PERBUATAN SUNNAH BAGI ORANG YANG BERMIMPI BURUK


Ustaz Dr. Rozaimi Ramle | 06-08-2019

Daripada Jabir, daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ

“Jika kalian mengalami mimpi yang dibenci (mimpi buruk) hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, dan memohon perlindungan kepada Allah daripada godaan syaitan tiga kali, kemudian mengubah posisi tidurnya dari posisi asalnya.” (HR Muslim no. 2262)

 

Pengajaran daripada Hadis

1. Mimpi mempunyai tiga kategori. Pertama, mimpi yang benar. Kedua, mimpi daripada syaitan dan yang ketiga mimpi yang merupakan mainan tidur semata. Hadis ini menceritakan tentang mimpi buruk yang datang daripada syaitan.

2. Meludah ke kirinya tiga kali. Ulama berbeza pendapat tentang kaedah ludahan ini kerana terdapat beberapa riwayat bagi hadis dalam bab ini dinukilkan dengan lafaz tiupan dan ludahan.

Imam Nawawi mengatakan yang dituntut hanya tiupan kecil dengan mulut tanpa mengeluarkan air liur. Manakala Ibn Hajar memilih tafsiran ludahan dengan air liur. Tetapi ludahan ini bukanlah ludah dengan air liur yang banyak kerana mengotorkan tempat tidur.

Tetapi hanya ludahan dengan air liur yang sedikit sebagai isyarat kepada kejinya syaitan dan gangguannya. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 12, hal. 371) Inilah pandangan yang tepat bagi saya. Digalakkan ludahan ke kiri kerana ia adalah tempat yang sinomin dengan sesuatu yang kotor dan keji. (Lihat: al-Qadhi ‘Iyadh, Ikmal al-Mu’lim, jil. 7, hal. 207)

3. Minta perlindungan kepada Allah daripada godaan syaitan dan kejelekan mimpinya, tiga kali.

4. Membalikkan tubuhnya (mengubah posisi tidur) sebagai isyarat supaya keadaan tidurnya akan menjadi baik. (Lihat: Ibn ‘Allan, Dalil al-Falihin, jil. 2, hal. 319)

5. Tidak membicarakan mimpinya kepada orang lain. Di dalam riwayat yang lain Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا أَحَدًا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ

“Dan janganlah dia menceritakan (mimpinya yang buruk) kerana sesungguhnya mimpi itu tidak memberi kesan kepadanya. (HR Muslim no. 2261)

Ia supaya dia tidak menyeksa dirinya dengan terus berfikir tentang tafsiran mimpinya. Maka mendiamkannya daripada menceritakan kepada orang lain lebih memberikan ketenangan kepada jiwanya. (Lihat: al-Qadhi ‘Iyadh, Ikmal al-Mu’lim, jil. 7, hal. 208)

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });