Gurauan antara Nabi SAW dan Sayidatina 'Aisyah R.A


GURAUAN NABI SAW DAN SAYIDATINA ‘AISYAH R.A. 

 

HADIS 1

‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa beliau tidak pernah melihat Nabi SAW tertawa terbahak-bahak.

Daripada ‘Aisyah r.a. berkata,

مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّه صلىاللّه عليه وسلم مُستَجْمِعًا قَطُّ ضَا حِكًا حَتَّى تُرَى مِنْهُ لَهَوَاتُهُ إِنَمَا كَانَ يَتَبَسَّمُ

“Aku belum pernah melihat Rasulullah SAW tertawa terbahak-bahak sehingga kelihatan lidahnya, namun Baginda hanya tersenyum.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

 

HADIS 2

Nabi SAW juga pernah mengadaptasi syair seperti yang diceritakan daripada ‘Aisyah r.a. berkata,

“Beliau pernah ditanya, adakah Rasulullah SAW pernah mendendangkan syair? Jawab ‘Aisyah r.a., ‘Baginda pernah mengadaptasi syair Ibnu Rahawah r.a. yang berbunyi, ‘Kadangkala orang yang kamu tidak bayar upah membawa berita untukmu.’” (HR al-Tirmizi no. 2848)

 

HADIS 3

Nabi SAW sering bergaul mesra dengan ister-isteri Baginda. Daripada ‘Aisyah r.a. berkata,

“Nabi SAW pada suatu malam ketika bercerita kepada isteri-isteri Baginda radhiyallahu ‘anhum, lalu berkata salah seorang daripada isteri Nabi SAW, ‘Seolah-olah cerita ini datang daripada kisah khurafat.’

Nabi SAW bertanya mereka, ‘Adakah kamu semua tahu kisah khurafat? Khurafat adalah seorang lelaki yang berasal dari ‘Uzrah satu kaum di Yaman. Dia telah diculik oleh jin dan menyembunyikannya selama beberapa tahun.

Apabila jin itu mengembalikan ‘Uzrah semula kepada orang ramai, maka berceritalah Khurafat mengenai alam jin tentang kehidupan jin di alamnya. Maka orang ramai berasa ta’jub dan kagum bercampur hairan. Maka mereka menamakan cerita sedemikian dengan Khurafat.’” (HR Ahmad no. 25120, dhaif)

 

HADIS 4

‘Aisyah r.a. tidak boleh kehilangan Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a., daripada ‘Aisyah r.a. berkata,

“Aku kehilangan Rasulullah SAW pada suatu malam dari tempat tidurku. Lalu aku mencarinya, kemudian tanganku tersentuh bahagian luar kedua tapak kakinya dalam keadaan Baginda berada di masjid. Kedua tapak kakinya tegak lurus dan Baginda berdoa,

‘Ya ALLAH, aku berlindung dengan redha-MU daripada bahaya murka-MU dan berlindung dengan ampunan-MU daripada bahaya hukuman-MU dan aku berlindung kepada-MU daripada azab-MU, aku tidak mampu menghitung pujian atas-MU. ENGKAU adalah sebagaimana ENGKAU memuji ke atas diri-MU.’” (HR Muslim)

 

HADIS 5

Daripada Syuraih daripada ‘Aisyah r.a. aku (perawi) bertanya kepadanya,

“Apakah perempuan boleh makan bersama dengan suaminya jika dia sedang datang haid?” Dia (‘Aisyah r.a.) berkata, “Ya, boleh. Rasulullah SAW pernah memanggilku, lalu aku makan bersama Baginda, padahal aku sedang haid.

Baginda mengambil daging dan memberikannya kepadaku. Lantas aku segera memakannya dan aku meletakannya. Lalu Rasulullah SAW mengambil dan memakannya. Baginda meletakkan mulutnya di tempat daging aku meletakkan mulutku tadi.

Lalu Baginda meminta air minum dan memberikannya kepadaku sebelum Baginda meminumnya. Lalu Baginda mengambil dan meminumnya, kemudian meletakkannya. Kemudian Baginda mengambil dan meminumnya dan Baginda meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku pada gelas tadi.’” (HR al-Nasa’i, sahih)

 

HADIS 6

Daripada Hisyam bin Urwah daripada bapanya, daripada ‘Aisyah r.a., dia berkata,

Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah sekiranya kamu singgah di suatu lembah dan dalam lembah itu terdapat pohon yang buahnya telah dimakan. Lalu kamu mendapatkan satu pohon yang buahnya belum dimakan, maka pada pohon manakah kamu akan menambatkan untamu?”

Baginda pun menjawab, “Pada pohon yang belum dijamah.” Maksudnya adalah bahawa Rasulullah SAW belum pernah mengahwini gadis (anak dara) selainnya. (HR al-Bukhari)

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });