Tangisan Sayidina Ali bin Abi Talib Yang Ditenteramkan oleh Nabi SAW


Ustaz Mustafar Mohd Suki | 22-08-2019

عَنْ عَائِشَةَ بِنْتِ سَعْدٍ، عَنْ أَبِيهَا: أَنَّ عَلِيًّا خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى جَاءَ ثَنِيَّةَ الْوَدَاعِ وَعَلِيٌّ يَبْكِي يَقُولُ: تُخَلِّفُنِي مَعَ الْخَوَالِفِ؟ فَقَالَ: أَوَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى إِلا النُّبُوَّةَ

Daripada Aisyah binti Sa'd daripada bapanya, bahawa Ali keluar bersama Nabi SAW sehingga tiba di Thaniyyatul Wada'. Kemudian Ali menangis dan berkata kepada Nabi SAW: “Engkau tinggalkan aku bersama orang-orang yang tertinggal (di Madinah)?“ Maka Nabi SAW bersabda: “Tidakkah kamu rela bahawa kedudukanmu denganku seperti kedudukan Harun dengan Musa, kecuali (darjat) kenabian?” (HR Ahmad no. 1463, Sanadnya sahih di atas syarat al-Bukhari)

Kelebihan Ali Bin Abi Talib dalam Berjuang Bersama Nabi SAW

Ali bin Abi Talib merupakan seorang sahabat yang ditarbiah oleh Nabi SAW. Beliau ditarbiah sebagai seorang yang bertanggungjawab dan menjaga amanah yang amat berguna ketika mana beliau menjadi khalifah.

Sebagai contoh dalam Perang Khaibar pada asalnya Ali bin Abi Talib ingin bersama Nabi SAW dalam peperangan Khaibar, akan tetapi beliau terkena sakit mata yang parah. Akhirnya beliau tetap terus bersama Nabi SAW lalu Baginda SAW memberikan bendera peperangan kepada beliau yang dipuji oleh Baginda SAW sebagai seorang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya. (HR al-Bukhari)

Pengecualian daripada Berhijrah dan Berperang

Apabila seruan jihad datang, hukum jihad menjadi wajib secara fardu ain ataupun fardu kifayah apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Kemampuan anggota badan.

2. Mampu menggunakan senjata dan alat perang.

3. Mampu tiba ke tempat yang diserang.

4. Tidak ada penghalang untuk berjihad.

Dalam kitab al-Fath, Ibnu al-Humam berkata:

“Seseorang yang berniat berperang tidak dianggap berdosa jika tidak keluar berperang kerana keuzuran. Ini seperti tidak keluar berperang disebabkan orang ramai tidak keluar berperang atau mereka malas berperang atau pemerintah melarang mereka berperang.”

Daripada Abu Abdillah iaitu Jabir bin Abdullah al-Anshari r.a. berkata: Kami bersama Nabi SAW dalam suatu peperangan (iaitu Perang Tabuk), kemudian Baginda SAW bersabda:

 “Sesungguhnya di Madinah itu ada beberapa orang lelaki yang tidak menempuh suatu perjalanan dan tidak pula menyeberangi suatu lembah, melainkan orang tadi ada bersamamu (yakni sama-sama memperoleh pahala) mereka itu terhalang oleh sakit (maksudnya andai kata tidak sakit pasti ikut berperang)."

Dalam suatu riwayat dijelaskan: “Melainkan mereka (yang tertinggal itu) berkongsi denganmu dalam hal pahalanya." (HR Muslim) 

Namun, ada dua perkara yang perlu ada bagi gugurnya dosa daripada orang yang wajib berjihad tetapi dia tidak melakukannya:

1. Berniat untuk berjihad dan berazam melakukannya jika ada peluang.

2. Tidak boleh reda dengan keadaan yang sedia ada dan tidak berputus asa.

 

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });