maknanya hampir nak subuh, mereka beristighfar, siapakah mereka itu?

Kata sheikh al-Khusyairi, “Mereka itu adalah ahli tahajud, mereka itu adalah orang-orang yang sedang bertahajud.” 

Maknanya di akhir malam mereka bangun bertahajud, sampai waktu sahur dan penghujung malam, mereka berhenti dan beristighfar. Bimbang, cemas, takut amalan yang mereka lakukan tadi tidak ikhlas. Tahajud yang mereka lakukan itu ada kekurangan, maka mereka beristighfar, menangis memohon keampunan Allah SWT. Itu adalah mereka.

Jadi ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa, inilah sikap orang yang duduk dalam keadaan rasa dirinya tidak selesa dan tidak sempurna. Bila kita berasa tidak selesa dan tidak sempurna, maka kita akan sentiasa berdoa, bermunajat meminta bantuan daripada Allah SWT agar Dia beri kepada kita taufik dan hidayah-Nya supaya dapat kita meneruskan perjalanan hidup kita ini, jalan yang diredhai-Nya sampai ke penghujungnya.

Kemudian ayat yang kedua, surah al-Mukminun ayat 60,

“Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;”

Bila membaca ayat al-Quran ini, ibu kita Sayidatina Aisyah Binti Abi bakr bertanya kepada Rasulullah SAW;

يَا رَسُولَ اللهِ، “اَلَّذِيْنَ يُؤْتُونَ مَآ ءَاتَوا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ” هُوَ الَّذِيْ يَسْرِقُ وَيَزْنِى وَيَشْرَبُ الْخَمْرَ، وَهُوَ يَخَافُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ؟.

“Wahai Rasulullah, orang yang berbuat amal, tetapi hatinya menggeletar, hatinya cemas, takut itu siapakah ya Rasulullah? adakah mereka itu peminum arak, adakah mereka itu ahli zina, adakah mereka itu orang yang buat maksiat?

Nabi berkata;

قَالَ: لَا، يَا بِنْتَ الصِّدِّيْقِ! وَلَكِنَّهُ الَّذِيْ يُصَلِّى وَيَصُوْمُ وَيَتَصَدَّقُ وَهُوَ يَخَافُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ

“Bukan wahai anak abu bakar, mereka itu ialah orang yang melakukan ibadah kepada Allah SWT, mereka banyak beribadah, mereka banyak membaca al-Quran, mereka banyak melakukan amal soleh, tetapi hati mereka masih lagi gementar, bimbang takut amal yang mereka lakukan  itu tidak sempurna dan tidak diterima oleh Allah SWT.” (Riwayat Ahmad)

Maka kata Sheikh al-Qushairi dalam tafsir ayat ini;

“Mereka ini ikhlas dalam ketaatan, tetapi masih lagi berasa cemas, masih lagi berasa takut, bimbang, takut-takut nanti tidak sempurna apa yang mereka buat.”

Berdasarkan daripada doa yang sentiasa Nabi Muhammad SAW baca;

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Dzat yang membolak balikkan hati teguhkanlah hatiku berada di atas agamamu.”

Apabila Rasulullah SAW kerap membaca doa ini, Ummu Salamah pernah bertanyakan kepada baginda, kenapa doa tersebut sering baginda SAW baca. Maka baginda Nabi SAW menjawab;

يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِىٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ

“Wahai Ummu Salamah, yang namanya hati manusia selalu berada di antara jari-jemari Allah. Siapa saja yang Allah kehendaki, maka Allah akan berikan keteguhan dalam iman. Namun siapa saja yang dikehendaki, Allah pun boleh menyesatkannya.” (Riwayat Tirmizi no. 3522)

Betullah apa yang dikatakan baginda SAW, apabila waktu pagi kita menjadi orang yang baik, dan bila masuk sahaja waktu petang, kita bertukar menjadi orang yang tidak baik. Keadaan sebegini boleh berlaku. Kerana ini semua adalah kuasa dari Allah SWT. Maka supaya tidak berlaku pertukaran daripada baik kepada buruk, Rasulullah SAW telah mengajarkan doa ini.

Seorang yang bernama Mutarrif bin Abdillah dan Bakar bin Abdullah al-Muzani r.a, mereka berdua ini adalah orang yang sudah sampai kepada darjat zuhud, dan juga darjat warak.

Maka mereka berdua ini bertemu di Arafah pada musim haji, dan Mutharrif ini berdoa:

اللهم لا ترد الناس لأجلى

“Ya Allah, janganlah engkau tolak doa manusia keranaku.”

Maknanya dia mengatakan bahawa dia ini telah datang ke Arafah dengan dosa yang banyak. Janganlah disebabkan daripada dosanya itu, doa orang lain pun jadi terhalang.

Begitu juga kata Bakar al-Muzani,

“Ketika aku melihat orang-orang di Arafah, aku beranggapan bahawasanya mereka akan diampuni seandainya aku tidak berada ditengah-tengah mereka!”

Subhanallah, apa yang boleh kita nampak di dalam doa yang dibacakan mereka ini, adalah sifat tawadhuk daripada dua orang ulama yang besar. Kedua-dua ahli zuhud dan warak ini masing-masing menolak kesalahan itu kepada dirinya.

Dan ada juga yang mengatakan kalaulah pada hari Arafah ini, hari yang sangat besar ini terdengar suara yang mengatakan bahawa “Semua orang di arafah ini diampunkan kecuali seorang,” maka kata ulama, “Sayalah orang itu.”

Jadi kita kena belajar ilmu tentang zuhud, tentang warak, tentang rasa cemas apabila berada dalam keadaan ini dan sebagainya.

Sheikh Ibrahim at-Taimi, salah seorang fuqaha tabi’in dan ahli ibadah, dia berkata:

Ada orang bertanya kepadanya: “Tuan sheikh adalah orang yang alim dan fakih, apakah pandangan tuan terhadap masalah sekian dan sekian?

Dia berkata “Kalaulah pada masa Ibrahim at-Taimi sudah naik kepada darjat fakih, maka zaman itu adalah zaman yang tidak baik lagi dah.”

Maksud yang cuba disampaikan oleh Shiekh Ibrahim at-Taimi adalah keengganannya mengakui bahawa dirinya seorang yang fakih walaupun sebenarnya dirinya memang orang yang fakih.

Sheikh Ibrahim at-Taimi juga sebenarnya adalah seorang ulama yang suka mengenakan pakaian ala anak-anak muda. Tidak ada seorang pun yang mengetahui kalau beliau itu ulama kecuali sahabat-sahabatnya.

Beliau pernah berkata, “Orang yang ikhlas adalah yang berusaha menyembunyikan kebaikan-kebaikannya sebagaimana dia suka menyembunyikan keburukan-keburukannya.”

Dan katanya lagi; “Tidaklah aku menghadapkan ucapanku kepada perbuatanku kecuali aku khuwatir bahawa aku pasti akan didustakan.”

Maksud ucapannya itu adalah: Aku takut orang yang melihat amalanku akan mendustakanku apabila perbuatanku bertentangan dengan apa yang aku katakan. Sehingga orang itu akan berkata, “Seandainya kamu jujur niscaya kamu tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ucapanmu.” 

Sheikh Ibrahim at-Taimi mengucapkan hal itu kerana beliau adalah orang yang sering memberikan nasihat dan pelajaran kepada orang lain. Sebagai orang yang biasa memberikan nasihat kepada orang lain, beliau menyedari bahawa dirinya tidak boleh mencapai puncak kesempurnaan amalan. Di sisi yang lain, beliau juga mengetahui bahwa Allah SWT mencela orang yang memerintahkan yang ma’ruf dan melarang dari yang mungkar namun tidak beramal dengan baik. Allah SWT berfirman yang maksudnya “Amat besar kemurkaan di sisi Allah, ketika kamu mengucapkan apa-apa yang kamu sendiri tidak lakukan.” (Surah ash-Shaff: 3). Oleh kerana itulah beliau berasa khuwatir takut dirinya termasuk golongan pendusta atau menyerupai perilaku para pendusta.” (lihat Fath al-Bari [1/136-137])

Allahuakbar, begitulah keadaan ulama pada zaman dahulu.

Hasan al-Basri juga ada berkata “Sepatutnya orang yang seperti kita ini tidak adanya solat sunat, kerana orang yang melakukan solat sunat ini adalah orang yang sudah sempurna solat fardhunya.”

Kata-kata Hasan al-Basri bukan bermakna dia melarang melaksanakan ibadah solat sunat. Ini adalah bahasa kiasan. Maknanya, kita sebagai manusia masih banyak lagi kelemahan ketika melaksanakan ibadah solat fardhu. Masih lagi belum sempurna. Kadangkala kita buat, dan ada masanya kita lalai. Jadi untuk apa kita banyak tekankan solat sunat sedangkan solat yang fardhu masih belum sempurna? Dan Ini menunjukkan bahawa Hasan al-Basri masih lagi tidak mengaku kesempurnaan ibadahnya.

Al-fudhail ibnu Iyadh, walaupun dia seorang ulama, tetapi dia sering mencerca nafsunya sendiri, dia berkata “Ya fudhail, masa mudamu kamu banyak habiskan dengan perkara yang sia-sia, kamu banyak bermain…dan apabila kamu sudah tua ini, dalam ibadah pula banyak yang riya’”

Kata Fudhail lagi “tidak baik di zaman muda ini adalah lebih baik daripada kita riya’ di zaman tua…”

Ini menyentuh perasaan kita. Kita ini sentiasa berasakan diri kita ini sudah cukup baik. Kita sentiasa berasakan diri kita ini sudah cukup hebat, maka kita berbuat ibadah semata-mata nak menunjukkan pada orang. Maka disitulah satu benda yang cukup menakutkan kita iaitu riya’.

Fudhail bin Iyadh menjelaskan,

تَرْكُ الْعَمَلِ لِأَجْلِ النَّاسِ رِيَاءٌ وَالْعَمَلُ لِأَجْلِ النَّاسِ شِرْكٌ

“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, sedangkan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu adalah Allah menyelamatkan kita dari keduanya.”

Imam Nawawi menjelaskan: “Kata-kata Fudhail bahawa orang yang meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, sebab dia melakukannya kerana manusia. Adapun kalau meninggalkan amal kerana ingin melakukannya sewaktu bersendirian, maka diperbolehkan dan itu adalah sunnah, kecuali dalam perkara yang wajib, seperti solat wajib lima waktu atau zakat, atau dia seorang alim yang menjadi ikutan dalam ibadah, maka menampakkannya adalah afdhal (utama).”  (Syarah Arbain, Imam Nawawi)

Kata para ulama;

“Sebagaimana pokok duri itu tidak akan mengeluarkan buah anggur, demikian juga orang-orang yang tidak baik, tidak akan duduk di tempat orang-orang yang soleh yang terpuji, maka pilihlah jalan mana yang kita nak bawa diri kita ini kepada Syurga atau kepada Neraka.”

BUKU BERKAITAN

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA