TUJUH GOLONGAN YANG DILINDUNGI ILAHI DI AKHIRAT


1. Imam (pemimpin) yang adil.

Dalam ajaran Islam, seorang imam atau pemimpin haruslah berlaku adil. Ini kerana segala hal yang menjadi tanggungjawabnya akan disoal kembali di akhirat kelak. Maka, bergembiralah bagi pemimpin yang dapat berlaku adil kerana akan mendapatkan naungan di sisi ALLAH S.W.T di akhirat nanti. Pemimpin yang dimaksudkan tidak hanya pemimpin sebuah negara ataupun penguasa sesuatu tempat, tetapi termasuk juga seorang suami yang memimpin isteri dan anak-anaknya dalam sebuah keluarga.

2. Pemuda yang hidup beribadat kepada ALLAH SWT.

Ibadat yang dilakukan hanyalah semata-mata kerana ALLAH SWT, seakan-akan DIA melihat segala perbuatan dan amal ibadat itu.

3. Orang yang hatinya selalu terikat dengan masjid.

Masjid adalah rumah ALLAH SWT. Naungan-NYA akan selalu ada di akhirat nanti bagi orang yang sentiasa rindu untuk beribadat di masjid dan berasa betah berada di dalamnya. Setiap waktu, selalu menunggu-nunggu tiba saatnya untuk datang ke masjid mendirikan solat fardu mahupun sunat, solat berjemaah, mengaji, mendengar ceramah dan sebagainya.

4. Dua orang yang saling mencintai, berkumpul dan berpisah kerana ALLAH SWT.

Golongan ini akan mendapatkan lindungan di akhirat nanti. ALLAH SWT juga mengizinkan kedua-duanya untuk masuk ke dalam syurga. Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Sahihnya, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ada seorang lelaki yang ingin mengunjungi saudaranya di sebuah desa. Di dalam perjalanan, ALLAH mengutus seorang malaikat untuk mengawasinya. Ketika lelaki itu sampai padanya, malaikat itu berkata: “Ke manakah engkau akan pergi?” Lelaki itu menjawab: “Aku ingin mengunjungi saudaraku di desa ini.” Malaikat itu bertanya lagi: “Apakah engkau punya kepentingan daripada kenikmatan di desa ini?” Lelaki itu menjawab: “Tidak, hanya aku mencintainya kerana ALLAH.” Kemudian malaikat itu berkata: “Sesungguhnya, aku adalah utusan ALLAH yang diutus kepadamu bahawa ALLAH juga mencintaimu sebagaimana kamu mencintai-NYA.”

5. Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi dia menolaknya seraya berkata, “Aku takut kepada ALLAH.”

Hal tersebut merupakan salah satu ujian bagi seorang lelaki, di mana wanita adalah ujian yang sungguh berat bagi kaum lelaki. Seorang lelaki yang beriman pada ALLAH SWT takut kepada-NYA dan takut kepada azab api neraka sehingga lelaki tersebut sentiasa mendapat perlindungan daripada-NYA.

6. Orang yang bersedekah sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.

ALLAH SWT akan memberikan perlindungan bagi orang yang suka memberi sedekah dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan selain redha ILAHI semata-mata. Dalam bersedekah, dia tidak membesar-besarkan. Sebaliknya dilakukan secara tersembunyi dan tidak ingin diketahui orang lain.

7. Seseorang yang berzikir kepada ALLAH SWT secara bersendirian lalu menitiskan air mata.

Berzikir dengan hati yang tulus, redha dan ikhlas seorang diri dengan perasaan takut terhadap ILAHI sehingga menitiskan air mata. Ini sebagai tanda kecintaan kepada-NYA, menyedari kebesaran-NYA dan berasa diri penuh dosa sehingga memohon keampunan ALLAH SWT. Pintu syurga akan dibukakan bagi orang yang seperti ini.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });