KENDURI KAHWIN HEBAH BUKAN ‘HEBOH’!


“Melalui kenduri kahwin anak, kita akan dapat tahu sejauh mana rapatnya hubungan kita dengan saudara-mara dan kenalan yang lain,” ujar seorang sahabat.

“Bagaimana tu?”

“Misalnya, baru-baru ni. Ketika kenduri kahwin anak saya ramai sahabat-sahabat lama yang bertahun-tahun tak jumpa tapi mereka datang juga. Ada yang datang dari jauh, semata-mata meraikan jemputan saya.”

“Bila dijemput, wajib datang, kecuali keuzuran,” tambah saya sekadar memeriahkan perbualan.

“Itu sudah pasti. Saya gembira betul itu menunjukkan contact saya dengan mereka masih kuat. Selepas ni banyak yang boleh dibuat bersama. Kerja-kerja dakwah dan perniagaan saya perlukan jaringan hubungan yang kuat,” katanya lagi.

“Ramai jemputan?”

“Sekitar 2,000 orang. Saya buat di dewan besar sahaja. Mudah. Makan pun ada katering yang uruskan. Jadi saya, isteri dan anak-anak boleh fokus melayan tetamu. Bukan untuk megah, tetapi demi ukhuwah,” jawabnya pendek.

Saya masih ingat majlis walimah anaknya itu. Memang meriah. Bergema dengan nasyid dan selawat. Unsur-unsur pembaziran boleh dikatakan tidak ada. Meja-meja disusun kepada tiga kategori - lelaki, wanita dan keluarga. Jadi, pergaulan bebas dapat diminimumkan.

Dengan kedudukan dan status sosialnya, saya rasa sahabat saya itu mampu membuat majlis walimah yang lebih besar. Saya ingin tahu kenapa dia memilih gaya sederhana sahaja.

“Yang penting saya tak mahu pembaziran. Jika ada lebihan wang kita boleh gunakan pada kerja lain yang lebih mendesak. Majlis kenduri kahwin sekadar melahirkan rasa kesyukuran dan penghebahan. Syukur, ‘masjid’ telah didirikan. Terhebah anak kita sudah dinikahkan.”

“Tujuan lain yang lebih mendesak?” jolok saya.

“Benar, umat Islam sekarang hidup dalam keadaan terdesak. Ketinggalan, tertindas dan terhina di mana-mana. Lihat sahaja program-program TV yang memaparkan kisah duka saban hari. Lihat pula di bahagian dunia lain yang lebih memerlukan... Kemiskinan, kejahilan dan masalah kesihatan umat Islam adalah antara kerja belum selesai yang memerlukan dana.”

“Tak sampai ke situ cara berfikir umat Islam kini,” komen saya.

“Saya tak bercakap tentang majlis kenduri kahwin golongan sederhana dan miskin. Jika mereka membazir, itu lebih parah. Tapi itulah yang selalu kita dengar. Bergolok-bergadai, berhutang untuk adakan majlis yang di luar kemampuan.”

“Saya bercakap tentang golongan menengah dan ke atas, mereka yang kaya-raya dan ternama. Buatlah kenduri sekadar mencapai tujuan dan keperluan. Bukan atas dasar kemahuan. Di tangan mereka ada prioriti lain yang lebih besar.”

“Tapi mereka mampu?”

“Dr. Yusuf Qaradawi menegur golongan yang saban tahun mengerjakan umrah sedangkan wang yang dibelanjakan itu boleh disalurkan untuk tujuan yang lebih urgent - membantu umat Islam yang lain dari sudut makanan, pendidikan dan keselamatan!”

Saya diam. Akur. Pendek kata, kenduri kahwin sekadar hebahan bukan ‘hebohan.’

Suara Kecil ‘Orang Besar’ di Meja Makan

“Itulah akibatnya, jemput makan orang yang tak ‘boleh’ makan...” kata saya.

Isteri di sebelah diam. Mula terfikir tentang majlis kenduri kahwin anak kami nanti. Bagaimana gerangan? Akan terjadikah tragedi seperti yang baru kami lihat sebentar tadi.

“Tujuan jamuan adalah untuk memberi orang makan. Kalau ramai yang dijemput tak boleh makan, silap kitalah, silap jemput.”

“Tapi takkan tak jemput saudara mara dan kenalan rapat? Apa pula kata mereka nanti.”

Saya senyum. Terkenang kembali majlis walimah yang baru kami hadiri tadi. Di meja khas tempat kami duduk, bersepah lauk-pauk yang sekadar disentuh-sentuh saja. Daging kambing, lembu, ayam terbiar. Sayang... kebanyakan tetamu bukan makan, hanya makan-makan.

I tak boleh jamah ni. Kolesterol I dah paras bahaya.”

“Doktor peribadi I baru ingatkan, kurangkan makan berlemak. Sorrylah ye, kambing bakar ni I jamah-jamah je.”

I nak trim body sikit. Kena jaga potongan. Dalca ni I minat, tapi apa nak buat...”

Begitulah suara-suara kecil ‘orang besar’ di meja makan.

Saya terfikir mengapalah agaknya orang yang seperti ini diletakkan di ‘kepala’ hidangan. Yang sedap-sedap, yang lazat-lazat dikhususkan buat mereka. Siapa yang dijamu? Diri mereka atau pangkat dan nama mereka? Majoriti mereka bukan boleh makan. Diet, pantang atau atas sebab-sebab kesihatan yang lain. Alangkah baiknya, mereka yang benar-benar lapar dan yang sukar menemui makanan yang enak-enak diberi peluang semacam itu. Seronok agaknya melihat mereka makan.

“Abang nak jemput siapa nanti?”

“Orang yang boleh makan.”

“Siapa?”

“Orang miskin dan anak-anak yatim di asrama berhampiran taman kita.”

“Eh, takkanlah mereka sahaja?”

“Saudara mara dan sahabat kita jemput juga. Tapi golongan yang lebih memerlukan itu jangan dilupakan. Mereka yang boleh makan. Yang tidak ada diabetes, hipertension dan sakit jantung. Jangan jadi macam tadi.”

Isteri saya senyum.

Bukan Berkira Tetapi Ada Kira-kira

“Nanti orang kata apa? Rendah sangat.”

“Orang akan kata apa sahaja. Tinggi, kata nak jual anak. Rendah, anak tak laku.”

“Lagipun harga ayam dah naik. Gula, tepung, semua harga barang dah naik.”

“Anak kita ‘barang’?”

“Bukan macam tu... tapi kenduri kahwin tentu pakai barang, tentu pakai duit.”

“Itulah saya kata. Selaras dengan belanja yang diperlukan.”

“Itulah masalahnya, berapa yang kita perlukan?”

“Keperluan ikut tujuan. Tercapai tujuan, cukuplah.”

“Kena banyak-banyak bang...”

“Itu sudah keinginan. Bukan keperluan. Nak ikut banyak, satu taman ni kita jemput. Tu belum masuk kawan-kawan dan client abang lagi. Mencecah lima ke enam ribu nanti!”

“Kita tak mahu, tapi orang desak bang. Sekali-sekala.”

“Saya tak suka kalau kita kata orang desak. Itu tidak ikhlas namanya. Kita berbuat apa-apa pun mesti atas dasar choice - pilihan kita, bukan chances atau desakan orang lain.”

“Kita bermasyarakat.”

“Betul. Tapi masyarakat yang akur pada syariat. Majlis walimah kita mesti tidak ada pergaulan bebas. Tidak ada perbezaan hidangan antara jemputan. Tidak ada pendedahan aurat yang diperagakan. Tidak ada unsur kelalaian dan hiburan melampau.”

“Yang ada?”

“Tasbih dan tahmid, itu kesyukuran. Itu tak perlukan kos. Berkat.”

“Hisy, nak berkira sangat.”

“Kita tak berkira tetapi mesti ada kira-kira. Kira-kira kita dengan Allah. Allah Maha Penyayang, yang baik, berpahala dan diredhai adalah sesuatu yang mudah, murah dan ringkas. Itulah rahmat kasih sayang-Nya.”

“Tapi manusia pilih yang mahal, payah dan rumit. Itulah yang anehnya. Berdosa dan dimurkai pula tu.”

“Faham pun... jom kita fikir sekali lagi. Mari kita selawat dan istighfar. Berapa agaknya hantaran yang kita nak tetapkan untuk pihak lelaki nanti?”

Insya-Allah, apabila tulus mukadimahnya, pasti lurus jalannya, baik pula natijahnya. Amin!

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });