BOLEH 'MENIPU' UNTUK MENDAMAIKAN PERSELISIHAN ANTARA MANUSIA?


Ahmad Mustaqim | 15-08-2019

Hari ini, kita melihat dunia semakin huru-hara dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Peperangan yang tidak berkesudahan, kekacauan dalam politik, bahkan pertengkaran dalam hal-hal agama. Sebagai seorang Islam, tidak wajar bagi kita bermusuhan biarpun berbeza bangsa ataupun mazhab. Ini kerana kita berada di bawah payung yang sama iaitu payung Islam.

Firman ALLAH,

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan ALLAH, tentulah KAMI akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (al- Nisa’: 114) 

Perbuatan mendamaikan boleh dilakukan dalam pelbagai situasi seperti meleraikan suami isteri yang sedang bergaduh dan mendamaikan antara orang muslim dan orang kafir. 

Dusta yang Dibenarkan

Rasulullah SAW ada menerangkan situasi yang dibenarkan untuk berdusta. Daripada Ummu Kulthum binti ‘Uqbah bin Abu Mu’aith r.a. dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 

“Bukanlah pendusta orang yang mendamaikan orang yang sedang berselisih, dan dia berkata baik dan bermaksud baik." Kemudian dia (Ummu Kulthum) berkata, "Saya tidak pernah mendengar Baginda memberikan keringanan sedikit pun kepada orang untuk berkata dusta kecuali dalam tiga perkara, di dalam peperangan, dalam mendamaikan orang yang sedang bersengketa serta seorang suami berdusta kepada isterinya untuk kemaslahatannya dan isterinya berdusta untuk kemaslahatan suaminya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Berdusta yang dikatakan adalah bermaksud helah atau dipanggil tauriyah. Tauriyah iaitu seseorang yang mengungkapkan kata-kata yang mempunyai dua kemungkinan erti. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendamaikan di samping tidak menyinggung perasaan saudaranya, bukan untuk tujuan kebatilan. 

Perselisihan dalam Ibadah

Fenomena hari ini memperlihatkan orang Islam berpecah-belah hanya kerana berbeza pendapat dalam sesuatu ibadah. Dikisahkan dua orang ahli kariah surau berselisih pendapat tentang bilangan rakaat solat tarawih. 

Seorang mengatakan bahawa adalah perlu untuk menunaikan sebanyak 20 rakaat, manakala seorang lagi berpendapat sudah memadai lapan rakaat sahaja. Mereka berhujah dan mengeluarkan berbagai-bagai dalil, namun tetap tidak berkesudahan. 

Lalu mereka pun bertanya akan pendapat imam utama surau tersebut. Beliau menjawab, “Tahun ini, surau ini tidak perlu mengadakan solat sunat tarawih.” Kedua-dua ahli kariah tersebut tergamam. Apabila ditanya apakah rasional tindakan itu, lalu imam berkata, “Mengekalkan kesatuan ummah adalah lebih utama daripada melaksanakan ibadah sunat.”

Jelas di sini bahawa Islam sememangnya menitikberatkan perpaduan. Tanpa perpaduan, terbuka luas ruang bagi musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan agama Islam. ALLAH berfirman,

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Ali ‘Imran: 103)

Ayuh kita bersama menerapkan sifat toleransi dan menolak segala perselisihan faham antara kita sebagai umat Islam. Tiada yang lebih digeruni oleh musuh-musuh melainkan perpaduan dan persefahaman yang teguh dalam umat Islam.
 

BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });