DR. ZAKIR NAIK PEMBAHAS BERAPI UMAT ISLAM


Azratai | 16-08-2019

Dr. Zakir Abdul Karim Naik lahir pada 18 Oktober 1965 di Maharashtra, Mumbai India. Beliau merupakan pendakwah dan penceramah bebas yang sering membawa perbahasan tentang perbandingan agama. Dahulu, beliau juga merupakan seorang doktor perubatan setelah mendapat ijazah Sarjana Perubatan dan Bedah (MBBS) dari Universiti Mumbai. Akan tetapi, pada tahun 1991, beliau berhenti daripada kerjayanya sebagai doktor perubatan, dan beralih kepada bidang dakwah dengan mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF) yang mempunyai rangkaian televisyen Peace TV di India yang tersebar sehingga ke 200 buah negara.

Mendapat inspirasi dakwah setelah bertemu dengan Syeikh Ahmad Deedat pada tahun 1987. Antara kelebihan beliau ialah mampu mengaitkan fakta saintifk dan mantik logik di dalam perdebatannya. Menariknya, pada usia muda, beliau adalah seorang yang gagap dan tidak mampu berceramah di hadapan orang ramai. Malah untuk menyebut namanya sendiri pun beliau terpaksa mengulang banyak kali “Za, Za, Za, Zakir Naik.”

Namun semua itu berubah setelah suatu hari beliau dikehendaki menjadi bidan terjun bagi mengantikan penceramah yang tidak hadir. Dijangkakan beliau cuma boleh bertahan selama 20-30 minit sahaja, namun syarahannya bertahan selama tiga jam! Kemudian bermulalah kariernya sebagai penceramah dan dari situlah sejarah mula tercipta.

Beliau menyambung usaha Syeikh Ahmeed Deedat dengan berbahas mengenai masalah perbandingan agama bagi menolak tuduhan-tuduhan yang tidak berasas mengenai agama Islam. Seperti mana mentornya, beliau mampu mengingati petikan kitab-kitab suci seperti al-Quran, Bible, Veda, Purana, Upanishad, Tipitaka dan lain-lainya dengan begitu lancar sekali. Di setiap akhir perbahasan, para hadirin akan menyoal beliau dan setiap soalan akan terjawab dengan dalil yang diberikan.

Disebabkan terlalu sibuk dengan urusan dakwah, beliau meminta ibu bapanya mencarikan calon isteri kerana beliau tiada masa untuk ke arah itu. Akhirnya beliau berumah tangga dan pada hari pernikahannya, tetamu hanya dihidangkan kurma dan sedikit jamuan ringan kerana wang perbelanjaan perkahwinan mahu digunakan ke jalan dakwah. Daripada perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan dua orang anak dan salah seorang daripada mereka iaitu, Fariq Naik dikatakan mampu menjadi pelapis beliau.

Antara pengiktirafan tertinggi yang diberikan, beliau mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013 yang disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas khidmatnya untuk Islam serta tersenarai dalam ‘500 Individu Muslim Yang paling Berpengaruh’ di seluruh dunia.

Disebabkan syarahannya yang lantang, bercorak provokatif serta banyak mempersoalkan kredibiliti paderi gereja, sami dan pihak Ateis, beliau mengundang banyak kritikan serta tentangan daripada pelbagai pihak, baik dari bukan Islam mahupun pihak muslim itu sendiri.

Peace TV miliknya telah diharamkan oleh kerajaan India, Bangladesh dan Sri Lanka setelah dikatakan ceramahnya mempengaruhi kegiatan keganasan. Ulama di pusat pengajian Islam terkemuka di India, Darul Uloom Deobandi yang berfahaman sunni juga memperingatkan orang ramai bahawa, fikrah Dr. Zakir Naik tidak sealiran dengan fikrah empat mazhab terbesar Islam dan mengelarkannya sebagai  ghair muqallidin (tidak bermazhab). Pihak berkuasa India juga menuduh beliau melakukan penggubahan wang haram yang didakwa diperolehi dari aktiviti jenayah. Walau bagaimanapun beliau menafikan tuduhan tersebut.

Cabaran Dr. Zakir Naik tidak terhenti di situ sahaja, apabila terdapat kumpulan syiah yang dipangil Hussaini Tigers telah menawarkan sebanyak ₹15 lakh (US$22,000) bagi sesiapa yang dapat membunuh beliau. Manakala Sadhvi Prachi, ketua Organisasi Vishva Hindu Parishad menawarkan ₹50 lakh (US$72,000) untuk itu.

Kini beliau mendapat perlindungan di Malaysia setelah diberi taraf penduduk tetap oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2012. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan bahawa Dr. Zakir Naik dibenarkan memasuki negara ini, kerana tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam undang-undang antarabangsa.

Dr. Zakir Naik juga berkali-kali mengulang dalam kenyataannya bahawa dia tidak menyokong sebarang kegiatan yang melibatkan dengan keganasan.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });