Dahsyatnya Mahkamah Dunia, Dahsyat Lagi…


Sofian Resali | 21-08-2019

Suasana hingar-bingar. Terlalu ramai orang dengan pelbagai latar belakang. Ada yang berteman. Ada yang diiringi kaum keluarga. Semuanya dengan urusan sendiri. Masing-masing kelihatan sibuk dan fokus. Ada yang berpakaian kemas. Ada yang membawa beg besar. Pelbagai ragam dapat dilihat.

 

Begitulah keadaan sebuah mahkamah di ibu negara. Kebetulan hari berkenaan, saya menemani seorang rakan yang perlu hadir ke mahkamah itu bagi menguruskan samannya. Hanya kerana pinjaman yang bermasalah dengan sebuah bank.

 

“Sibuk betul semua orang. Nampaknya urusan masing-masing begitu penting. Orang awam, peguam dan lain-lain sibuk uruskan hal sendiri,” ujar teman saya tadi.

 

Benar, semua orang sedang sibuk. Mereka yang bergelar ‘orang kena dakwa’ menghitung masa untuk nama dipanggil. Sama ada untuk memberi keterangan atau membuat pengakuan, masing-masing menghitung masa dan ketika.

 

“Yalah, tengok peguam cara dan peguam bela tu. Masing-masing membawa fail-fail perbicaraan mereka. Muka pun semuanya serius,” jawab saya.

 

Nama teman saya tadi kemudian dipanggil untuk ke sebuah bilik mahkamah. Dia kemudian diperkenalkan dengan seorang peguam. Teman saya digelar sebagai defendan. Manakala pihak bank pula dipanggil plaintif. Mereka semua kemudian mengadap seorang majistret.

 

Tidak lama kemudian, mereka keluar. Muka teman saya tadi antara ceria dan tenang. Saya cepat-cepat mendapatkannya. Mahu tahu apakah perkembangan kesnya. Apa pula yang dibicarakan dalam bilik tadi. Maklumkan ia adalah situasi pertama kali saya lihat di sini.

 

“Tiada apa sangat pun. Peguam yang dilantik plaintif mahu rekod kehadiran aku di mahkamah ni. Manakala majistret pula merekodkan pengakuan aku sama ada mengaku bersalah atau tidak. Tetapi sebelum itu dia tanya aku faham atau tidak pertuduhan berkenaan. Kemudian tanya aku sama ada nak buat rayuan atau tidak.

 

“Aku kemukakan beberapa rayuan. Dia memahami dan meminta aku berurusan semula dengan bank untuk sebarang rayuan, pertimbangan dan sebagainya. Alhamdulillah semua urusan di mahkmah ni dah selesai. Lepas ni aku nak ke bank. Nak selesaikan urusan dengan mereka pula,” jawab kawan saya tadi.

 

Saya tumpang menarik nafas lega. Pastinya ia adalah pengalaman paling berharga buat teman saya tadi. Boleh jadi ia juga pengajaran untuknya dan saya untuk menyelesaikan segala masalah dengan sebaik mungkin. Kami kemudian melangkah meninggalkan mahkamah berkenaan.

 

Sebenarnya, di mahkamah tadi, selain daripada kes melibatkan kawan saya, masih banyak lagi kes lain yang dibicarakan. Malah ada yang lebih besar dan serius. Ada perbicaraan melibatkan kes bunuh, rogol, tipu, rasuah dan sebagainya. Namun, begitulah suasana mahkamah.

 

Ia adalah tempat bukan setakat untuk menerima hukuman bahkan menuntut keadilan. Setiap kes yang dihadapkan ke sini, pasti dibicara dengan penuh teliti, bersungguh-sungguh dan terperinci agar keadilan dapat diberikan dengan dengan baik.

 

Sepanjang perjalanan pulang, kami saling berbincang. Betapa dahsyatnya mahkamah di dunia yang kami lihat tadi, sebenarnya lebih dahsyat mahkamah di akhirat kelak. Setiap diri akan dipertanggungjawabkan ke atas diri masing-masing. Bahkan dipertanggungjawab juga terhadap mereka yang di bawah diri.

 

Jika di mahkamah dunia, kita masih boleh boleh mencari peguam bela. Tetapi bagaimana pula di akhirat nanti? Tiada siapa lagi yang boleh membela kita kecuali amalan sendiri. Ibu bapa dan keluarga sudah tidak mampu membantu kerana masing-masing juga mempunyai urusan sendiri untuk diselesaikan.

 

Di dunia, selagi bernama manusia, seorang hakim walau sehebat mana pun, ruang untuk melakukan kesilapan tetap ada walaupun nisbahnya kecil. Tetapi di akhirat kelak, apakah masih ada ruang berlakunya kesilapan sedangkan Allah SWT adalah yang Maha Teliti?

 

Setiap kita pasti akan berhadapan dengan mahkamah Allah SWT. Hari Pembalasan tetap akan kita tempuhi kelak. Sesiapa yang terlepas daripada hukuman mahkamah dunia ini, belum tentu dia akan terlepas di akhirat nanti. Sesiapa yang dihukum bersalah di mahkamah dunia ini, belum tentu dia akan dihukum bersalah di akhirat kelak.

 

Hakikat bahawa segala peristiwa tersimpan rapi dan kemas di sisi Allah Yang Maha Mengetahui. Segala madah berhelah, lakonan dan pembohongan di dunia yang menzalimi pihak lain akan mendapat pembalasannya di mahkamah yang maha adil di alam abadi.

 

Sesiapa yang zalim, menyalahgunakan kuasa dan menindas orang lain, mereka tidak akan terlepas daripada pembalasan Tuhan. Jika tidak di dunia ini, akhirat menanti. Tuhan tidak lupa, walaupun kita sering lupa. Dunia juga akan menyumpah orang zalim dan akhirat akan menunggu dengan azab yang dahsyat.

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });