LUMPUH DI BAITULLAH


Sesiapa yang terpandang Halimi (bukan nama sebenar) pasti akan kagum kerana biarpun usia sudah mencapai 65 tahun, namun tubuhnya masih tegap dan bertenaga. Malah raut wajahnya yang sentiasa berseri-seri membuatkan bekas pegawai kerajaan ini nampak muda daripada usianya.

Perkara ini memang tidak menghairankan kerana lelaki berkulit putih ini terlalu menjaga pemakanannya. Mungkin kerana itu datuk kepada empat orang cucu ini jarang sakit dan masih gagah melakukan kerja-kerja berat.

Ketika mengambil keputusan untuk mengerjakan haji kali kedua bersama isteri kesayangannya, Halimi semakin menjaga kesihatannya. Maklum sajalah, pengalaman pertama kali mengerjakan haji menyedarkan Halimi tentang perlunya kesihatan yang baik agar dapat mengerjakan ibadah tanpa sebarang masalah.

‘Kalau asyik tidak sihat, bagaimana hendak mengerjakan ibadah,’ fikirnya.

Akhirnya masa yang ditunggu pun tiba bagi Halimi dan isteri menyahut panggilan Rukun Islam kelima. Cuaca panas melebihi 37°C di Makkah menyebabkan ramai jemaah yang tidak sihat. Namun Halimi tidak gusar kerana dia sudah membawa ubat yang dirasakan mencukupi untuk bekalan selama 45 hari di sana.

“Bapak ni buat apa bawa banyak sangat ubat dan vitamin? Kalau tak sihat kat sana nanti, pergilah ke klinik yang disediakan oleh Tabung Haji,” komen anak bongsunya apabila melihat beg bimbit Halimi yang penuh dengan pelbagai jenis ubat.

“Eh, mana boleh. Kat sana nanti mesti penuh dengan jemaah. Buang masa saja menunggu. Kalau dah ada bekal sendiri senanglah. Lagipun vitamin-vitamin ni mana boleh tinggal. Ia akan menjadi penjamin yang bapak akan sihat di sana,” jawab Halimi separuh bergurau.

Alhamdulillah... memang sepanjang mengerjakan ibadat haji, Halimi langsung tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan. Malah dengan kuasa ALLAH SWT, dia diberikan kekuatan untuk berjalan. Jalannya juga lebih cepat berbanding dengan teman-teman sebiliknya sehingga menimbulkan kekaguman pada jemaah-jemaah yang mengenalinya, apa lagi apabila mereka mendapat tahu usia Halimi sudah melebihi setengah abad.

Pada suatu hari sekembali daripada mengerjakan wuquf di Arafah, isteri Halimi diserang demam menyebabkan dia tidak larat bangun. Kerana itu dia tidak dapat mengikut Halimi ke masjid untuk bersembahyang.

“Awak tak payahlah ikut saya ke masjid. Rehat sajalah di maktab. Nanti balik saya belikan air mangga kesukaan awak tu. Tapi jangan lupa makan ubat tau,” pesan Halimi sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

Selesai solat Halimi bergegas pulang ke maktab, tidak seperti kebiasaannya di mana dia akan menunggu sehingga masuk waktu Asar. Rasa bimbang terhadap isterinya menyebabkan langkah Halimi bagaikan berlari. Langkahnya yang begitu menyebabkan beberapa orang jemaah yang mengenalinya menegurnya di pertengahan jalan.

“Hai Haji, laju sangat jalan ni. Ada perlumbaan jalan kaki ke?

“Ah, biasalah. Sayakan memang jaguh jalan kaki. Ini gigi tinggal dua masih kuat lagi. Kalau gigi masih penuh macam dulu, ribut pun kalah,” jawab Halimi bergurau.

Malam itu selepas solat Isyak, Halimi terus masuk tidur. Entah mengapa tubuhnya, terutama kaki terasa sakit dan lenguh. Dan bayangkan betapa terperanjatnya Halimi apabila mendapati kakinya tidak dapat digerakkan, seolah-olah telah menjadi lumpuh ketika dia bangun mahu mandi dan ke Masjidil Haram untuk solat Subuh. Puas Halimi memikirkan apakah yang telah berlaku sehingga menyebabkan kakinya berkeadaan begitu secara tiba-tiba. Namun, kakinya masih tidak dapat digerakkan.

Lama Halimi termenung memikirkan apa yang telah berlaku. Fikir-fikir, Halimi teringat akan gurauannya dengan jemaah semalam. Adakah kata-katanya tentang kekuatan kakinya yang hebat itu menjadi punca? Halimi tidak tahu jawapannya, namun dia yakin katakatanya yang kedengaran riyak itu mungkin menjadi penyebab sedangkan dia sekadar mahu bergurau. Dengan penuh rendah hati Halimi bertaubat dan beristighfar memohon keampunan atas kesilapannya. 

Sepanjang hari, berulang kali dia beristighfar dan bertaubat. Menjelang petang, rasa sakit sudah mula berkurangan dan kakinya sudah dapat digerakkan sedikit. Malam itu biarpun sukar, Halimi mengheret tubuhnya pergi bersolat di Masjidil Haram. Di situ, dia melakukan solat sunat taubat dan beristighfar sehingga ke Subuh. Alhamdulillah... ketika hendak mengambil wuduk, Halimi mendapati kakinya sudah pulih biarpun masih terasa lemah. Sekali lagi dia sujud syukur di samping berjanji tidak akan riyak walaupun sekadar gurauan.

Keesokan paginya, dia pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Setelah diperiksa, didapati memang ada tanda dia akan diserang strok. Lalu dia dirujuk kepada doktor pakar di hospital Tabung Haji dan diberi rawatan fisioterapi serta ubat sampingan selama sehari. Akhirnya, dia pulih dan membuat permohonan balik segera. Tujuannya bagi mengelakkan sebarang kemungkinan sama ada dari aspek pemakanan atau cuaca agar dijauhkan daripada musibah strok yang dilaluinya.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });