Adakah Semua Mimpi Itu Mainan Syaitan?


Ustaz Syed Shahridzan | 15-07-2019

MIMPI: REALITI ATAU MAINAN SYAITAN?

Salam ustaz. Boleh jelaskan mimpi yang benar-benar satu petunjuk dan mimpi yang hanya mimpi sahaja. Ada yang kata itu adalah syaitan yang sedang mempermainkan emosi manusia.

Jawapan:

1) Menurut pada ulama, mimpi terbahagi kepada 3, pertama mimpi yang benar, kedua mimpi yang mainan syaitan dengan tujuan untuk menakutkan atau menyedihkan anak adam dan ketiga mimpi yang terkesan dari kehidupan nyata dan realiti manusia sehingga dibawa ke dalam tidur, contohnya seorang lelaki yang terlalu berkenan dengan seorang perempuan sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi.

2) Mimpi yang benar adalah khabar yang baik dari Allah ta’ala, manakala mimpi dari syaitan adalah mainan tidur yang didatangkan untuk tujuan menakutkan dan melemahkan iman anak Adam.

3) Pembahagian ini berdasarkan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Mimpi terbahagi kepada 3: Berita gembira dari Allah, bicara diri sendiri(benak fikiran) dan sesuatu yang menakutkan dari syaitan. Jika seseorang bermimpi sesuatu yang disukai maka ceritakanlah mimpi itu jika dia mahu dan apabila dia bermimpi sesuatu yang dibenci maka jangan diceritakan, hendaklah dia bangun dan berdoa” (HR Ahmad).

4) Menurut riwayat yang lain, Rasulullah S.A.W. menyarankan agar berta’awwuz(membaca A’uzubillah) apabila seseorang sedar dari mimpi yang buruk, iaitu memohon perlindungan dari Allah ta’ala agar dilindungi dari mimpi yang buruk.

5) Jelas berdasarkan hadith di atas dan penerangan para ulama bahawa wujudnya mimpi yang berbentuk petunjuk dari Allah ta’ala di samping wujudnya mimpi mainan syaitan. Namun begitu tiada nas atau dalil yang jelas bagaimana cara membezakan antara mimpi yang benar atau mainan syaitan melainkan Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- yang mengetahui selok belok takwil mimpi.

6) Walaubagaimana pun terdapat perbincangan para ulama mengenai piawaian mengenali mimpi yang benar. Antaranya Sheikh Muhammad al-Hasan al-Dudu (youtube), seorang ulama dari Mauritania merumuskan tanda-tanda mimpi yang benar ada tiga, pertama mimpi itu tidak berlawanan dengan hukum syarak. Kedua mimpi yang dilihat tidak berlawanan dengan hukum logik akal dan ketiga mimpi tersebut dapat diingati oleh orang yang bermimpi secara terperinci.

7) Selain itu, sebahagian ulama meletakkan tanda-tanda mimpi yang benar seperti seseorang yang sebelum tidurnya memenuhi tuntutan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W. seperti berwuduk, berdoa, membaca tiga qul, berzikir, tidur disisi kanan dan lain-lain lagi sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibn hajar dalam Fath al-Bari.

8)) Manakala mimpi mainan syaitan dapat dipastikan melalui perbezaannya dengan ciri-ciri mimpi yang benar sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama, antara kejadian yang dilihat dalam mimpi berlaku secara tidak masuk akal seperti seseorang boleh bercakap di dalam air dengan suara yang jelas dan terbang di langit yang tinggi seperti adiwira. Antara lain mimpi mainan syaitan ia datang dalam bentuk jalan cerita yang agak serabut dan terlalu banyak jalannya sehingga sukar seseorang untuk mengingati kembali apabila sedar dari tidur.

9) Adakah wujud amalan tertentu untuk menjauhkan diri dari mimpi buruk? Terdapat amalan yang diamalkan oleh salah seorang isteri Baginda, Sayyidah Aisyah R.A. sepertimana yang dinukilkan dalam kitab al-Azkar. Setiap kali hendak tidur, beliau membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أسألُكَ رُؤْيا صَالِحَةً، صَادِقَة غَيْرَ كاذِبَةً، نافِعَةً غَيْرَ ضَارَّةٍ.

“Ya Allah! Aku memohon pada-Mu mimpi yang soleh dan benar bukan mimpi yang dusta. Aku memohon pada-Mu mimpi yang bermanfaat bukan yang memudaratkan”.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

**Artikel ini telah disiarkan di akhbar Sinar Harian.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });