Mana lebih gembira, memberi atau menerima hadiah?


Ustaz Pahrol Mohamad Juoi | 05-07-2019

Pemberi lebih gembira daripada penerima

 

“Mana lebih gembira, memberi hadiah atau menerima hadiah?” tanya saya kepada para peserta.

Hampir seluruh mengaku menerima hadiah lebih menggembirakan.

“Saya akan bercerita, dengarkan. Apabila saya habis bercerita saya pasti jawapan anda akan berubah. Insya-Allah!”

Saya menceritakan tentang seorang anak kecil berkali-kali berpesan kepada ibunya, agar pulang membawa hadiah yang diingini, iaitu sebuah anak patung yang besar.

“Katalah, anda adalah ibu atau bapa anak kecil itu. Anda telah meninggalkan anak itu dua hari. Lusa anda akan kembali ke rumah. Namun sebelum pulang anda bertekad hendak membawa pulang anak patung yang anak anda inginkan.

Setelah puas mencari, akhirnya anda menemuinya. Anda membeli dan terus membawanya pulang. Bayangkan anak anda telah menunggu di hadapan pintu, sambil bersorak ria melihat anak patung di tangan anda. Baiklah, sekarang para ibu dan bapa tolong jawab, siapa agaknya lebih gembira, ibu yang memberi hadiah atau si anak yang menerima hadiah?”

Kali ini jawapan berubah. Semua akur yang hati si ibu lebih gembira berbanding si anak.

Mengapa? Mengapa si ibu yang gembira sedangkan dia yang memberi?

“Jawapannya kerana si ibu memberi dengan rasa kasih sayang. Jadi, pengajarannya ialah untuk rasa gembira apabila memberi, memberilah dengan kasih sayang.”

“Sayangnya sering kita tidak gembira bila memberi. Mengapa?”

“Memberi itu mengurangkan,” jawab seorang peserta.

“Orang yang menerima tak pandai berterima kasih,” tambah seorang lain.

“Tak ada apa yang nak diberi!” sampuk yang lain.

“Tak adil, kita susah-susah mencari, dia pula senang-senang mendapat.”

“Memberi tidak akan mengurangkan. Bahkan hukama berkata, harta yang menjadi milik kita yang hakiki ialah harta yang diberi ke jalan Allah. Yang lain, kita hanya tukang simpan. Bila mati, harta itu kita tinggalkan, diwariskan.”

“Pernah lihat anak-anak pokok sayur di batas? Untuk tumbuh menjadi sayur yang subur, mesti sebahagian daripadanya dicabut, dibuang untuk memberi ruang pada sebahagian yang lain tumbuh subur. Jika semua dibiarkan tumbuh, pertumbuhan semuanya akan terbantut. Begitulah rezeki, perlu diberi dalam bentuk zakat dan hibah, akan subur dan bersih!” tambah saya lagi.

“Kalau tak punya apa-apa, apa yang nak diberi?” tanya seorang.

“Jangan sempitkan pengertian rezeki, nanti rezeki kita sempit. Jika kita hadkan rezeki hanya pada harta, bila tak ada harta maka tidak adalah yang hendak diberi. Memberi bukan hanya dengan harta, tapi dengan tenaga, pertolongan, senyuman, doa, ilmu, sangka baik, kemaafan. Siapa kata kita tak ada untuk memberi?”

“Kita dapat semua yang kita miliki adakah dengan kudrat kita atau kudrat yang dipinjamkan oleh Allah? Mata, tangan, kaki, tenaga, kesihatan, yang kita gunakan untuk mencari, hakikatnya daripada Allah. Sebenarnya, tanpa disedari kita adalah saluran Allah untuk memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya yang lain.

Bersalah sungguh jika kita tidak memberi kerana kita seolah-olah menyekat rezeki yang Allah hendak berikan kepada orang lain.”

“Kenapa sukar untuk gembira bila memberi?”

“Sekali lagi, kita memberi tanpa kasih sayang.”

“Kenapa tidak ada kasih sayang?”

“Kasih sayang adalah buah iman. Iman dan kasih sayang lazim berlaziman. Siapa yang kukuh imannya, maka teguh jugalah kasih sayangnya.”

“Maknanya?”

“Memberi kerana Allah minta kita memberi. Kita memberi kerana-Nya bukan harapkan balasan manusia. Jika kita memberi kerana manusia, kita akan sakit jiwa.”

“Kenapa?”

“Kajian menunjukkan majoriti manusia tidak pandai berterima kasih. Jadi jika kita mengharapkan terima kasih kita akan kecewa?”

“Adilkah selepas memberi kita dilupakan?”

Saya senyum. Gembira melayan pertanyaan peserta yang bertubi-tubi.

“Baiklah, adilkah setelah sekian banyak nikmat yang diberikan oleh Allah, majoriti manusia tidak bersyukur kepada-Nya? Allah sendiri menegaskan, bahawa sedikit sekali daripada hamba-Nya yang bersyukur.”

“Dunia memang tidak adil.”

“Tidak, manusia yang tidak adil. Manusia zalim. Kalau kita yang kerdil ini tergamak tidak memberi hanya kerana orang lain tidak pandai berterima kasih, cuba bayangkan Allah, yang Maha Besar, yang masih sudi memberi walaupun hamba-Nya tidak bersyukur. Siapa kita?”

“Memberilah, kerana sesiapa yang tidak memberi ertinya tidak memberi kepada dirinya sendiri!”

BUKU BERKAITAN
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });