Kerana Isteri Permaisuri Hati Kita


Datuk Ustaz Kazim Elias | 29-07-2019

Islam sentiasa menyuruh umatnya agar berbuat baik sesama insan apatah lagi kepada isterinya. Isteri adalah pakaian baginya. Isteri juga merupakan orang yang paling rapat dan pembantu setia kepada diri kita. Maka sudah tentu kedudukan isteri sangat istimewa.

Anjuran berbuat baik kepada isteri adalah sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud:

“…dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…”

Merenung kepada ayat di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Ingatlah, bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya, ia hanya mengundang dosa.

Ingatlah wahai suami sekalian akan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap para isterinya.” (HR Tirmizi)

Benar. Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang berlemah lembut dengan ahli keluarganya. Kalian para suami, lihatlah ke dalam diri kalian. Apakah hari ini akhlak kalian baik dengan isteri dan anak-anak kalian? Atau adakah kalian sebaliknya?

Janganlah jadi lelaki yang tidak bagus akhlaknya. Apabila dia bersama-sama kawan-kawannya, perangainya sangat baik. Jika kawan-kawannya dalam kesusahan, dia sanggup menolong. Bahkan sanggup membelanjakan kebanyakan wangnya untuk mereka. Sedangkan kawan-kawannya tidak sentiasa ada bersama dengannya ketika susah.

Namun apabila bersama isteri dan anak-anak, lelaki seperti ini menjadi sebaliknya. Sekiranya isteri dalam kesusahan, dia tidak sanggup bergolok gadai. Bahkan rela membiarkan orang lain yang menolong di saat isteri memerlukan kehadirannya. Paling menyedihkan sekiranya dia hanya membiarkan isteri keseorangan menjaga hal ehwal kebajikan anak-anak. Sedangkan dia langsung tidak mempedulikan anak-anak.

Kasihan isteri berkenaan. Apabila dia  meminta sedikit wang untuk menampung perbelanjaan rumah, suami memberikan pelbagai alasan. Apabila diminta sedikit masa untuk bersama-sama, suami menyatakan dia sedang sibuk. Maka, lelaki seperti ini belum layak dikatakan bertanggungjawab kepada isteri dan keluarga.

Maka, disebabkan itu, janganlah kita ingat bahawa orang yang paling sempurna iman itu adalah orang yang kuat hafaz al-Quran, walaupun ia bagus. Kesempurnaan iman juga tidak terletaknya kepada pakaian kita. Bukan kepada jubah yang kita pakai. Tidak juga kepada songkok, kopiah atau serban yang kita gunakan.

Rasulullah SAW berkata bahawa yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya dengan isteri dan ahli anak-anaknya. Saya suka ingatkan kepada para suami bahawa jangan buat jahat kepada isteri kita. Mereka adalah permata hati kita.

Bayangkan, kita sendiri jika berada dalam kumpulan ramai, jika hendak melepaskan angin, kita akan pergi ke sudut yang jauh daripada mereka. Kita lakukannya kerana rasa hormat dan tidak mahu mengganggu kawan-kawan kita. Tetapi bagaimana akhlak kita dengan isteri? Bayangkan ada orang yang boleh melepaskan angin di hadapan muka isterinya. Punyalah teruk akhlak lelaki seperti ini.

Ada orang yang sanggup tidak membersihkan dirinya apabila bersama-sama isteri. Misai, kuku malah rambut kusut masai dibiarkan sahaja apabila tinggal dengan isteri. Namun apabila hendak bertemu dengan kawan-kawannya, dia boleh memperkemaskan diri kerana bimbang akan dikutuk. Ini juga buruknya perangai suami.

Jangan kita memperelokkan akhlak ketika berada di khalayak ramai sahaja. Sedangkan Rasulullah SAW pesan kepada kita bahawa yang paling sempurna imannya adalah yang paling elok akhlak dengan isteri dan anak-anak. Begitu juga dia jugalah yang paling menyayangi isteri dan anak-anaknya.

Mengapa ketika di awal pernikahan, sanggup berhubung setiap masa. Namun setelah beberapa lama, semuanya berubah. Bukan sahaja susah untuk menghubungi isteri dan anak-anaknya. Bahkan jika mereka menghubunginya pula, dilayan dengan percakapan yang kasar. Bercakap pun seolah-olah hendak cepat sahaja.

Selain itu jangan sesekali membawa pulang masalah di pejabat ke rumah kita. Jika kita dimarahi bos di pejabat sekalipun, jangan lepaskan kemarahan kita kepada isteri. Jika kita berhadapan dengan masalah yang macam mana sekalipun, jangan dilepaskan kepada anak-anak kita. Mereka langsung tidak ada kaitan dengan masalah kita. Malah langsung tidak bersalah.

Buangkan segala macam masalah luaran kita di pintu pagar rumah. Apabila masuk sahaja ke dalam rumah, lemparkan senyuman yang paling manis kepada isteri dan anak-anak kita. Ingatlah bahawa masalah akan timbul sekiranya kita membawa pulang masalah di pejabat ke dalam rumah. Isteri dan anak-anak boleh menjadi mangsanya.

Dalam hadis yang lain Baginda juga bersabda yang bermaksud:

Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi).

Jika dilihat kepada kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya. Ini jelas kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain. Bahkan isteri adalah teman yang sanggup bersusah payah untuk suaminya.

Ada pandangan yang menyatakan bahawa jika seorang suami berperangai baik dengan isterinya, maka dia juga baik dengan orang lain. Namun sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya, maka dia juga akan bersikap tidak baik dengan orang lain.

Ingatlah akan pesanan baginda SAW kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga isteri serta anak-anak kita. Apalah salahnya jika kita sentiasa mengenang kebaikan isteri. Kalaulah dihitung dan direnungkan dengan teliti, setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.

Sematkanlah dalam diri kita, walaupun isteri ada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan, ingatlah bahawa itu terjadi kerana emosi dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil. Ingat, bahawa ia langsung tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap isteri telah melakukan banyak sumbangannya kepada suami. Maka, sentiasalah muhasabah dan fikir-fikirkan serta imbang-imbangkanlah dengan kesalahan atau kesilapan yang mereka lakukan. Jika ini kita dapat lakukan, maka sudah pasti kita akan dapat melihat kesilapan mereka adalah kecil berbanding pengorbanan yang mereka lakukan.

Kita manusia, isteri dan anak-anak juga adalah manusia. Sesungguhnya, sebagai manusia, sudah tentu tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Pasti ada. Bahkan kita juga sudah pasti ada melakukan kesilapan yang sama. Cuma barangkali ia terhijab dan tidak diketahui orang lain. Barangkali kesilapan itu hanya kita dan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Maka, untuk itu, tidak salah sekiranya kita menutupi kesalahan isteri dan anak-anak dengan kebaikannya.

Selain itu, sebagai suami dan ketua keluarga yang bertanggung jawab dan sempurna imannya, marilah kita bersama-sama menutup keaiban isteri kita. Kita sudah meyakini tadi bahawa tiada siapa diantara kita yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain. Maka tidak wajarlah sekiranya isteri ada melakukan sebarang kesilapan, kita pula menjaja dan menyebarkannya kepada semua pihak. Itu hanya membuka aib isteri sendiri.

Ingat, jangan sesekali diaibkan isteri kepada sesiapa pun. Walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami. Apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri. Kelak, akhirnya yang mendapat malu adalah diri anda sendiri dan keluarga.

Tentang kebaikan ada pada isteri yang dibenci, ingatlah bahawa janganlah dibenci atau dicacinya. Mungkin isteri yang dibenci si suami itu ada kebaikan padanya yang lambat laun pasti akan zahir. Maka ketika itu, sekiranya suami terlalu membenci, kelak ia hanya mengundang penyesalan yang tidak berkesudahan.

Ayuh duhai suami sekalian, berlaku adillah kepada isteri anda. Jika anda punya kesilapan, kekurangan dan kelemahan yang boleh dimaafkan oleh isteri, maka mengapa anda tidak boleh melakukan perkara yang serupa? Ingatlah bahawa kemuliaan yang anda rasai ketika ini mungkin disebabkan kerana Allah SWT menutupi aib anda. Jika ianya terbongkar, apakah ketika itu yang anda rasai? Fikir-fikirkanlah duhai suami.

*Artikel ini dipetik daripada buku tulisan Datuk Ustaz Kazim Elias dalam buku berjudul 'Duhai Isteri Permaisuri Hati'.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });