DOSA BUKANLAH PENGHALANG TAUBAT


Karya Bestari | 08-07-2019

Rasulullah SAW mengumpamakan dosa seperti satu titik hitam yang akan bertapak pada hati. Bila semakin banyak titik hitam itu terpalit, maka kian keraslah hati dan kelamlah ia daripada cahaya hidayah Allah SWT.

Baginda SAW bersabda:

“Seorang mukmin jika berbuat dosa, maka ternodalah hatinya dengan satu titik hitam. Jika dia bertaubat dan beristighfar, hatinya akan kembali jernih. Jika dosanya itu bertambah lagi, maka titik hitam itu akan turut bertambah sehingga menutup hatinya. Maka itulah penutup yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran; Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka” (Riwayat at-Tirmizi, Baihaqi, dan Ibn Majah)

Titik hitam inilah yang akan menghalang seseorang daripada melakukan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT. Ini kerana hati yang dinodai dosa sering merasa malas dan susah untuk melaksanakan kebaikan.

Hatinya terseksa walaupun hanya disuruh melakukan kebaikan yang kecil, sehingga akhirnya kebaikan tersebut mungkin akan ditinggalkannya atau dilakukan dengan kadar yang paling minima dan sambil lewa. Realiti inilah yang bakal terjadi apabila dosa terus menerus berada dalam hati.

TERUSLAH BERTAUBAT

Ibn Ata’illah pernah menyebut dalam hikmahnya: “Apabila kamu tertimpa sesuatu dosa, janganlah dosa itu menjadi sebab kepada putus asamu daripada mendapatkan istiqamah menghadap TUHAN. Boleh jadi dosa itu merupakan dosa terakhir yang ditentukan buatmu.”

Kata-kata ini menjelaskan satu panduan adab yang perlu dipatuhi ketika berlakunya suatu kesalahan dan dosa. Dia tidak boleh berputus asa dengan kesalahan tersebut. Sebaliknya dia harus segera bertaubat dan beristiqamah dalam mentaati Allah SWT.

Dia haruslah berfikiran positif dan menganggap itu adalah dosa terakhir yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT terhadap dirinya.

Setiap manusia walau setinggi manapun kedudukan, pasti tidak akan terlepas daripada berbuat kesilapan bagi membuktikan yang maksum adalah para Rasul-Nya.

 

BERBAIK SANGKA KEPADA ALLAH SWT

Satu prinsip yang perlu dipegang oleh setiap hamba adalah prinsip berbaik sangka kepada-Nya. Ia merupakan salah satu adab utama dalam pergantungan yang sebenarnya kepada Allah SWT.

Ibn `Ata’illah menyebut dalam hikmahnya: Jangan membesar-besarkan dosamu sehingga anggapan itu menghalangmu untuk berbaik sangka kepada Allah. Barang siapa mengenal TUHANnya, tentu dia menganggap kecil dosanya.”

Maka dapat difahami bahawa persoalan dosa besar dan dosa kecil tidak boleh dipandang ringan. Namun maksiat yang dilakukan tidak membuatkannya berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah SWT. Maka di sinilah letaknya prinsip berbaik sangka kepada Allah SWT yang memperlihatkan bahawa keampunan-Nya jualah yang lebih besar.

Persoalan dosa kecil dan besar ini menjadi pembeza antara orang beriman dengan orang munafik. Ini kerana orang mukmin merasakan satu bebanan yang besar ketika berbuat dosa. Dia merasakan dosa-dosanya bagaikan bukit yang berada di atas kepalanya, yang bila-bila masa sahaja akan tumbang ke atasnya.

Sedangkan orang munafik menganggap dosa yang dilakukannya langsung tidak terbeban Baginya, dosa-dosanya tidak ubah seperti lalat-lalat yang hinggap pada badannya kemudian terbang. Langsung tidak merasakan berat bebanan dosa yang dilakukannya itu.

 

TIDAK MEREMEHKAN DOSA KECIL YANG DILAKUKAN

Persoalan memandang ringan dosa kecil yang dilakukan amat diberikan penekanan serta peringatan. Ini kerana berterusan berbuat dosa kecil akan menukarkannya menjadi dosa besar.

Ibn `Ata’illah menyampaikan peringatannya yang berbunyi: “Tidak ada dosa kecil jika dihadapkan pada sifat keadilan Allah dan tiada dosa besar kalau dihadapkan dengan  anugerah-Nya.” 

Al-khawf (takut) dan al-raja`(harap) merupakan sifat yang dimiliki oleh orang beriman. Mereka merasa takut dengan dosa serta mengharapkan balasan yang baik. Inilah natijah bagi orang yang sentiasa menaruh baik sangka kepada-Nya.

Jika Allah SWT berkehendakkan manusia untuk dihisab berdasarkan keadilan-Nya, nescaya tidak akan ada dosa kecil yang dipandang sebagai kecil tetapi semuanya bakal mengakibatkan kerugian kepada manusia akibat kelalaian serta kurangnya melakukan ketaatan kepada-Nya.

Malah jika Allah SWT menginginkan manusia dihisab berdasarkan anugerah dan kurniaan rahmat-Nya, maka tidak akan ada dosa besar yang dianggap besar jika Dia berkehendakkan keampuanan untuknya kerana ia berada atas kuasa dan kehendak-Nya.

Allah SWT itu kadangkala menghisab berdasarkan keadilan-Nya dan ada kalanya juga atas kelebihan-Nya. Dia juga mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya dan menggantikannya dengan kebaikan. Namun bila kita berbaik sangka kepada Allah SWT, tidak sewajarnya kita melupakan rasa takut terhadap-Nya.

 

BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT

Bila perlu bertaubat? Jawabnya: Sekarang kerana mati boleh datang bila-bila masa sahaja bila Allah berkehendakkan demikian. Selagi nyawa tidak berada di halkum, selagi matahari belum terbit dari barat, maka selagi itulah kita diberi masa untuk bertaubat. Makin lama dibiarkan dosa menghuni, maka hati akan semakin jauh daripada rahmat Allah SWT. Maka akan kian sukarlah untuk kembali kepada-Nya.

Yakinilah Allah SWT itu bersifat al-Ghaffar (Maha pengampun) dan Dia jualah Yang Maha Menerima setiap taubat hamba-hamba-Nya jika dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan ikhlas. Bersegeralah menuju keampunan Tuhan-mu. Allah SWT berfirman:

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada TUHANmu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran : 133)

BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });