Tabayyun... Itu sifat orang yang beriman.


Karya Bestari | 16-07-2019

Tabayyun itu apa sebenarnya, ustaz?

Ia merupakan prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita tersebut. Dan itulah sifat orang mukmin.

Zaman hari ini, kecanggihan pelbagai peralatan teknologi maklumat seperti telefon pintar dengan dibantu perisian masa kini seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, blog atau laman sesawang, telah menyebabkan satu-satu maklumat itu sampai dengan hanya menggunakan jari-jemari tanpa memerlukan kudrat, mahupun masa yang panjang.

Apa yang menjadi bahayanya ialah apabila kita menerima maklumat tersebut bulat-bulat tanpa memeriksa kesahihannya. Ini kerana jika maklumat itu tidak benar, ia boleh menjadi fitnah dan tidak semena-mena kita mendapat dosa tanpa sedar. Oleh sebab itu, salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran buat pegangan orang yang beriman dalam mendepani zaman fitnah seperti ini ialah tabayyun.

Saya ingin kongsikan kisah Nabi Sulaiman dan burung hud-hud. Ini adalah contoh betapa pentingnya sikap tabayyun itu ada dalam diri setiap insan.

Pada suatu ketika, Nabi Sulaiman memerintahkan pasukannya untuk bersiap-siap. Kemudian, baginda melakukan pemeriksaan terhadap setiap barisan tenteranya. Setiap pasukannya itu telah diperiksa dengan teliti. Ketika tiba pada pasukan burung, baginda mendapati kumpulan burung hud-hud tidak ada. Nabi Sulaiman berkata, “Mengapa aku tidak melihat hud-hud? Apakah dia termasuk yang tidak hadir?” (Surah An-Naml: 20)

Nabi Sulaiman sangat marah dengan ketidakhadiran burung hud-hud. “Sunguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar ia datang kepadaku dengan alasan yang jelas,” kata Nabi Sulaiman. (Surah An-Naml: 21)

Tidak lama kemudian, burung hud-hud pun tiba. Dengan nada marah, Nabi Sulaiman berkata; “Ke mana kamu pergi?” 

Hud-hud menjawab, “Sebenarnya aku telah melakukan penerbangan secara diam-diam. Aku ingin melaporkan sesuatu yang penting. Aku pergi ke negeri Saba’ yang terletak di negara Yaman. Kerajaan itu dipimpin oleh seorang ratu yang bernama Ratu Balqis. Ia duduk di singgasana yang besar. Aku melihat Ratu Balqis bersama pengikutnya menyembah matahari. Mereka bersujud kepada matahari ketika matahari terbit dan ketika. Mereka telah menyekutukan Allah. Syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka. Hal itu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak mendapat petunjuk dan tidak menyembah Allah.”

Berita itu mengejutkan Nabi Sulaiman yang terdiam sementara waktu. Baginda berkata; “Akan kami lihat, apakah kamu benar ataukah kamu termasuk dalam kalangan yang berdusta.”

Beginilah seharusnya cara orang yang beriman dalam meneliti satu-satu maklumat yang diperoleh. Tidak menelan mentah-mentah semua berita yang viral dan tersebar di media dan dalam masyarakat. Namun perlu diuji dan dilihat kebenarannya terlebih dahulu.

Maknanya di dalam kaedah Islam, apa-apa berita atau maklumat yang diperolehi dalam Facebook dan WhatsApp, bahkan maklumat yang diperolehi oleh ketua mengenai pekerjanya di syarikat, perlu dilakukan tabayyun sebelum diambil tindakan.

Begitu juga apabila seorang ayah melihat muka anaknya lebam sewaktu pulang dari sekolah. Jangan terus percaya jika dia mengatakan dipukul orang. Akan tetapi selidik dahulu melalui guru dan juga rakan-rakannya.

Samalah juga apabila si anak memberitahu kepada ayah dan ibunya yang dia telah dirotan oleh si guru. Jadi, ibu bapa harus menyelidiki dahulu apakah punca anaknya dirotan. Bukannya menyerang cikgu dengan kata-kata kesat sehingga melibatkan pihak berkuasa.

Sebab apa kena tabbayun, ustaz?

Jawabnya kerana itu perintah Allah SWT SWT. Sebagaimana firmannya yang bermaksud:

يَأُيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيْبُوا قَومًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatan itu." (Surah Al-Hujurat: 6)

Ada ulama yang menjelaskan, jika datang kepada kamu seorang lelaki fasik yang mana dia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilan, melalui apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita yang dibawa. Ini untuk mengelakkan diri daripada menjatuhkan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kita jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, menyesallah kita di atas perbuatan yang tidak sengaja dilakukan.

Ada kisah yang menarik yang ingin saya kongsikan, betapa pentingnya tabayyun dalam hidup berkeluarga.

Ada seorang suami yang telah bekerja di luar kawasan (out station) selama dua minggu. Pada hari terakhir di sana, dia telah menghubungi isterinya dan memberitahu bahawa dia akan sampai ke rumah pada pukul 12.00 tengah hari. Betapa gembiranya hati si isteri apabila mendapat perkhabaran sebegitu. Manakan tidak sudah dua minggu dia tidak berjumpa si suami.

Lalu si isterinya itu telah memasak masakan yang istimewa menyambut ketibaan suaminya. Pada jam 11.45 pagi, dia menyuruh anaknya menghubungi si suami untuk mengetahui di mana dia berada ketika itu. Lalu anaknya yang masih kecil menghubungi ayahnya. Tetapi malangnya hanya suara perempuan yang didengari. Lalu si anak memberitahu kepada ibunya, “Mak, abah tak jawab pun telefon. Tetapi perempuan yang menjawab.”

Maka terkejut si ibu. Tanpa usul periksa dia menyangka bahawa suaminya itu sedang berjumpa dengan perempuan lain. Selepas setengah jam menunggu, suaminya masih belum tiba. Si isteri sekali lagi menyuruh anaknya menghubungi si ayahnya supaya cepat pulang. Tetapi jawapan yang sama diberikan oleh anaknya bahawa suara perempuan yang menjawab panggilan, bukan ayahnya. Si ibu tadi semakin marah.

Tepat jam 1.45 tengah hari, maka si suami pun tiba. Belum sempat dia masuk ke rumah, si isteri menjerit kepadanya sehingga didengari oleh jiran-jiran.

“Abang pergi ke mana hah?!! Sekarang baru nak balik. Janji pukul 12.00 tengah hari sekarang sudah pukul 1.45 petang!” tempik si isteri.

Si suami berasa sangat terkejut. Dia cuba menenangkan hati isterinya supaya masuk ke rumah terlebih dahulu dan menjelaskan apa yang berlaku. Tetapi si isteri menolak dan berkata, “Biar semua orang tahu, awak curang dengan saya. Anak yang jadi saksi kecurangan awak. Anak-anak tak pandai menipu!” jerit si isteri.

Jiran yang berdekatan cuba bertanya untuk mendapatkan kepastian, “Apa yang berlaku ini?”

Si isteri menjawab, “Suami saya janji nak balik pukul 12.00 tengah hari tetapi sekarang baru sampai. Anak saya kata ada suara perempuan yang menjawab panggilan setiap kali kami call dia.” 

Si anak pun berkata, “Betul ibu. Perempuan yang menjawab panggilan tu kata, ‘Nombor yang anda hubungi sudah berada di luar kawasan, sila hubungi lagi’.”

Mendengar sahaja kata-kata anaknya itu, muka si isteri menjadi merah padam lalu terus berlari masuk ke rumah. Dia terus meminta maaf kepada suaminya kerana tidak tabayyun dan meminta penjelasan daripada suaminya itu terlebih dahulu.

Suaminya berkata bahawa flightnya delay dan pada masa yang sama bateri telefonnya mati. Sebab itulah dia tidak boleh menghubungi isterinya untuk memberitahu keadaan sebenar.  

Inilah masalahnya jika kita tidak tabayyun.

Apa kesannya jika kita tidak tabayyun?

Kesannya, tali persaudaraan dan perpaduan yang telah dibina selama ini akan terlerai atau terputus disebabkan maklumat serta berita yang disampaikan ini tidak tepat dan dusta.

Agenda memfitnah, menipu dan membuka aib orang lain begitu mudah dilakukan seperti melalui WhatsApp, Facebook, Youtube dan sebagainya. Semua laman ini amat berbahaya kepada kita, sekiranya ruangan ini dijadikan sebagai medan untuk melakukan perkara sedemikian.

Sekiranya tabiat sebegini disemai di dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini, maka keamanan, persaudaraan dan masyarakat harmoni hanyalah menjadi satu harapan atau angan-angan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, tabayyunlah. Jika kita menerima apa sahaja maklumat terutamanya daripada orang yang fasik, dapatkan kepastiannya terlebih dahulu kerana bimbang ia menjadi fitnah.

Bayangkan jika berita daripada orang yang fasik pun kita perlu selidik, apatah lagi berita itu disampaikan oleh orang yang bukan Islam. Lagilah perlu kita semak dan dapatkan kesahihannya.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });