PERKAHWINAN IDEAL MENURUT SUNNAH


Rosmawati Ahmad | 18-07-2019

Ketika saya ditanya oleh orang ramai berkenaan perkahwinan yang ideal di dalam Islam, maka saya pun menjawab bahawa perkahwinan yang dituntut oleh agama ialah perkahwinan yang menjadi ibadah.

Perkahwinan itu merupakan perintah Allah bagi menyalurkan fitrah manusia ke jalan yang halal. Maka selama perkahwinan itu menjadi ibadah dan membuahkan pahala, maka ia dikira ideal dan mencapai tuntutan dan perintah agama walau apa pun jua versi dan suasana perkahwinan itu.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan versi Asiah isteri Firaun, isteri solehah bersama suami yang jahat.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan Nabi Allah Luth, isteri jahat bersama lelaki soleh.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan Ibrahim, perkahwinan Ismail, perkahwinan Musa,  perkahwinan Ayub, perkahwinan Rasulullah SAW dan para rasul selainnya.

Kita melihat pada perkahwinan mereka terdapat bermacam-macam ragam dan cerita yang mampu menumpahkan air mata dan bukanlah kisah fantasi bahagia khayalan yang jauh daripada realiti. Para rasul ini diutuskan daripada kalangan manusia dan Islam ialah agama yang paling memahami realiti manusia.

Mukjizat, keramat, segala macam lagi kelebihan yang diberikan kepada rasul itu hanyalah semata-mata bagi membantu mereka mencapai objektif utama wahyu iaitu menyedarkan manusia hidup ini singkat, wujudnya akhirat dan hari pembalasan, mengajarkan manusia cara yang sebenar menyembah Allah dan menyedarkan manusia agar beramal sebanyak mungkin menghadapi hari akhirat serta jangan lalai oleh dunia dan terpedaya oleh syaitan.

Maka mukjizat itu sekadar membantu agar orang percaya mereka ini ialah rasul yang benar-benar diutuskan.

Kehidupan para rasul itu pula dijadikan contoh dan teladan untuk diikuti oleh manusia dan kehidupan mereka itu persis kehidupan manusia lainnya cuma yang membezakan mereka dan kita ialah kehidupan mereka itu dipandu oleh wahyu.

Maka kita yang mahu mengikuti teladan mereka itu pula harus tahu apa yang mahu di ikut, iaitu mengikuti wahyu dan apa yang dikehendaki wahyu.

Jangan tersalah ikut pula, lalu perlulah kita memiliki ilmu.

 Kehidupan ini bukanlah seindah mimpi, jadi usahlah berkhayal di siang hari.

Oleh itu adalah mengarut bila seseorang itu beranggapan bahawa apabila mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah maka dia akan menjadi selamat daripada di uji dan akan menjalani kehidupan yang sempurna tanpa gangguan dan dugaan.

Lupakah kita Kisah Nabi Allah Ya’kub misalnya yang diuji dengan anak-anaknya yang berpecah, diuji dengan kehilangan anaknya Yusof lalu menangis sehingga menjadi buta? Tergugat hati dan jiwa kita jika kita membaca ayat-ayat Allah SWT dengan penuh tadabbur dan memikirkan pengajarannya bahawa kehidupan yang kita lalui ini bukanlah sebuah cerita fantasi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusof : 111)

Alam realiti tidak seindah mimpi, kawan.

 

 

Kredit: Ustaz Emran Ahmad

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });