FIGURA AYAH DALAM PERKEMBANGAN ANAK-ANAK


Rosmawati Ahmad | 05-08-2019

Pernikahan itu menyatukan lelaki dan perempuan dalam kontrak pernikahan yang dipersetujui bersama. Daripada ikatan ini, akan lahirlah anak-anak yang akan menjadi penyejuk hati dan mata. Dan di sinilah peranan suami isteri tadi bertambah dengan berperanan pula sebagai ibu dan ayah.

Pendidikan bermula dari rumah. Inilah kata-kata keramat yang perlu dipegang dan semestinya ia juga adalah anjuran islam. Jelas Islam mengatakan bahawa ayah perlu mendidik dan membimbing isteri dan anak-anak agar dijauhkan dari api neraka.

Begitu penting peranan ayah dalam sebuah keluarga. Di bahunya ada amanah dan tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan nanti. Dan ayah wajib memberi nafkah perlindungan, pendidikan, keselamatan dan ilmu kepada ahli keluarganya.

Namun ayah pada hari ini ada yang lebih mementingkan urusan mencari nafkah kewangan sebagai biaya yang dapat menyempurnakan semua tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya sehingga terlupa bahawa anak-anak yang sedang membesar ini memerlukan figura ayah di sisinya; untuk membimbing, untuk dikasihi, untuk dibelai dan dipandu arah hidupnya. Hubungan anak-anak dan ayah tidak seakrab yang diperlukan. Sedangkan keberadaan ibu di samping anak-anak sebenarnya tidak sempurna tanpa kehadiran ayah dalam urusan membesarkan dan mendidik anak-anak.

Inilah yang menyebabkan berlaku keadaan yang di panggil ‘lapar ayah’.

Fenomena “lapar ayah” ini dapat dibahagi kepada dua golongan:
1. Ketidakhadiran ayah secara fizikal. Misalnya ayah yang bercerai dengan ibu atau meninggal dunia.

2. Ayah yang hadir, tetapi tidak banyak terlibat dalam urusan mendidik dan membesarkan anak-anak. Meski tinggal serumah, tetapi si ayah tiada banyak masa untuk bergaul akrab dengan anak-anak.

Inilah anak-anak yang kehilangan kasih sayang dan didikan daripada ayah. Mereka membesar tanpa contoh teladan daripada lelaki bergelar ayah sehingga ada yang tumbuh besar menjadi anak yang lemah fizikalnya, lemah kepimpinannya, lemah dalam membuat keputusan kerana tidak mendapat contoh daripada seorang ayah; bukankah ayah itu pemimpin keluarga dan perlu membuat keputusan untuk ahlinya?

Fenomena lapar ayah ini perlu ditangani segera. Ayah perlu segera sedar peranan yang sepatutnya dia mainkan dan ibu perlu menegur jika melihat suami sudah terlupa peranannya.

Dan ayah, janganlah disibukkan diri pula dengan hobi-hobi dan impian sendiri, selepas sibuk dengan kerjaya. Hadiah terbesar yang dimahukan oleh anak-anak adalah seberapa banyak waktu diluangkan untuk mereka, seberapa sering ayah mencium keningnya, seberapa banyak ayah memeluk mereka, seberapa besar kata-kata baik dan semangat yang ditanamkan dalam hati mereka.

Berkeluarga itu penat tapi penat yang di dalam agama, punya jaminan ganjaran dan syurga buat yang melaksanakannya.

 

 

kredit foto: Tree photo created by freepik - www.freepik.com

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });