APA YANG KAU SIBUK?


Ustaz Abd. Razak Muthalib | 26-08-2019

Ada yang ketawa keriangan.

Ada yang menangis kesedihan.

Ada yang senang hidup penuh kemewahan.

Ada yang derita hidup penuh kesempitan.

Ada yang teruja nikmati bahagia.

Ada yang resah ditimpa masalah.

Ada yang tabah hadapi musibah.

Ada yang miskin dan terus menjadi miskin.

Ada yang kaya dan semakin bertambah kaya.

Ada yang pernah jatuh, hari ini bangkit semula.

Ada yang dahulu tiada apa-apa, hari ini dihormat dan disanjung manusia.

Ada yang dahulu dipandang mulia, hari ini menjadi hina.

Ada yang dahulu megah ditampuk kuasa, hari ini menjadi rakyat biasa.

Ada yang dahulu bicaranya sombong dan bongkak, hari ini bagaikan pengemis menagih simpati merangkak-rangkak.

Masing-masing Sibuk

Inilah KEHIDUPAN. Ada pelbagai bentuk dan warna.

Selagi adanya kehidupan selagi itulah cerita-cerita sebegini akan terus berjalan. Ahli sukan bercakap tentang sukan. Tukang masak bercakap soal masakan. Usahawan bercakap tentang perniagaan. Guru-guru bercakap soal pendidikan. Para artis bercakap soal seni lagu dan lakonan. Ahli politik bercakap soal pemerintahan. Tidak kurang juga yang asyik berbincang bagaimana lagi mahu mengumpul kekayaan.

Selama nyawa masih dipanjangkan, selama itulah kita semua akan sibuk dengan kehidupan. Meneruskan kehidupan yang entah sampai bila. Anak-anak pergi ke sekolah bagi meneruskan kehidupan menimba ilmu dan membentuk diri. Ibu bapa terus bekerja membanting tulang mencari rezeki bagi menyara anak-anak dan isteri. Graduan universiti sibuk mencari peluang pekerjaan. Anak muda bujang sibuk pula mencari pasangan. Masing-masing sibuk mengatur kehidupan diri sendiri.

Dunia hari ini seakan-akan tiada bezanya antara siang dan malam. Kesibukan manusia seperti tiada henti. Siang dan malam penuh dengan aktiviti. Ada kesibukan yang menjemput pahala. Ada juga kesibukan yang mengundang dosa.

Dalam kesibukan itu, ambil sedikit masa untuk bertanya diri, BERBALOIKAH AKU SIBUK SELAMA INI?

 

Sibuk Dapat Pahala atau Dosa?

Ada orang yang kesibukannya bukan setakat fikir tentang diri sendiri, bahkan memikirkan juga hal orang lain. Tidak boleh melihat orang lain dalam kesusahan. Ringan tulangnya membantu. Kebaikan yang dihulur tidak hanya berlegar di kawasan setempat, malah merentasi sempadan negeri ke peringkat antarabangsa.

Ada orang yang resah hatinya melihat orang lain jauh dari hidayah, lalu digerakkan usaha dakwah.  Kehidupannya sibuk dengan dakwah. Menyeru orang lain ke arah kebaikan. Jika melihat kemunkaran, dicegahnya mengikut kemampuan. Segala ruang dan kudrat digunakan untuk dakwah, mengajak manusia kepada sunnah Rasulullah. Dakwah menyebabkan dirinya sibuk.

Ada orang yang tidak sanggup membiarkan kebenaran dan keadilan dicabul dan dinoda. Hidupnya sibuk dengan perjuangan menegakkan keadilan dan membenteras kezaliman. Biar dirinya disiksa dan dipenjara, namun semangat perjuangan tetap membara bebas merdeka. Berjuang bukan untuk dirinya, namun demi kesejahteraan umat dan generasi berikutnya.

Ada orang hidupnya penuh kesibukan sehingga menjadikan dirinya lupa Tuhan. Kewajipan diabaikan. Agama dan dirinya berjauhan. Tidak sempat untuk hadir solat jemaah dan kelas pengajian. Baginya setiap minit adalah duit. Semakin dicari semakin rasa hendak lagi. Sibuknya mengumpul harta dengan apa sahaja cara. Halal dan haram tiada beza baginya. Kesibukan telah menyebabkan dia terlupa bahawa adanya soal pahala dan dosa.

 

Berakhirnya Kesibukan

Kesibukan ini tidak akan berakhir sehinggalah berakhirnya kehidupan. Pengakhiran sebuah kehidupan yang hakikatnya menjadi permulaan kepada sebuah kehidupan. Telah sampai ke destinasi. Kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Di SANA kesibukan kita di dunia akan dinilai. Tidak ada yang akan diabai. Satu demi satu.

Beruntunglah bagi mereka yang kesibukan di dunia membawanya ke syurga. Rugi dan rugilah mereka yang kesibukannya tidak membawa apa-apa makna. Bahkan lebih rugi jika kesibukan itu menghumbannya ke jurang neraka.

Tiada lagi erti penyesalan. Akhirat tempat menerima balasan.

 

Berbaloikah Kesibukan Kita?

Dalam kesibukan mengatur kehidupan, berhenti sejenak untuk bertanya diri. Berbaloikah apa yang aku lakukan hari ini? Berbaloikah kesibukan dan kepenatan yang aku tanggung selama ini?

Selagi ada peluang untuk hidup, lakukan muhasabah. Buat penambahbaikan.

Aturkan kehidupan selari dengan matlamat penciptaan Tuhan.

Berperanan sebagai hamba dan khalifah.

Suburkan bumi dengan benih kebaikan.

Hulurkan jasa kepada manusia.

Biar kita sibuk kerana Allah. Biar kita letih kerana agama. Biar semua kesibukan dan keletihan menjadi penyebab untuk kita rasai kerehatan dan kecapi kenikmatan di syurga.

Jika kita ditanya: “Apa yang kau sibuk sangat?!”.

Jawablah “Aku sibuk kerana aku masih hidup. Hidup untuk kumpul pahala kerana mati boleh datang bila-bila”.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });