Bersyukurlah Untuk Bahagia


Karya Bestari | 31-07-2019

Setiap kali menghadapi ujian, manusia terbahagi kepada empat golongan. Pertama, golongan yang marah dan enggan menerima takdir Allah SWT. Kedua, golongan yang sabar. Ketiga, orang yang redha. Dan keempat, golongan yang bersyukur.

Kenapa kita perlu berbincang tentang syukur?

Pertama, kerana syukur ada kaitannya dengan kebahagiaan. Bahagia itu bukan terletak pada kuantiti harta, tetapi pada kualiti jiwa. Dan pada kualiti jiwa ini tersemainya sifat-sifat mahmudah. Dan antara sifat mahmudah yang sangat penting ialah sifat syukur. Tegasnya, sekiranya kita memiliki sifat syukur insyaAllah kita akan bahagia. Jangan tunggu bahagia untuk bersyukur tetapi bersyukurlah untuk bahagia.

Kedua, sifat syukur sangat dipentingkan oleh Allah SWT hinggakan dalam al-Quran, tidak kurang daripada 60 kali kalimah syukur telah disebut.  

Subhanallah maha suci Allah, Dia tidak akan meletakkan suatu yang bersifat picisan dan pinggiran dalam kitabnya yang mulia. Kalau disebut sekalipun pun sudah memadai untuk menunjukkan betapa pentingnya, apatah lagi jika diulang-ulang lebih daripada 60 kali.

Ketiga, dengan sifat syukur kita mampu menghadapi ujian dengan tenang. Ditengah kegawatan ekonomi sekarang, tanpa sifat syukur kita akan bertukar menjadi manusia yang penuh kesedihan, keluhan, merengus, merungut dan sebagainya. Tanpa syukur akan hilanglah senyum pada  wajah dan ketenangan dalam hati kita. Ekonomi gawat, jiwa tenat.

Keempat, kerana sifat syukur ini mudah disebut, tetapi sangat payah dimiliki. Allah SWT menegaskan dalam surah Al-Mulk ayat 23:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

Satu ketika Saidina Umar r.a sedang melakukan tawaf di Kaabah, dia terdengar seorang pemuda berdoa di sisi Baitullah, "Ya Allah, jadikan aku daripada golongan yang sedikit"

Sungguh ini satu doa yang sangat luar biasa. Biasanya kita menjadi golongan majoriti, kerana majoriti itu sinonim dengan kekuatan, manakala minoriti itu sinonim dengan kelemahan.

Namun, pemuda itu berdoa sebaliknya.

Apabila habis sahaja melakukan tawaf itu, Saidina Umar r.a bertanya kepadanya: “Kenapa engkau berdoa dengan doa yang sangat luar biasa?”

Pemuda tersebut menjawab, "Sesungguhnya aku pernah mendengar firman Allah SWT yang bermaksud: 'Sememangnya, sedikit sekali daripada kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur.' Maka, aku berdoa agar Allah menggolongkan aku daripada golongan yang sedikit itu."

Mendengar jawapan yang menyentuh hati itu, Saidina Umar menadah tangan lalu berdoa “Ya Allah, ramai lagi rupanya orang yang alim daripada aku.”

Sebab itu kita perlu pelajari dan fahami hakikat syukur. Kemudian kita perlu amalkan. Untuk mengamalkan, kita perlu mujahadah. Mujahadah itulah yang payah.

Kelima, manusia mudah lupa untuk bersyukur berbanding bersabar. Semasa kita menjamu selera, contohnya, adakah doa sebelum makan atau doa selepas makan yang lebih kita ingat? Selalunya doa sebelum makan kita ingat. Tetapi apabila sudah kenyang, kita lupa membaca doa selepas makan. Syukur ketika menghadapi nikmat lebih sukar dilakukan berbanding dengan sabar untuk menghadapi musibah.

JANGAN JADI SEPERTI QARUN, INSAN YANG DIAZAB ALLAH

Janganlah contohi Qarun yang tidak pernah bersyukur kepada Allah SWT, Dia malah menjadi sombong dan berbuat aniaya. Dan tidak mendermakan hartanya kepada orang yang memerlukan. Maka orang-orang soleh dari kaumnya memberikan nasihat kepada Qarun. Firman Allah menceritakan kisah ini:

“Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang orang yang terlalu membanggakan diri.” (Al-Qashash: 76)

Mereka mengingatkan Qarun agar tidak sombong terhadap harta yang dimilikinya, kerana Allah SWT amat membenci orang-orang yang sombong dan tidak bersyukur atas nikmat yang Dia anugerahkan kepada mereka.

Lalu nasihat mereka lagi: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (Al-Qashash: 77)

Mereka menasihatkan Qarun untuk berbuat ketaatan dengan nikmat harta yang Allah berikan, dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amal-amal soleh, yang akan mendatangkan kebaikan di  dunia mahupun akhirat.

 

“Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” (Al-Qashash: 77)

Qarun dinasihatkan juga untuk berbuat baik kepada mahluk Allah lainnya, sebagaimana Allah SWT telah berbuat baik kepadanya, dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi.

Lalu Qarun dengan bongkaknya berkata seperti yang Allah SWT kisahkan: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku". (Al-Qashash: 78)

Qarun tidak memperdulikan nasihat kaumnya. Dia menganggap bahawa dia berhak mendapat anugerah dari Allah SWT berupa harta kekayaan, kerana ilmu yang dimilikinya, kerana kepandaiannya. Bukan daripada kurniaan Allah (seperti yang diakui oleh Nabi Sulaiman a.s)

Allah SWT membantah perkataan Qarun itu dengan firman-Nya: “Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah SWT sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.” (Al-Qashash: 78)

Ya, Allah telah membinasakan orang-orang terdahulu yang lebih banyak hartanya daripada Qarun. Tetapi Qarun tidak mengambil pelajaran dari kisah orang-orang terdahulu yang Allah binasakan kerana kesombongannya, malah berbuat kesombongan dan aniaya seperti mereka.

Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dengan kemegahannya. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Qarun: Pada suatu hari dia keluar menemui kaumnya dengan seluruh kemegahannya, dengan perhiasan yang mempesona dan keindahan yang sangat menakjubkan berupa kendaraan dan pakaian, serta para pembantunya.

Lalu orang-orang yang menginginkan harta dan kesenangan dunia seperti Qarun berkata: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar". (Al-Qashash: 79)

Ketika orang-orang yang berilmu mendengarkan perkataan mereka, dia berkata kepada mereka: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar.” (Al-Qashash: 80)

Bagaimana akhirnya kehidupan Qarun yang sombong itu? Allah menyatakan dalam firmanNya: “Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).” (Al-Qashash: 81)

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });