Kisah di balik sebuah ciuman


Karya Bestari | 08-07-2019

Rasulullah SAW individu yang sangat menyayangi dan bersikap lemah lembut terhadap kanak-kanak. Baginda SAW sentiasa mengucapkan salam kepada mereka setiap kali apabila berselisih di tengah jalan. Bahkan Baginda juga sering mencium cucu-cucunya apabila bersama dengan mereka.

Abu Hurairah r.a berkata, suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Husain bin ‘Ali r.a, dan ketika itu sedang duduk berhampiran Baginda adalah Al-Aqra’ bin Habis at-Tamimi r.a. Dia  berasa hairan kemudian berkata kepada Rasulullah SAW:

إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا

“Aku mempunyai sepuluh orang anak, aku tidak pernah cium walaupun seorang daripada mereka.”

Rasulullah SAW melihat kepadanya kemudian bersabda,

مَنْ لاَ يَرْحَمْ لاَ يَرْحَمْ

“Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat Bukhari)

Baginda SAW juga bersabda;

لا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لا يَرْحَمُ النَّاسَ

“Allah tidak akan menyayangi orang yang tidak menyayangi orang lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketika itu dalam kalangan bangsa Arab, mencium anak kecil bagi seorang lelaki adalah satu perbuatan aneh, bahkan dianggap mengurangkan kewibawaan seorang lelaki.

Lalu Rasulullah SAW datang menghapuskan anggapan ini dan menegaskan betapa Ar-Rifq (lembut penuh kasih sayang) adalah sifat yang harus dimiliki bagi setiap orang yang beriman. Baginda SAW menekankan, “Siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.”

 

CIUMAN SEBAGAI UNGKAPAN CINTA DAN KERINDUAN

Cinta dan kasih sayang seringkali diekspresikan dan ditonjolkan melalui ciuman. Bagi seorang ibu, untuk mewujudkan cinta dan kasih kepada anak adalah ciuman dan belaian. Malah ia sudah menjadi perkara biasa. Akan tetapi perlakuan seperti itu jarang dilakukan oleh seorang ayah. Walhal Rasulullah SAW adalah individu yang selalu memberikan ciuman dan belaian kepada cucu-cucunya.

Alangkah indahnya jika sebuah rumah itu dihiasi oleh cinta dan kasih sayang. Cinta yang lahir dari seorang anak kepada kedua orang tuanya dan kasih sayang yang lahir dari ibu bapa kepada anak-anaknya.

Jadi kepada para ayah, anak-anak adalah hiburan daripada Allah SWT untuk kita. Peluk dan ciumlah mereka. Sungguh, ciuman seorang ayah mahupun ibu memiliki pengaruh positif kepada anak-anak. Ini kerana ciuman merupakan ungkapan cinta, perhatian dan kerinduan. Insya Allah akan memberi kesan psikologi perkembangan emosi dan minda yang baik untuk mereka.

Justeru, jangan kita bersikap kasar ketika mendidik mereka. Adakalanya kita terikut-ikut dan tergoda dengan hasutan syaitan yang menyuruh kita bersikap kasar terhadap tingkah laku anak yang tidak disukai. Sedangkan ada cara yang lebih bijak umpamanya mencontohi Rasulullah SAW.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });