HANYA YANG JAGA SOLAT RUMAH TANGGANYA AKAN KUKUH


Mahu berumah tangga sangat mudah tapi mahu mengekalkannya itu payah.

Berapa lama yang bercinta bertahun-tahun tetapi akhirnya bercerai juga selepas berkahwin hanya beberapa tahun, bulan atau hari.

Minggu lalu, saya berkesempatan menghadiri kursus pra perkahwinan yang diadakan di Jabatan Agama Islam Selangor selama dua hari.

Dalam banyak topik yang dibincangkan, ada satu yang menarik perhatian iaitu bagaimana mahu mengekalkan rumah tangga yang dibina.

Ada peserta yang mengatakan rumah tangga boleh kekal dengan adanya wang yang cukup, kasih sayang dan cinta. Jawapan yang diberi itu tidak ditolak oleh ustaz yang memberi ceramah, tetapi ditambah dengan perkara lain iaitu dengan menjaga solat.

Kata ustaz, solat adalah segala-galanya. Jika pincang solat yang lima itu, akan terkuburlah cita-cita untuk melihat rumah tangga yang bahagia. Jika pincang kewajipan itu, wang atau cinta tidak lagi berguna.

Kata ustaz lagi, perkara ini harus bermula sebelum kita berumah tangga lagi, supaya ia menjadi satu kebiasaan yang tidak ‘menyusahkan.’

Saya percaya perkara ini bukan main-main. Nampak mudah tetapi impaknya besar. Saya terkejut apabila diberitahu ada kes di mana ada satu pasangan bercinta hampir sepuluh tahun lamanya tetapi bercerai selepas berkahwin dalam tempoh yang sangat pendek. Apabila ditanya tentang solat, mereka hanya mampu menggeleng.    

Ada juga rumah tangga yang berjaya bertahan walaupun tidak solat, tetapi perhatikanlah apa yang terjadi di dalam rumah tangga itu. Pasti akan wujud pergaduhan, anak yang tidak mendengar kata malah ujian yang datang juga akan bertimpa-timpa.

Pesan ustaz lagi, bukan hanya solat sahaja bahkan ilmu agama juga perlu dititikberatkan. Barulah wujudnya sakinah, mawadah warahmah dalam rumah tangga.

Saya teringat kata-kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Katanya, kegagalan menjaga rukun Islam yang kedua itu akan menyebabkan wujudnya habluminassyaitan. Iaitu terbinanya hubungan antara manusia dan syaitan.

Mudah-mudahan saya dan pembaca sekalian tidak tergolong dalam kalangan mereka yang tidak mendirikan solat. Semoga bahagia hendaknya kita dalam berumah tangga.

 

Kredit Artikel: Ismi Hayati

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });