BALIKLAH TUAN, KEMBALILAH PUAN


Rosmawati Ahmad | 18-07-2019

 

Kepada tuan/puan yang masih bertahan dalam idah perceraian.

Saya tahu dan faham. Berpisah ini menyakitkan. Putus ikatan akad ini memang mengelirukan. Bahu yang sering dijadikan bantal sandaran ini bakal hilang ditelan kehidupan yang berlainan.

Tiada lagi pasangan yang pulang untuk makan dan menyepahkan pinggan. Tiada lagi susuk lelaki menonton bola waktu lewat malam dan bersorakan waktu gol dijaringkan.

Tiada lagi suara lantang bertanyakan mana stoking, seluar panjang dan pakaian. Tiada lagi dengkuran mengganggu waktu malam. Tiada lagi bunyi bising kereta yang sengaja ditekan.

Sudah tentu suara riang bermain di ruang makan akan tenggelam kerana kuda yang anak-anak tunggang bakal keluar mengusung beg pakaian.

Dan juga tiada lagi suara lembut dan mesra menyapa apabila pulang dari kerja kerana kepulangan tuan di ruang tamu yang berlainan.

Tiada lagi susuk tubuh yang bergerak seharian mengurus anak mengurus pasangan, memasak hingga bau memenuhi ruang kehidupan.

Wanita yang letih itu tertinggal sewaktu tuan mengusung beg pakaian. Wanita itu tertinggal bersama beberapa nyawa yang tuan sayang dan bakal rindukan.

Kehidupan yang berbeza di ruangan yang berlainan bukan sesuatu yang melegakan. Kehidupan ini baunya berlainan. Rasanya masam. Pandangannya kusam. Banyak nyawa yang terluka tanpa garisan. Darah tiada tapi ada parut yang panjang dan menakutkan.

Akan tiba masanya malam, anak bertanya mengapa tuan sudah lama tidak pulang. Atau ada juga anak akan bertanya mengapa mak tidak lagi datang.

Ini melukakan. Menghibakan. Anak kecil merenung ke tingkap berharapkan nampak kereta tuan pulang kembali dengan beg pakaian. Anak kecil melambai emaknya di pintu kerana mahukan maknya kembali ke situ.

Betul ke tuan dan puan mahu idah ini tamat dengan kebisuan? Sedangkan jika ego dapat dibuang tuan/puan bakal menerangkan dunia anak-anak ini dengan sebuah senyuman…

Baliklah tuan. Semua kesilapan boleh diperbetulkan. Datanglah kembali kepada kehidupan ini puan. Bersama tuan/puan bakal mengharungi kehidupan yang sememangnya ada cabaran di setiap simpang dan jalan.

 

 

Kredit: Normaliza Mahadi

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });