Pemuda Bukan Sekadar Berani


Sofian Resali | 04-07-2019

Ramadan dan Syawal baru sahaja berlalu pergi. Ramadan, bulan yang cukup istimewa bagi umat Islam. Ia bukan sahaja bulan ujian, bahkan turut ada dalamnya tarbiah. Ya, tarbiah terhadap diri individu, keluarga dan masyarakat Muslim itu sendiri. Ramadan, semenangnya melatih pelbagai perkara.

Syawal pula disambut sebagai kemenangan dalam kepatuhan menjalani pelbagai ujian sepanjang Ramadan. Syawal diraikan penuh keinsafan dan kebaikan. Namun, membawa bersamanya juga adalah semangat, roh dan momentum sepanjang Ramadan.

Syawal telah berakhir. Kita pula sedang memasuki bulan Zulkaedah. Namun, ingatan saya kembali mengingati saat beriktikaf pada satu malam dalam 10 malam terakhir Ramadan.

Malam itu adalah malam 28 Ramadan. Malam itu juga berlangsungnya perlawanan akhir Eufa Champions League. Saya bersama abang ipar, menyaksikannya bersama-sama di sebuah kedai mamak berhampiran masjid. Liverpool muncul juara setelah menewaskan Tottenham Hotspurs. Namun kami hanya menyaksikan separuh masa pertama sebelum bersama-sama beriktikaf di masjid.

Suasana di masjid tetap memberangsangkan. Walaupun telah memasuki malam-malam terakhir 28 Ramadan, masih ramai yang beriktikaf terutama anak muda. Ketika ramai juga yang telah berangkat pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Aidilfitri.

Di ruang rehat ada sebahagian yang sedang tidur atau berehat. Sama ada secara individu, bersama sahabat bahkan ada yang datang dengan keluarga. Sementara di dalam dewan solat, dapat disaksikan jemaah yang tekun melaksanakan pelbagai ibadat. Ada yang sedang solat, berzikir dan membaca al-Quran.

Saya mengambil tempat di suatu sudut di dalam dewan masjid berkenaan untuk membaca al-Quran. Menariknya, tilawah saya terhenti pada surah al-Kahfi. Hati digerakkan merenung kisah pemuda Kahfi. Terutama ketika merenung kepada ayat -13 dan 14.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

Benar, ia adalah berkenaan kisah pemuda al-Kahfi. Betapa pentingnya kisah ini sehinggakan Allah SWT langsung menyatakan, “Kami ceritakan kisah ini bilhaq (dengan benar).” Sedangkan semua yang Allah ceritakan itu adalah sememangnya benar belaka.

Ya, inilah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemuda. Beriman, berani dan sabar. Ia mengajarkan kepada kita bahawa permulaan kepada pemuda yang berkualiti jiwanya adalah dengan beriman kepada Allah SWT. Kesan daripada iman berkenaan, Allah menambahkan kepada mereka dengan hidayah petunjuk.

Namun, saya tertarik dengan ciri keberanian dan sabar yang perlu ada pada seorang pemuda. Terutama pemuda hari ini. Pemuda yang berani adalah pemuda yang diimpikan dalam dewasa ini. Apatah lagi ketika di bahu pemudalah terletaknya harapan untuk melakukan perubahan. Bagi tujuan itu, ia sangat memerlukan kepada keberanian.

Berani memberi makna yang sangat luas. Maka pemuda, terutama hari ini bukan sahaja perlu berani memberikan pandangannya. Bahkan berani untuk berbeza pandangan dengan orang lain. Selagi ia tidak menyalahi agama.

Pemuda juga harus berani memimpin. Walaupun dalam keadaan dia perlu memimpin orang yang lebih berusia daripadanya. Namun dalam masa yang sama harus terbuka jiwanya untuk dipimpin. Walaupun yang memimpinnya itu barangkali orang yang lebih muda daripadanya.

Pemuda tidak harus membiarkan orang lain menentukan masa depannya. Tidak harus membiarkan orang lain menentukan sikapnya atau membiarkan orang lain mengambil keputusan untuk dirinya. 

Pemuda harus berani untuk menolak penindasan, menentang rasuah dan sebagainya. Jiwanya juga tidak akan tunduk kepada ugutan, kuasa atau samseng yang mendabik dada. Jiwanya hanya akan tunduk kepada Allah SWT iaitu Tuhan yang menciptakan langit dan bumi.

Pemuda harus berani bersaing secara sihat dalam apa jua pekerjaannya dalam masa yang sama tidak menafikan hak orang lain untuk maju ke depan. Jika dia perlu berubah, dia perlu berani untuk berubah. Jika dia melakukan kesilapan, dia perlu berani mengakui kesilapan. Jika perlu belajar, maka dia perlu bersabar untuk belajar.

Ya dalam masa yang sama, dia juga perlu bersabar dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Sabar daripada melakukan maksiat, sabar dalam keadaan sukar, sabar juga ketika menikmati kesenangan.

Tilawah malam itu, walaupun terhenti pada dua ayat berkenaan, cukup memberikan makna yang mendalam. Saat mata memandang kepada jemaah lain yang sedang khusyuk dengan ibadat, saya turut meyakini bahawa ummah ini beruntung kerana masih mempunyai pemuda seperti ini!

*Penulis merupakan editor Karya Bestari.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });