Sejarah ZamZam


Rosmawati Ahmad | 24-07-2019

Sebagaimana yang kita ketahui, air zamzam ini muncul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah.

 

Ia merupakan perintah Allah SWT agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) Mekah. Firman Allah SWT:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”. [Ibrahim: 37]

 

Selain itu juga, kisah ini juga diceritakan di dalam sahih al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

وَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تُرْضِعُ إِسْمَاعِيلَ وَتَشْرَبُ مِنْ ذَلِكَ المَاءِ، حَتَّى إِذَا نَفِدَ مَا فِي السِّقَاءِ عَطِشَتْ وَعَطِشَ ابْنُهَا، وَجَعَلَتْ تَنْظُرُ إِلَيْهِ يَتَلَوَّى، أَوْ قَالَ يَتَلَبَّطُ، فَانْطَلَقَتْ كَرَاهِيَةَ أَنْ تَنْظُرَ إِلَيْهِ، فَوَجَدَتِ الصَّفَا أَقْرَبَ جَبَلٍ فِي الأَرْضِ يَلِيهَا، فَقَامَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ اسْتَقْبَلَتِ الوَادِيَ تَنْظُرُ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا، فَهَبَطَتْ مِنَ الصَّفَا حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الوَادِيَ رَفَعَتْ طَرَفَ دِرْعِهَا، ثُمَّ سَعَتْ سَعْيَ الإِنْسَانِ المَجْهُودِ حَتَّى جَاوَزَتِ الوَادِيَ، ثُمَّ أَتَتِ المَرْوَةَ فَقَامَتْ عَلَيْهَا وَنَظَرَتْ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا فَفَعَلَتْ ذَلِكَ سَبْعَ مَرَّاتٍ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَذَلِكَ سَعْيُ النَّاسِ بَيْنَهُمَا» فَلَمَّا أَشْرَفَتْ عَلَى المَرْوَةِ سَمِعَتْ صَوْتًا، فَقَالَتْ صَهٍ - تُرِيدُ نَفْسَهَا -، ثُمَّ تَسَمَّعَتْ، فَسَمِعَتْ أَيْضًا، فَقَالَتْ: قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ، فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ، فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ، أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ، حَتَّى ظَهَرَ المَاءُ

“Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”. [Riwayat al-Bukhari, (3364)]

 

Berdasarkan riwayat Ibn Majah yang akan dijelaskan nanti, suka bagi kami untuk menyatakan beberapa fadilat dan kelebihan yang berkaitan dengan air zamzam:

  1. Ia mempunyai nama yang banyak dan itu menunjukkan kemuliaannya. Dalam Taj al-Arus, dinukilkan daripada Ibn Birri, terdapat dua belas nama bagi air zamzam.
  2. Air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (2/41).
  3. Air zamzam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang asah (lebih sahih) bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.
  4. Air zamzam adalah kurniaan Allah yang utama kepada Nabi Ismail AS.
  5. Air zamzam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah. Inilah adalah pendapat Imam Ibn al-Daiba’ al-Syaibani.
  6. Allah SWT telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Mekah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.
  7. Banyak meminum air zamzam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafik (kerana orang munafik tidak mempercayai kelebihannya).

 

Hadis Berkaitan Air Zamzam

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan berkenaan air zamzam ini. Antaranya:

Daripada Jabir bin Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Air zamzam bergantung pada sesiapa yang meminumnya”. [Riwayat Ibn Majah (3062)]

 

Takhrij al-Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat iaitu Abdullah bin Abbas RA dan Jabir bin Abdillah RA. Selain itu juga, dengan maknanya daripada hadis Abdullah bin Amr RA, Abdullah bin Umar RA dan juga Muawiyyah RA.

Hadis ini melalui jalur Jabir RA telah diriwayatakan oleh Ibn Majah di dalam sunannya dan ia tidak diriwayatkan oleh imam-imam kutub sittah yang lain. Selain itu, Imam Ahmad meriwayatkan hadis melalui jalur yang sama dalam musnadnya [Lihat: Musnad imam Ahmad (14849), 140/23] dan juga Imam al-Baihaqi di dalam sunannya [Lihat: Sunan al-Kubra (9442), 148/5]. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Hakim di dalam mustadraknya melalui jalur Abdullah bin Abbas RA [Lihat al-Mustadrak (1739), 646/1].  

 

Hukum Hadis

Antara pendapat para ulama’ dalam menilai hadis ini adalah:

Imam al-Hakim menilai hadis hadis ini sebagai sahih sanadnya. [Lihat al-Mustadrak (1739), 646/1]

  1. Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ mengatakan hadis ini sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 262/2]
  2. Imam al-Zarkasyi mengatakan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah sanadnya adalah baik. [Lihat: al-Tazkirah fi al-Ahadis al-Mushtaharah, 151]
  3. Imam al-Dhimyathi menilai hadis ini sanadnya adalah hasan atau baik. [Lihat: al-Muttajir al-Rabih, 433]
  4. Imam Ibn Hajar mengatakan kedudukan hadis ini di sisi huffaz dengan kesemua jalur-jalur yang ada, dibolehkan berhujah dengannya iaitu dengan hadis tersebut sebagaimana mengikut kaedah-kaedah imam-imam ahli hadis. [Lihat: Juz fi hi al-Jawab an hal al-Hadith al-Masyhur “مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ”, 270]

 

Walau bagaimanapun, terdapat juga sebahagian ulama’ yang mendhaifkan hadis ini. Antaranya Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ dengan mengatakan bahawa riwayat al-Baihaqi melalui jalur Jabir adalah dhaif kerana Abdullah bin al-Muammal bersendiri dalam meriwayatkan hadis ini dan dia merupakan seorang perawi yang dhaif. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 267/8]

Setelah meneliti pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih atau hasan dengan semua jalur ada sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di atas. Di samping itu juga, dengan melihat pada amalan-amalan para sahabat dan salaf al-Soleh dalam masalah ini.

 

Kelebihan Air Zamzam

Berikut adalah beberapa hadis yang menunjukkan akan kelebihan air zamzam:

- Air zamzam adalah air terbaik di dunia

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)] [al-Haitahmi mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (boleh dipercayai dan hadis ini juga disahihkan oleh Ibn Hibban. Lihat: Majma’ al-Zawaid, 286/3]

 

- Air zamzam boleh mengeyangkan sesiapa yang meminumnya

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

 

- Air zamzam merupakan penawar bagi penyakit

 Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 “Dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

 

- Air zamzam digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW

Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

“Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zamzam”. [Riwayat al-Bukhari (1636)]

 

 

Wallahua’lam

 

 

Kredit: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1835-irsyad-al-hadith-siri-ke-125-air-zamzam

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });