Haji Mabrur.....


Daripada Abu Hurairah RA berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasiq (keluar dari ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa)."

(Hadith riwayat al-Bukhari, No: 1521, 1829, Muslim, No: 1350, An-Nasaie, No: 2627, Ibn Majah, No: 2889

 

Haji secara estimologinya adalah berkunjung. Adapun secara terminologi adalah mengunjungi Baitul Haram dengan amalan tertentu, pada waktu tertentu. Haji merupakan syiar agung dan ibadah yang mulia kerana dengan melaksanakannya seseorang akan mendapatkan rahmat dan berkat

 

Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukum berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

 

Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });