Jangan sangka isteri yang jadi suri rumah kurang kerja atau banyak berehat!


SOALAN: Apakah batasan-batasan bagi seorang suami yang perlu dijaga dalam memberi arahan kepada isterinya agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang memperhambakan isteri?

DMFK: Soalan ini sesuatu yang relatif. Untuk seseorang isteri tertentu yang didikannya hebat, apa sahaja suruhan yang suami minta, tidak menjadi masalah yang besar baginya. Contohnya, suami meminta isteri masak rendang tok, isteri boleh buat. Tetapi ada sesetengah isteri pula, “Haa, rendang tok? Mee segera pun saya tak pandai masak.”

Oleh itu, batasan-batasan ini bergantung kepada situasi dan kemampuan isteri masing-masing. Apabila orang yang biasa hidup susah dapat sedikit kesusahan, dia tidak mudah gabra. Tetapi orang yang selalu hidup senang jika dapat sedikit ujian, maka ia sangat berat baginya. Begitulah seorang isteri, kita kena nilai tahap mana isteri kita agar apa yang disuruh tidak memudaratkan mereka.

Konsep ini seperti ujian-ujian yang menimpa manusia. Ujian yang kita terima bergantung kepada tahap pemikiran dan kemampuan kita. Allah SWT tidak akan membebankan kita dengan perkara-perkara yang kita tidak upaya untuk menghadapinya. Bagi orang yang imannya lemah, ujian yang kecil pun boleh membuatkan dia terasa amat tertekan.

Syaitan boleh berbisik agar manusia sering mementingkan diri sendiri. Maka kita boleh lihat ada pasangan yang tidak mempunyai sifat bertimbang rasa sehingga menyebabkan suasana huru-hara dalam rumah tangga.

Contoh yang lain, jika isteri merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, elakkan daripada menyuruh dia perkara-perkara yang berat.

Bayangkanlah isteri kita penat membersihkan rumah, jaga anak-anak, memasak dan rasa bosan sebab selalu buat kerja yang sama setiap hari. Tambah pula suami suruh buat itu dan ini, maka situasi tersebut boleh membebankan isteri. 

Kadang-kadang kita rasa itu tanggungjawab seorang isteri, tetapi sebenarnya kita menyeksa emosi mereka secara diam dan memperhambakan mereka tanpa sedar. Sepatutnya suamilah yang membantu dan meringankan kerja isteri, barulah rumah tangga jadi bahagia.

Al-Quran sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik melalui firman-Nya:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’: 19)

Jangan sangka isteri yang jadi suri rumah kurang kerja. Malah, boleh jadi kerja di rumah lebih banyak daripada kerja di pejabat!

Oleh itu, setiap pasangan mestilah saling memahami antara satu sama lain. Suami kena tahu setakat mana isteri boleh lakukan suruhan kita tanpa merungut dalam hati. Selagi isteri tidak merungut, boleh senyum dan rasa seronok, menggambarkan arahan kita tidak membebankan mereka.

Untuk saling memahami, kena banyakkan perbincangan dan perbualan antara suami dan isteri. Berkatalah kepada pasangan, “Sayang kalau boleh buat, buatlah. Tapi kalau tak mampu, tak perlu buat.” Itulah petanda toleransi dan tolak ansur.
 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });