TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH DI MEKAH



  • MAULIDIN NABI MUHAMMAD S.A.W

Bekas tapak rumah lahirnya Nabi Muhammad s.a.w yang kini bangunan Maktabah Mekah iaitu Perpustakaan Awam di bawah Kementerian Haji dan Wakaf Arab Saudi. Ia terletak di Syuaib Ali di perkampungan Suqullail jalan al-Malik. Bersebelahan dengan tempat wuduk di kanan Bukit Marwah.

  • MAULID FATIMAH

Sebuah bangunan di atas bekas tapak rumah Sayidatina Khadijah r.a (isteri Rasulullah s.a.w). Di sini rumah baginda dan Sayidatina Khadijah tinggal. Bangunan ini pernah dijadikan Madrasah Tahfiz al-Quran. Ia terletak di lorong Zaqiqul Saghah.

  • MAULID SAYIDINA ALI

Bangunan di atas tapak bekas rumah akhirnya Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. Tempat ini dikenali dengan nama Syuaib Ali di perkampungan Suqullail. Bangunan ini pernah dijadikan sekolah.

  • JABAL ABI QUBIS

Bukit yang terletak di sebelah Safa. Di atas bukit ini dahulu terletak Masjid Bilal dan Masjid Insyiqaqul dan juga tempat Rasulullah dikurniakan mukjizat bulan terbelah.

  • DARUL ARQAM BIN ABI AL-ARQAM

Bekas tapak rumah al-Arqam bin Abdul Manaf al- Makhzumi, di antara mereka yang mula-mula memeluk agama Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Di rumah inilah baginda mula berdakwah dan mendirikan solat bersama-sama mereka yang telah beriman. Selepas Sayidina Umar al-Khatab memeluk Islam, barulah umat Islam beramai-ramai mendirikan solat di Masjidilharam.

  • DAR ABU SUFFIAN

Bekas tapak rumah Abu Suffian, pembesar Mekah yang memeluk Islam semasa Rasulullah s.a.w dan 10 000 kaum muslimin dari Madinah hendak memasuki bandar Mekah.

  • JABAL NUR

Sebuah bukit kira-kira tiga kilometer dari Masjidilharam, di sebelah kiri jalan ke Arafah. Di atas bukit itu terletak Gua Hira’, di mana Rasulullah s.a.w sering beribadat dan menerima wahyu yang pertama daripada ALLAH S.W.T menerusi malaikat Jibril. Wahyu itu merupakan ayat pertama hingga kelima dari Surah al-Alaq, yang meletakkan diri baginda sebagai rasul. Ketika itu baginda berumur 40 tahun pada 17 Ramadan. Untuk mendaki ke puncak, mengambil masa kira-kira sejam.

  • HUDAIBIYAH

Dalam perjalanan ke Hudaibiyah, jemaah dapat melihat tinggalan sejarah perigi Baitul Ridzuan, terletak di sebelah kanan kira-kira dua kilometer menghala ke Hudaibiyah. Melihat kesan dan bahan binaan masjid, tempat ini ada hubungkait dengan perjanjian Hudaibiyah dan ia menjadi tempat miqat umrah. Lawatan ke ladang unta, usah dilepaskan peluang menikmati susu unta segar.

  • JABAL THUBAIR DI MINA (TEMPAT MELONTAR JAMRAH)

Sebelah kiri jalan ke Arafah. Menurut riwayat, di atas bukit inilah Nabi Ibrahim a.s menunaikan perintah ALLAH S.W.T untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail a.s. Akibat patuh dan setia terhadap perintah ALLAH S.W.T itu, Nabi Ismail a.s telah digantikan oleh ALLAH S.W.T dengan seekor kibas. Ekoran dari peristiwa itu, umat Islam telah disyariatkan untuk melaksanakan ibadat korban dan ianya sunat muakad iaitu sunat yang dituntut.

  • JABAL RAHMAH – ARAFAH

Terletak di Padang Arafah iaitu di luar Tanah Haram kira-kira 18 kilometer dari Masjidilharam. Di sinilah tempatnya para jemaah haji melakukan wukuf iaitu salah satu daripada rukun haji. Sesiapa yang mengunjungi tempat ini sama ada pada musim haji ataupun sebaliknya, disarankan untuk merenung kembali khutbah terakhir yang telah disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah.

  • MASJID JIN

Terletak tidak jauh dari perkuburan Ma’ala. Di kawasan inilah Rasulullah s.a.w memujuk jin-jin untuk memeluk agama Islam. Rujuk Surah Jin di dalam al-Quran.

  • MUZDALIFAH

Tempat mengutip anak batu untuk melontar jamrah. Di antara Muzdalifah dan Mina di sebelah kanan, terdapat satu kawasan di mana berlakunya peperangan dengan tentera bergajah yang berhasrat untuk memasuki Mekah dengan berniat ingin menghancurkan Kaabah. Mereka telah dimusnahkan oleh serangan burung ababil dengan kehendak ALLAH S.W.T. Rujuk Surah al-Fil.

  • PERKUBURAN MA’ALA

Terletak kira-kira dua kilometer dari Masjidilharam. Di sinilah bersemadinya Sayidatina Khadijah, para sahabat dan tabiin yang wafat di Mekah.

  • MASJID AL-RAYAH

Dikenali juga sebagai Masjid Kucing. Ia terletak bertentangan dengan bangunan Ali al-Jafali di kawasan al-Judariah kira-kira satu kilometer dari Masjidilharam.

  • TANA’IM

Suatu tempat di timur laut Mekah kira-kira enam kilometer iaitu tempat miqat bagi orang yang mengerjakan umrah. Ia juga dikenali sebagai Masjid Aisyah kerana beliau bermiqat umrah atas kebenaran Rasulullah s.a.w untuk pertama kali dari Tana’im.

  • JAARANAH

Masjid Jaaranah terletak kira-kira 15 kilometer dari Mekah. Banyak sejarah Rasulullah s.a.w di sini antaranya menawarkan air telaga yang telah dimasukkan racun oleh orang kafir dan telaga tersebut telah ditutup. Boleh berniat ihram umrah dari sini.

  • JABAL THUR

Di Gua Thur, tempat Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi selama tiga hari, berlindung dari ancaman kafir Quraisy sebelum berhijrah ke Madinah.

NOTA: Apabila melawat tempat-tempat ini, sebaiknya berdoa, berzikir dan mengingati perjuangan baginda yang telah menegakkan syiar Islam.


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA