MENIPU DALAM URUSAN JUAL BELI


Kejujuran seseorang dalam urusan perniagaan atau jual beli kadangkala sukar diyakini kerana adanya unsur-unsur penipuan secara licik tanpa disedari oleh pihak lain. Perbuataan menipu ini melibatkan sukatan tidak mencukupi kadar atau menjual barangan rosak yang boleh mengakibatkan pembeli tidak berpuas hati. Haram hukumnya bagi sesiapa yang melakukan sedemikian. Mereka juga akan dimurkai oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW.

Firman-NYA yang bermaksud:

“Celakalah (seksalah) bagi orang yang menipu (dalam timbangan dan sukatan). Apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain, mereka sempurnakan (penuhkan). Dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangkan.” - Surah al-Mutaffifin: 1-3

Umat Islam yang menjalankan urus niaga jual beli perlu peka dengan sukatan barangan agar ia mencukupi supaya para pembeli mendapat hak mereka yang sepatutnya. Perbuatan mengurangi sukatan barangan pernah dilakukan oleh kaum Madyan, umat Nabi Syuaib sehingga ALLAH SWT membinasakan mereka dengan diturunkan bala gempa bumi yang dahsyat.

Begitu juga dalam urusan penjualan barangan yang rosak. Islam melarang kita menjual barang sedemikian dengan harga yang sama dengan barangan yang berkeadaan baik. Hikmah larangan ini adalah untuk mengelakkan tidak timbul kes penipuan, ketidakadilan dan penyesalan oleh pembeli.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barang siapa menjual barang yang cacat di mana ia tidak menerangkannya, maka sentiasa ia berada dalam kemurkaan ALLAH dan malaikat sentiasa melaknatinya.” - HR Ibnu Majah

Di samping itu, Islam juga melarang kita menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi kerana mengharapkan keuntungan yang besar. Perbuatan seperti itu menurut para ulama, kurang mendapat keberkatan ILAHI kerana penjual hanya mementingkan keuntungan material semata-mata.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });